PenggunaPengurusan Kewangan

Waspada Terhadap ‘Scam’ Kewangan (Bahagian 1)

1. Penipuan Urus Niaga Kad Kredit

Mangsa akan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan kononnya satu urus niaga telah digunakan ke atas kad kredit mangsa di sebuah premis perniagaan. Mangsa diminta untuk menghubungi nombor yang diberikan bagi tujuan pengesahan dengan segera. Mangsa yang panik akan cuba menghubungi nombor yang diberikan, yang sebenarnya helah sindiket yang akan merugikan mangsa kelak.

Modus Operandi:

  • Sindiket akan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada nombor telefon bimbit mangsa secara rambang.
  • SMS itu memaklumkan kad kredit mangsa kononnya telah digunakan dalam satu urus niaga.
  • Bagi tujuan penafian penggunaan, mangsa dikehendaki menghubungi nombor yang dibekalkan oleh sindiket.
  • Mangsa yang panik akan terus menghubungi nombor tersebut dan memberikan semua maklumat peribadi miliknya kepada pihak sindiket.

Nasihat:

  • Bertenang, dan ingat kembali sama ada anda mempunyai kad kredit atau tidak? Jika tiada, abaikan sahaja SMS tersebut.
  • Semak nombor penghantaran SMS itu di laman carian GOOGLE. Dalam kebanyakan kes, mangsa pernah berkongsi maklumat lanjut kes yang pernah dialaminya.
  • Jangan sesekali berhubung melalui telefon dengan mana-mana individu / nombor yang tidak dikenali. Sebaliknya, anda perlu membuat semakan dengan pihak bank bagi tujuan pengesahan lanjut.

2. Helah Panggilan Telefon

Sindiket penipuan yang didalangi oleh warga tempatan dan warga asing ini, membuat panggilan telefon secara rambang dengan mendakwa mewakili sebuah institusi kewangan. Panggilan tersebut bertujuan bagi membuat pengesahan transaksi kad kredit yang kononnya milik anda. Taktik ini digunakan untuk memperdaya mangsa dan boleh menyebabkan kerugian berjumlah ribuan ringgit.

Modus Operandi:

  • Mangsa menerima panggilan telefon mengatakan kad kreditnya di sebuah bank tempatan telah digunakan di sebuah pusat membeli-belah.
  • Mangsa menafikan beliau mempunyai sebarang kad kredit di bank tersebut dan sindiket berjanji akan berhubung dengan bank berkenaan mengenai masalah tersebut.
  • Beberapa minit kemudian, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita, yang kononnya daripada Bank Negara Malaysia dan meminta semua maklumat peribadi mangsa.
  • Bagi menyekat kad kredit supaya tidak disalahgunakan, mangsa diarahkan pergi ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
  • Apabila sampai di ATM, mangsa sekali lagi menerima satu panggilan telefon yang memberikan arahan sehingga transaksi selesai.
  • Mangsa hanya sedar telah ditipu setelah transaksi selesai. Tanpa disedari, mangsa telah membuat pemindahan wang kepada akaun pihak ketiga.

Nasihat:

  • Berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan panggilan telefon oleh mana-mana individu yang mendakwa diri sebagai pegawai kerajaan atau swasta (pegawai polis, pegawai Bank Negara Malaysia atau pegawai bank) memaklumkan akaun bank anda digunakan oleh orang lain.
  • Semak dengan pihak yang bertanggungjawab terlebih dahulu.
  • Jangan menghubungi nombor telefon yang diberikan oleh mana-mana individu yang melalui telefon, sebaliknya hubungi nombor rasmi agensi tersebut.
  • Untuk pertanyaan lanjut dan nasihat, sila hubungi Pusat Hubungan Pelanggan Bank Negara Malaysia (BNMTELELINK) di talian 1300 88 5465.

3. Penipuan Pinjaman Bank

Pengguna perlu berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana iklan yang dipaparkan, sama ada menggunakan poster yang ditampal di tempat awam atau risalah yang diedarkan di peti pos rumah dan kenderaan. Selain itu, iklan atau kain rentang juga disebarkan dengan tujuan untuk menawarkan pinjaman palsu menggunakan nama dan logo bank-bank di Malaysia.

Modus Operandi:

  • Suspek atau sindiket akan mengiklankan pinjaman wang dalam pelbagai cara, yang mengandungi butiran tawaran pinjaman bank tempatan.
  • Tawaran pinjaman yang diiklankan itu seolah-olah sangat baik, iaitu menawarkan pakej tanpa cagaran, penjamin, kertas kerja dan sebagainya.
  • Mangsa akan menelefon nombor yang tertera pada iklan itu dan mereka diminta memasukkan sejumlah wang deposit antara 2% hingga 10% daripada jumlah pinjaman yang hendak dipinjam kedalam akaun sebagai yuran pemprosesan.
  • Kemudian suspek berjanji akan memasukkan wang ke dalam akaun mangsa dalam tempoh dua atau tiga hari selepas deposit dibayar. Namun suspek gagal dihubungi selepas itu.

Nasihat:

  • Sasaran sindiket ini adalah mangsa yang terdesak mahukan wang. Orang ramai dinasihatkan supaya berhubung dengan pihak bank sendiri untuk mendapatkan maklumat yang sah berkaitan sebarang pinjaman mahupun pembiayaan.

4. Penipuan Ah Long

Ah Long atau pemberi pinjaman tidak berlesen ini memberi pinjaman wang secara haram dan mengenakan bunga yang sangat tinggi. Mereka akan bertindak ganas sekiranya pinjaman tersebut tidak dibayar. Individu ini lebih dikenali dengan panggilan Ah Long atau ceti haram yang mengucapkan kata-kata manis sebelum mangsa membuat pinjaman.

Modus Operandi:

  • Menawarkan pinjaman tanpa penjamin dengan kelulusan segera dan mudah dengan kadar faedah yang tinggi.
  • Tidak ada perjanjian pinjaman yang ditandatangani antara Ah Long dan peminjam.
  • Mengiklankan perkhidmatan mereka dengan menampal kad perniagaan di merata-rata tempat, seperti di dinding bangunan, perhentian bas, kedai makan, pusat-pusat hiburan dan sebagainya.
  • Mengedarkan risalah perkhidmatan mereka ke rumah-rumah.
  • Penawaran melalui sistem pesanan ringkas (SMS).
  • Iklan berbentuk pinjaman yang mempunyai ciri-ciri islam digunakan. Pekerja-pekerja wanita yang bertudung juga digunakan bagi meyakinkan peminjam bahawa pinjaman tersebut mengikut syariah Islam.
  • Memberikan kemudahan pinjaman melalui kad visa dan mastercard, iaitu peminjam yang ingin meminjam boleh mendapatkan wang secara tunai daripada Ah Long setelah ditolak dengan faedah, apabila peminjam menggunakan kad mereka di premis Ah Long berkenaan.
  • Apabila mangsa gagal membuat bayaran dan terjerat daripada pinjaman pertama, Ah Long yang lain dari syarikat yang sama akan menghubungi mangsa untuk menawarkan pinjaman bagi menyelesaikan hutang tersebut.

Implikasi:

  • Sekiranya mangsa gagal membuat bayaran sepertimana yang dikehendaki, Ah Long akan mengambil beberapa tindakan bagi tujuan memalukan mangsa di khalayak ramai. Antaranya, menyimbah cat merah ke kediaman mahupun harta benda, menyiarkan atau mengiklankan identity peminjam di laman sosial, seperti Facebook dan Twitter atau menampal di dinding-dinding, dan yang lebih teruk lagi, mengurung serta merantai mangsa seperti haiwan.

Nasihat:

  • Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan pinjaman wang daripada institusi perbankan yang mempunyai lesen sah, yang diperakui oleh Bank Negara.
  • Selain itu, dapatkan nasihat daripada mana-mana konsultan kewangan, seperti Agensi Kewangan dan Pengurusan Kredit (AKPK), bagi mereka yang mempunyai masalah kewangan, dan bukannya mendapatkan perkhidmatan ceti haram yang hanya menyelesaikan masalah kewangan dalam jangka pendek.

5. Skim Penipuan Ponzi

Skim Penipuan Ponzi selalunya menggambarkan bahawa skim mereka adalah peluang pelaburan yang menguntungkan. Skim ini selalunya berfungsi mengikut sistem piramid, iaitu wang yang diterima daripada ahli baru akan digunakan untuk membayar ahli sedia ada. Apabila tiada lagi ahli baru, maka seluruh skim akan gagal.

Terdapat beberapa tanda untuk mengenal pasti skim pelaburan Ponzi:

  • Skim ini menjanjikan pulangan tinggi daripada pelaburan kecil tanpa sebarang risiko.
  • Ahli dijanjikan komisyen apabila berjaya membawa rakan atau ahli keluarga untuk melabur.
  • Skim ini selalunya memerlukan bayaran pendahuluan.
  • Syarikat mereka mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, tetapi perniagaan mereka tidak dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
  • Ahli dijanjikan pulangan yang lebih tinggi jika mereka membenarkan syarikat menyimpan produk yang ditawarkan.

6. Skim Cepat Kaya

Skim cepat kaya ialah satu pelan yang lazimnya menawarkan kadar pulangan yang tinggi atau tidak realistik bagi jumlah pelaburan yang kecil. Pada masa yang sama, menjanjikan bahawa pelaburan tersebut adalah mudah dan bebas daripada sebarang risiko.

Modus operandi:

  • Suspek memperdayakan mangsa untuk menceburi bidang pelaburan sesebuah syarikat melalui Internet.
  • Mangsa akan melabur dengan bayaran yang ditetapkan untuk menggandakan wang dalam masa yang singkat.
  • Setelah mangsa menyerahkan wang untuk pelaburan, suspek berjanji bahawa dalam tempoh beberapa bulan, mangsa akan mendapat faedah daripada pelaburan tersebut.
  • Namun setelah sekian lama mangsa menunggu, pulangan yang dijanjikan tiada.

Nasihat:

  • Berurusan hanya dengan institusi kewangan dan peniaga mata wang asing yang berlesen.
  • Semak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa yang berkaitan, seperti Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
  • Jangan gopoh atau membiarkan diri dipaksa untuk melabur.
  • Berhati-hati dengan pelaburan yang dibuat melalui internet.
  • Berwaspada dengan sebarang peluang pelaburan yang tidak bertulis.
  • Jika suatu pelaburan telah dibuat, simpan semua dokumen / bukti yang berkaitan sebagai rujukan.

7. Penipuan Black Money

Penipuan ini melibatkan mata wang asing atau lebih dikenali sebagai Black Money. Penipuan ini dilakukan olehh sindiket warga Afrika dengan memperdaya mangsa yang dikenali di media sosial untuk mengeluarkan sejumlah wang kononnya untuk membeli sejenis bahan kimia untuk mencuci wang dan dijanjikan hasil yang lumayan.

Modus operandi:

  • Suspek menggunakan keratan kertas hitam bersaiz dolar Amerika Syarikat, kononnya wang kertas tulen yang sengaja dihitamkan (black money) untuk diseludup keluar negara tanpa dikesan oleh pihak berkuasa.
  • Wang tersebut kononnya wang kekayaan bekas diktator yang meninggal dunia.
  • Mangsa ditawarkan sebahagian daripada kekayaan tersebut sekiranya membantu membiayai kos membeli cecair kimia untuk membersihkan wang hitam tersebut.
  • Mangsa terpedaya dengan tawaran berkenaan dan sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk membeli cecair kimia yang dikatakan ‘mahal’ itu.
  • Setelah memperoleh wang daripada mangsa, suspek menghilangkan diri.

Nasihat:

  • Elakkan daripada menjadi mangsa penipuan ini dan berhati-hati sekiranya berurusan dengan orang yang dikenali melalui media sosial.

Sumber: Polis Diraja Malaysia/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 86/Jun 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button