Pengguna

Waspada Terhadap Hadiah Percuma

Akhir-akhir ini, terdapat pelbagai bentuk penyelewengan dan penipuan yang melibatkan panggilan telefon dan e-mel di internet. Walaupun kes-kes ini berlaku secara bermusim, namun ia akan muncul dari semasa ke semasa. Hakikatnya, ramai mangsa tidak berani membuat laporan kerana dibelenggu oleh perasaan malu dan mereka dikategorikan dalam golongan yang berpelajaran.

Berikut adalah modus operandi yang biasa digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

a) Membuat panggilan telefon

Panggilan telefon merupakan cara paling mudah untuk memperdayakan mangsa. Selain daripada kosnya yang rendah, identiti syarikat atau pihak yang menelefon juga tidak diketahui. Alasan yang biasa digunakan apabila anda bertanyakan daripada mana maklumat anda diambil, ia diperoleh daripada kedai menjual barangan elektrik atau menggunakan nama syarikat-syarikat yang terkenal bagi meyakinkan anda.

b) Waktu panggilan pada hujung minggu atau pada cuti umum

Hujung minggu dan cuti umum adalah masa anda berehat di rumah dan tiada gangguan kerja-kerja pejabat. Anda juga tidak boleh membuat panggilan kepada syarikat yang terlibat untuk pengesahan (jika menggunakan nama syarikat terkenal).

c) Menawarkan hadiah percuma

Syarikat tersebut tidak meminta wang anda secara terus, tetapi menawarkan hadiah percuma untuk memikat hati anda. Syarikat juga menyatakan bahawa keinginan mereka untuk memberikan hadiah percuma bagi mengurangkan cukai syarikat. Syarikat tersebut mendakwa bahawa cabutan tersebut bersempena dengan perayaan ulang tahun syarikat dan sebagainya.

d) Memujuk atau meminta anda membuat keputusan segera

Syarikat menyatakan bahawa tawaran adalah terhad atau tawaran hanya untuk hari itu sahaja. Anda tidak berpeluang untuk berfikir dan menyemak latar belakang syarikat tersebut.

e) Meminta maklumat buku akaun atau membawa buku akaun bank / ASB dan sebagainya

Dengan cara ini, anda boleh membayar kepada syarikat tersebut secara terus atau pada hari yang sama.

f) Meminta wang anda terlebih dahulu

Langkah terakhir dan terpenting adalah mereka akan meminta wang daripada anda. Anda perlu membayar wang sebelum menerima hadiah percuma. Syarikat akan mendakwa bahawa pembayaran tersebut sebagai ‘bayaran pendahuluan’ atau pelbagai nama lagi.

Langkah di atas adalah panduan untuk anda lebih berhati-hati. Jika anda sudah mula berurusan dengan mereka, letakkan gagang telefon atau beredar secepat mungkin.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 42/Oktober 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button