PenggunaPengurusan Kewangan

Waspada Terhadap ‘Scam’ Kewangan (Bahagian 2)

1- Penipuan Kewangan Melalui E-Mel

Orang ramai diingatkan agar berhati-hati dengan e-mel yang dihantar oleh mana-mana institusi kewangan untuk mengemas kini apa-apa jua maklumat perbankan melalui klik kepada pautan yang diberikan. Anda mungkin menjadi mangsa penipuan.

  • Sindiket akan menghantar e-mel secara rawak untuk mempengaruhi mangsa supaya mengemas kini maklumat perbankan mereka
  • E-mel yang dihantar akan disertakan pautan yang menghubungkan pengguna kepada sebuah laman sesawang palsu sesebuah bank.
  • Mangsa akan dikehendaki mengisi maklumat pada ruangan yang disediakan oleh sindiket di laman palsu tersebut.
  • Maklumat kewangan yang diperolehi, seperti nama pengguna dan kata laluan akan digunakan oleh sindiket untuk mengakses ke akaun perbankan internet mangsa.

Nasihat :

  • Jangan klik pautan yang dihantar oleh bank melalui e-mel kepada anda. Anda perlu mendapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada bank berkenaan.
  • Pastikan anda tidak mendedahkan maklumat keselamatan kewangan anda kepada sesiapa sahaja dalam apa jua keadaan pun.
  • Sekiranya anda telah memasukkan apa-apa maklumat dalam laman yang meragukan, anda dinasihatkan supaya menghubungi pihak bank dengan kadar yang segera.

2- Penipuan SMS ‘Lucky Draw’

‘Lucky Draw’ adalah satu lagi taktik penipuan yang disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan daripada orang ramai.

Modus operandi :

  • Mangsa menerima SMS yang menyatakan bahawa beliau telah memenangi peraduan ‘Lucky Draw’ dari luar negara.
  • Mangsa dikehendaki berhubung dengan suspek untuk keterangan lanjut.
  • Mangsa dikehendaki memasukkan wang tunai ke akaun suspek sebagai wang cagaran.
  • Suspek memberi jaminan palsu bahawa hadiah wang tunai yang dimenangi akan dipindahkan ke dalam akaun mangsa. Kemudian suspek akan menghilangkan diri.

Nasihat :

  • Pengguna tidak perlu melayani SMS yang diterima kerana ia hanya perangkap yang diwujudkan oleh sindiket penipuan.
  • Jika SMS tersebut adalah daripada syarikat tempatan, buat semakan dengan syarikat itu sama ada mereka ada menganjurkan cabut bertuah tersebut.
  • Buat aduan dengan pihak berkuasa yang berkenaan, seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia supaya mereka memantau nombor telefon yang menghantar SMS tersebut dan menghalang penggunaan nombor telefon itu jika ia digunakan untuk menipu pengguna.

3- Penipuan Wang Persaraan

Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dengan tawaran oleh mana-mana individu yang hanya dikenali melalui media sosial untuk melakukan transaksi wang bagi mendapatkan habuan yang lebih besar.

Modus operandi :

  • Suspek mula berkenalan dengan mangsa melalui media sosial. Kebanyakan mangsa adalah wanita pelbagai bangsa.
  • Mangsa telah berkenalan dengan suspek yang kononnya merupakan pesara tentera Amerika Syarikat di Afganistan.
  • Bagi mendapatkan wang persaraan yang didakwa bernilai AS$2 juta, suspek meminta mangsa menghantar beberapa transaksi wang kepada beberapa individu lain bagi melepaskan wang persaraan tersebut daripada sekatan. Suspek berjanji untuk berkongsi wang persaraan tersebut dengan mangsa.
  • Suspek kemudian meminta mangsa untuk berurusan dengan sebuah syarikat logistik melalui individu lain bagi mendapatkan wang persaraan tersebut.
  • Mangsa hanya sedar tertipu apabila cubaan untuk berjumpa dengan individu yang dimaksudkan gagal.

Nasihat :

  • Jika anda menerima e-mel yang meragukan, abaikan e-mel tersebut kerana jika anda menjawab e-mel tersebut, ia meletakkan anda dalam perangkap sindiket tersebut.

4- Penipuan Pelaburan MLM

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran menyertai perniagaan yang berbentuk skim piramid dan pemasaran pelbagai peringkat (MLM) yang menjanjikan pulangan lumayan. Orang ramai seharusnya mengambil langkah awal untuk mengelakkan menjadi mangsa penipuan dengan menghubungi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mengetahui status perniagaan syarikat yang dinyatakan itu adalah benar atau sebaliknya.

Modus operandi :

  • Pada mulanya ahli sindiket akan mengajak mangsa supaya keluar minum petang atau makan malam untuk membincangkan peluang perniagaan.
  • Selepas itu, ahli sindiket bercerita tentang skim perniagaan mereka. Mangsa hanya perlu mencari ahli baru untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda dalam masa yang singkat.
  • Skim pelaburan ini juga memberi beberapa pangkat di dalam syarikatnya seperti Grand Duke @ Arch Duke, Duke, Marquis, Count, Baron, Francais dan Members.
  • Ahli sindiket juga biasanya akan menggunakan kenderaan-kenderaan mewah untuk menarik perhatian mangsa sebagai down-line
  • Mangsa berasa tertipu apabila pulangan yang dijanjikan tidak diperoleh.

Nasihat :

  • Buat semakan sama ada syarikat ini mempunyai lesen jualan langsung daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Hanya syarikat yang mempunyai lesen jualan langsung sahaja yang boleh menjalankan perniagaan pemasaran pelbagai peringkat (MLM).
  • Jangan mudah terpengaruh dengan kata-kata manis dan kemewahan yang ditunjukkan kerana ia hanya bertujuan untuk menarik perhatian anda.
  • Anda boleh berjaya dalam perniagaan pemasaran pelbagai peringkat jika anda bekerja keras menjual produk kepada pengguna akhir (end user), bukannya dengan menaja orang lain menjadi downline.

5- Gores Dan Menang

Gores dan menang ialah satu kaedah yang dilakukan oleh pihak tertentu yang menggunakan taktik gores dan menang sebagai kaedah untuk mendekati pengguna.

Modus operandi :

  • Mangsa didatangi suspek dan meminta mangsa menggores kad yang disediakan.
  • Kemudian sindiket meminta mangsa datang ke pejabat syarikat bagi meneruskan proses seterusnya. Syarikat ini biasanya tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau lesen di bawah Akta Jualan Langsung.
  • Untuk meyakinkan mangsa, sindiket akan menunjukkan kepada mangsa keratan akhbar mengenai kereta mewah yang kononnya dimenangi peserta lain, namun ia sebenarnya ia adalah helah semata-mata.
  • Mangsa diminta menyerahkan sejumlah wang yang kononnya cukai khidmat kerajaan. Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati barangan yang diberi tidak berkualiti dan tidak sepadan dengan jumlah wang yang diserahkan.

Nasihat :

  • Jangan mudah terpedaya dengan hadiah yang ditawarkan, kelak diri dan keluarga mungkin menderita.
  • Hubungi pihak polis dan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, jika anda ternampak ada sindiket seperti ini sedang menjalankan operasi mereka. Tindakan segera anda boleh mengelakkan orang lain menjadi mangsa penipuan sindiket ini.

6- Penipuan Harta Wasiat

Anda dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai apa-apa e-mel yang menyatakan anda sebagai pewaris harta kepada seseorang yang tidak dikenali. Anda mungkin salah seorang daripada mangsa seterusnya.

Modus operandi :

  • Sindiket akan memaklumkan kepada mangsa bahawa mangsa telah dikesan sebagai pewaris untuk menerima harta pusaka peninggalan seseorang yang telah meninggal dunia.
  • Harta tersebut biasanya berada di luar negara. Beberapa dokumen sokongan dari jabatan kerajaan tertentu, badan kehakiman, mahkamah, Bank Negara Malaysia dan sebagainya disertakan untuk meyakinkan mangsa.
  • Mangsa, sama ada rakyat Malaysia sendiri atau luar negara, yang kononnya datuk / moyang mereka, pernah berada di Malaysia pada sewaktu dahulu,dan merupakan hartawan yang tidak mempunyai waris selepas kematiannya.
  • Dalam kes-kes seumpama ini, suspek akan mengenakan bayaran untuk menguruskan perpindahan wang tersebut kepada mangsa.
  • Mangsa berasa tertipu apabila mendapati harta yang dijanjikan tidak diperoleh dan individu yang berperanan sebagai orang tengah menghilangkan diri.

Nasihat :

  • Jangan mudah terpedaya dengan e-mel seperti ini.

7- Hadiah Wang Tunai Melalui SMS

Modus operandi :

  • Mangsa menerima sms mengatakan “tahniah, simkad anda telah memenangi hadiah wang tunai yang bernilai ribuan ringgit daripada syarikat tertentu”.
  • Kemudian sindiket mengarahkan mangsa supaya menghubungi nombor telefon yang diberikan.
  • Apabila dihubungi, mangsa diarahkan supaya pergi ke ATM untuk proses penerimaan wang hadiah.
  • Mangsa kemudian mengikut segala arahan yang diberikan oleh suspek tanpa membuat semakan dari syarikat penganjur terlebih dahulu kerana terlalu ghairah untuk mendapatkan wang kemenangan.
  • Setelah membuat semakan, didapati wang hadiah yang dijanjikan tidak diperoleh, malah baki wang akaun mangsa berkurangan. Mangsa cuba menghubungi suspek tetapi gagal.

Terdapat beberapa kaedah yang digunakan oleh sindiket untuk mengambil wang daripada mangsa iaitu :

  • Deposit wang tunai terus ke dalam akaun bank yang diberikan suspek.
  • Pindahan wang dari akaun mangsa ke akaun yang diberikan suspek. (Mangsa hanya mengikut arahan suspek melalui telefon dan tidak sedar dipedaya).
  • Suspek mengaktifkan perbankan atas talian milik mangsa dan kemudiannya memindahkan wang mangsa. (Mangsa hanya mengikut arahan suspek melalui telefon dan tidak sedar diperdaya).
  • Mangsa diarah untuk menambah nilai (top-up) nombor-nombor telefon pra-bayar suspek.

Nasihat :

  • Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dengan khidmat pesanan ringkas yang menyatakan anda memenangi hadiah wang tunai berjumlah ribuan ringgit daripada syarikat minyak, minuman atau telekomunikasi terkenal di Malaysia.
  • Dapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada syarikat berkenaan sekiranya benar terdapat penganjuran sesebuah peraduan yang dikendalikan oleh pihak mereka.
  • Jangan cepat ‘gelap mata’ dengan tawaran / hadiah yang tidak munasabah. Kelak anda dan keluarga anda mungkin menderita.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 87/Julai 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button