Pelan PelaburanPengguna

Waspada dengan Pelaburan Skim Cepat Kaya

Pelaburan Skim Cepat Kaya merupakan topik hangat yang sering dipaparkan oleh media tempatan, iaitu orang ramai masih menjadi mangsa syarikat atau individu yang menjalankan aktiviti haram tersebut. Penganjur skim cepat kaya sentiasa mencari peluang dan kesempatan untuk menipu orang ramai. Sikap tamak pengguna yang tidak berkesudahan adalah antara faktor utama yang telah digunakan oleh penganjur-penganjur skim cepat kaya untuk mengekploitasi mereka bagi menyertai skim ini.

Pelbagai tindakan dan usaha telah dijalankan oleh pihak berkuasa termasuk Bank Negara Malaysia, dalam membanteras dan menyedarkan orang ramai agar tidak terbabit di dalam skim cepat kaya. Namun begitu, orang ramai masih terjebak dan terpengaruh dengan penganjur-penganjur skim yang menawarkan skim pelaburan yang kononnya dapat menjana pulangan yang lumayan dengan cepat daripada jumlah pelaburan yang kecil dan tanpa risiko.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil inisiatif bagi memastikan diri mereka tidak tertipu dengan skim-skim pelaburan cepat kaya dengan mengambil langkah berjaga-jaga seperti berikut:-

i) Semak dahulu dengan pihak berkuasa sebelum melabur

Walaupun individu yang memperkenalkan skim pelaburan ini mungkin kelihatan jujur dan boleh dipercayai, pelabur adalah dinasihatkan supaya jangan terburu-buru membuat keputusan untuk melabur. Siasat pelaburan tersebut terlebih dahulu dengan terperinci dan semak dengan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi memastikan pelaburan jenis tersebut tidak tergolong dalam aktiviti skim cepat kaya. Bagi skim pengambilan deposit, orang ramai hanya boleh berurusan dengan institusi perbankan, manakala urus niaga tukaran mata wang asing hanya boleh diuruskan dengan peniaga mata wang asing yang diberi kuasa di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 dan pengurup mata wang berlesen di bawah Akta Pengurupan Wang 1998. Untuk mengetahui senarai entiti tersebut di atas, sila layar laman web Bank Negara Malaysia dengan mengikut langkah-langkah tersebut:

  • Taip http://bnm.gov.my
  • Klik pada butang ‘Related Link’ di bahagian atas sebelah kanan
  • Untuk senarai peniaga mata wang asing, sila klik pada ‘List of Authorised Dealers of Foreign Currency Pursuant to Section 2 of the Exchange Control Act 1953’
  • Untuk senarai pengurup wang berlesen, sila klik pada ‘Licensed Money Changers in Malaysia’

Orang yang memperkenalkan skim pelaburan tersebut mungkin juga turut sama tertipu dengan mempercayai bahawa skim pelaburan tersebut adalah sah di sisi undang-undang.

ii) Beringatlah bahawa skim pelaburan yang menjanjikan sesuatu pulangan yang luar biasa selalunya akan memakan diri sendiri

Jangan tertipu dengan pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa atau keuntungan yang telah ‘dijamin’ tanpa melibatkan sebarang risiko. Ketahuilah bahawa semakin tinggi pulangan sesuatu pelaburan, semakin tinggilah risiko yang perlu ditanggung. Jaminan keuntungan besar dengan risiko kecil adalah contoh jelas penipuan dalam pelaburan.

Modus operandi yang biasa digunakan bagi memperdaya orang ramai untuk melabur dalam pelaburan haram ini adalah seperti berikut:-

i) Menjanjikan pulangan yang tinggi bagi setiap pelaburan kecil

Bagi setiap pelaburan yang dibuat, dijamin akan mendapat keuntungan yang tinggi. Keuntungan yang dijanjikan adalah sangat tinggi, tidak munasabah dan tidak mencerminkan hasil pulangan bagi jumlah pelaburan yang dilaburkan. Pihak penganjur sentiasa menabur janji untuk terus membayar pulangan yang tinggi sama ada dalam bentuk janji-janji faedah, pulangan atau keuntungan. Walaupun nama dan bentuk aktiviti berkenaan mungkin berbeza di antara satu sama lain, namun tujuan utamanya tetap sama, iaitu untuk mengaburi pelabur-pelabur yang lain supaya tertarik dengan tawaran pelan pelaburan tanpa had dan tanpa risiko dengan jaminan keuntungan yang lebih banyak dalam masa yang singkat.

ii) Menggunakan penglibatan orang-orang yang berpengaruh atau mempunyai kedudukan dalam masyarakat

Sejak kebelakangan ini, penganjur skim cepat kaya telah menarik beberapa orang yang berpengaruh atau mempunyai kedudukan dalam masyarakat seperti, pegawai kerajaan, pegawai beruniform, guru, ustaz/imam dan sebagainya sebagai pelabur. Penganjur skim cepat kaya ini telah mengeksploitasi penglibatan orang yang berpengaruh atau mempunyai kedudukan dalam masyarakat ini bagi memberi gambaran seolah-olah skim sedemikian telah diluluskan oleh pihak Kerajaan untuk memperdaya pelabur-pelabur lain untuk melabur.

iii) Mengeluarkan Surat Kuasa Palsu

Penganjur skim cepat kaya telah bertindak dengan lebih berani, iaitu menipu/mengelirukan orang ramai dengan mengatakan bahawa mereka telah mendapat kelulusan yang diperlukan dari pihak berkuasa dengan menunjukan surat kuasa palsu. Dengan surat kuasa palsu ini, ramai telah terjebak dalam skim cepat kaya.

iv) Memberi Jaminan Tiada Risiko

Penganjur skim cepat kaya sentiasa memberi jaminan bahawa keuntungan daripada pelaburan dan pulangan modal adalah dijamin dan tidak berisiko. Mereka akan menunjukkan beberapa orang pelabur yang telah berjaya mendapatkan keuntungan hasil pelaburan tersebut.

v) Membuat Pelaburan dalam Perniagaan

Penganjur skim cepat kaya sering mengatakan bahawa mereka melaburkan wang pelabur didalam syarikat ternama di dalam dan luar negara. Antaranya dalam perniagaan emas, hartanah, lembu/kambing, pelancongan dan sebagainya.

vi) Membuat Pelaburan Dalam Koperasi

Sejak akhir-akhir ini, penganjur skim cepat kaya telah cuba menarik pelaburan baru melalui penubuhan koperasi, iaitu mereka berselindung di bawah penubuhan koperasi untuk memperdaya pelabur.

Sekiranya orang ramai merasakan diri mereka telah tertipu dan menjadi mangsa penipuan kewangan atau penipuan skim-skim cepat kaya yang lain, maka mereka dinasihatkan supaya membuat laporan polis.

Untuk maklumat/penjelasan lanjut, pertanyaan dan aduan, orang ramai adalah dinasihatkan supaya menghubungi bank masing-masing atau nombor talian bebas tol Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) juga dikenali sebagi ABMConnect di 1-300-88-9980.

Orang ramai juga boleh melayari laman http://fraudalert.bnm.gov.my untuk mendapatkan pelbagai maklumat lanjut berkenaan skim pelaburan cepat kaya serta tindakan penguatkuasaan yang telah diambil oleh Bank Negara Malaysia terhadap penganjur-penganjur skim tersebut.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 14/Jun 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button