Skip to toolbar
Pelan PenyucianZakat

Zakat Menyucikan Harta

Zakat atau penyucian harta dalam istilah Bahasa bermaksud bersih, suci, subur, berkat dan berkembang. Zakat boleh membersihkan harta dan diri orang kaya daripada bersifat kedekut dan bakhil. Dalam masa yang sama dapat mengekang sifat dengki dan dendam golongan miskin terhadap orang yang kaya. Zakat yang merupakan salah satu rukun Islam seharusnya menjadi satu motivasi bagi setiap Muslim untuk bekerja keras agar dapat membayar zakat.

Jenis dan Perkiraan Zakat

Terdapat pelbagai jenis zakat, seperti berikut:-

  • Zakat emas dan perak
  • Zakat wang simpanan
  • Zakat pendapatan
  • Zakat perniagaan
  • Zakat saham
  • Zakat KWSP
  • Zakat padi

Syarat-syarat umum wajib membayar zakat seperti yang ditetapkan oleh Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Malaysia seperti berikut:-

Islam

Zakat hanya dikenakan ke atas orang Islam. Bagi perniagaan perkongsian orang Islam dengan bukan Islam, hanya peratusan ekuiti orang Islam sahaja yang diambil untuk dikenakan zakat.

Merdeka

Hamba abdi tidak wajib berzakat, kecuali zakat fitrah. Walau bagaimanapun, tidak timbul persoalan hamba abdi masa kini, tetapi syarat merdeka masih lagi dikekalkan sebagai salah satu syarat wajib zakat.

Milik sempurna

Harta yang dimiliki mestilah sempurna dalam kekuasaan seseorang dan tidak bersangkutan dengan orang lain. Pemilik juga dapat memperlaku dan memperoleh manfaat daripadanya.

Cukup nisab

Nisab adalah paras nilai minimum yang menentukan sama ada wajib atau tidak sesuatu harta dikeluarkan. Nisab adalah bersamaan dengan 85 gram emas nilai semasa.

Cukup Haul

Cukup haul bermaksud genap setahun harta disimpan.

Niat untuk Berniaga

Syarat ini hanya bagi zakat perniagaan sahaja.

Zakat emas yang disimpan adalah 2.5% atas nilai emas yang disimpan untuk setahun iaitu nilai bersamaan atau melebihi 85 gram emas. Emas yang dipakai pula tidak dikenakan zakat jika kurang daripada uruf.

Uruf bermaksud ‘kadar perlepasan tertentu’ yang dikenakan bagi pemakaian emas. Jika seseorang tinggal di negeri yang corak pemakaian emas adalah sedikit, maka uruf dalam menentukan kewajipan zakat emas bagi perhiasan tersebut adalah rendah; misalnya, 150 gram diwajibkan mengeluarkan zakat.

Namun, bagi yang tinggal di negeri yang memang corak pemakaian emas perhiasannya lebih banyak, maka urufnya juga lebih tinggi. Misalnya, perhiasan emas yang seberat 850 gram akan diwajibkan zakat.

Zakat wang simpanan adalah 2.5% atas baki terendah semua jenis wang simpanan dalam tempoh satu tahun selepas ditolak dengan dividen atau faedah.

Zakat pendapatan dan panduan pembayarannya seperti berikut:-

  • 5.% atas jumlah pendapatan kasar, atau
  • Membayar zakat setelah ditolak perbelanjaanperbelanjaan asas yang dibenarkan, atau
  • Membayar zakat setelah mengambil kira tanggungan sebenar.

Rebat cukai pendapatan

Di Malaysia, pembayaran zakat boleh mendapat rebat daripada cukai pendapatan individu. Oleh itu simpan resit pembayaran zakat dengan baik. Rebat ialah potongan terus daripada jumlah cukai kena dibayar.

Zakat perniagaan mempunyai dua cara perkiraan untuk menentukan jumlah yang harus dikeluarkan. Satu berdasarkan kepada pertumbuhan harta dan satu lagi berdasarkan penggunaan modal.

Zakat perniagaan boleh mendapat pengurangan cukai. Sila rujuk pusat zakat berdekatan dengan anda untuk mendapatkan perkiraan bagi perniagaan anda.

Zakat saham terbahagi kepada dua kategori:-

  • Saham yang dimiliki sehingga hujung haul.
  • Saham yang dijual beli sepanjang haul.

Untuk saham yang dimiliki sehingga hujung haul, 2.5% atas harga par atau harga terendah jika bawah par. Bagi saham yang dijual beli sepanjang haul, 2.5% atas nilai jualan saham-saham tersebut setelah ditolak kos belian.

Zakat KWSP dan tabungan jangka masa panjang yang lain yang “dipaksa” seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera, atau seumpamanya, dikenakan zakat mengikut kaedah-kaedah ini.:-

  • 5% atas simpanan yang dikeluarkan setelah wang diterima, atau
  • 5% atas wang simpanan KWSP bagi setiap pekerja mengikut penyata tahunan.

Zakat Padi adalah 5% daripada hasil yang diperoleh Nisab zakat padi 306 gantang bersamaan 1,306 kg atau 1.306 tan.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 28/Ogos 2012

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button