Pengguna

Wang Tidak Patuh Syariah: Konsep Dan Cara Melupuskannya

Apakah maksud Wang Tidak Patuh Syariah?

Prof. Dr. Muhammad Nabil Ghanayim, Profesor di Kuliyyah Syariah Universiti Kaherah, telah mentakrifkan wang atau harta tidak patuh syariah sebagai harta haram yang diperoleh melalui cara yang tidak syarie, iaitu mengambil harta yang terdapat larangan ke atasnya atau terdapat balasan (had) ke atas pelakunya, atau terdapat janji buruk berkaitannya, atau yang dinamakan sebagai batil oleh Allah S.W.T.

Pandangan Imam Al-Syafie juga telah menyatakan bahawa syariah telah melarang lapan perkara pokok iaitu riba, gharar, perjudian, penipuan, rampasan, ihtikar (monopoli barangan), rasuah dan perniagaan yang tidak patuh syariah serta mendatangkan kemudaratan (seperti arak, babi, bangkai, makanan yang memudaratkan, pendapatan daripada pelacuran dan seumpamanya).

Kebanyakan fuqaha’ mutakhir ini mentakrifkan harta tidak patuh syariah ialah harta yang dimiliki dan diperoleh melalui wasilah yang tidak diiktiraf oleh syarak, seperti rompakan, rampasan, hasil jualan barang curi, rasuah, perjudian, loteri, transaksi riba, perlindungan insurans konvensional, keuntungan pelaburan di dalam sekuriti tidak patuh syariah dan seumpamanya.

Menurut Suruhanjaya Sekuriti (SC), sesebuah syarikat diklasifikasikan sebagai sekuriti yang tidak patuh syariah sekiranya syarikat itu menjalankan aktiviti teras yang tidak selaras dengan syariah seperti berikut:

  1. Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah);
  2. Perjudian dan pertaruhan;
  3. Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan;
  4. Insurans konvensional;
  5. Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan syariah;
  6. Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan;
  7. Pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh syariah; dan
  8. Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan syariah.

Bagaimanakah kaedah melupuskan Wang Tidak Patuh Syariah?

Berkenaan dengan kedudukan wang-wang faedah yang diperoleh secara haram, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi, dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah, telah memutuskan bahawa wang-wang faedah yang diperoleh secara haram adalah haram secara yakin untuk ditinggalkan begitu sahaja di bank-bank konvensional.

Menurut beliau, ia seolah-olah seperti menolong bank-bank konvensional yang akan turut menggunakan wang-wang faedah yang ditinggalkan itu untuk tujuan yang bertentangan dengan hukum syarak.

Beliau menegaskan, tidak harus seseorang menggunakannya (wang faedah) tersebut kerana tindakan menggunakan wang tersebut adalah termasuk di dalam kategori memakan harta yang diperoleh melalui jalan kezaliman. Tidak boleh dimanfaatkan melalui jalan makanan, minuman, tempat tinggal, membayar cukai dan sebagainya.

Para Fuqaha’ kontemporari juga sependapat dengan beliau yang mana perbuatan yang menyalahi hokum syarak, iaitu melarang tindakan idha’ah al-mal iaitu mensia-siakan harta tanpa dimanfaatkan oleh sesiapa.

Menurut Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga, sesuatu yang haram itu tidak boleh dimiliki, sebaliknya ia menjadi milik maslahah umum, seperti menggunakan untuk perkara-perkara kebajikan seperti membantu anak-anak yatim, perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya, yang bersifat kebajikan.

Adakah fatwa-fatwa di negara ini telah diputuskan berkenaan Wang Tidak Patuh Syariah?

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam 2009

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, telah memutuskan bahawa:

“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa, di dalam Islam harta-harta yang diperoleh dengan cara yang tidak mematuhi syariah, seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya, adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

  1. Diserahkan kepada baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
  2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau
  3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal.”

Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti

Baitulmal telah disenaraikan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti dalam ketetapannya tentang Senarai Sekuriti Patuh Syariah pada 20hb. November 2008.

Pengklasifikasian sesuatu pelaburan yang mematuhi syariah (shariah-compliant securities) boleh dilihat dengan jelas melalui Senarai Sekuriti Patuh Syariah yang dikeluarkan Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bertarikh 25hb. November 2011 (Layari: http://www.sc.com.my/eng/html/icm/sas/sc_syariahcompliant_111125.pdf). Selain itu, dinyatakan juga dalam senarai tersebut tentang aras sesuatu sekuriti itu diukur dari segi kehalalan dan kepatuhan prinsip syariahnya. Bukan itu sahaja, senarai tersebut juga dinyatakan syarikat-syarikat yang terkeluar atau tidak mematuhi syariah dengan jelas.

Selain itu, Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti juga telah mengeluarkan List of launched funds in relation to unit trust funds yang dikemas kini pada 29 Februari 2012 yang secara jelas menyatakan tentang dana-dana amanah yang mematuhi syariah dan tidak mematuhi syariah. (Layari: http://www.sc.com.my/eng/html/resources/stats/UTF.pdf)

Kesimpulan

Penggunaan wang tidak patuh syariah yang dilupuskan oleh mana-mana individu atau institusi adalah terhad bagi tujuan maslahah umum atau kepentingan awam, sama ada digunakan manfaatnya oleh orang Islam, mahupun orang bukan Islam.

Setiap umat Islam mempunyai tanggungjawab untuk menjauhkan diri daripada bermuamalah dengan urusanurusan yang melibatkan perkara-perkara haram atau diragui kehalalannya.

Dengan kepesatan pembangunan ekonomi negara dan tumbuhnya pelbagai institusi kewangan Islam pada hari ini, seperti bank-bank Islam, akaun-akaun dan sekuriti-sekuriti patuh syariah, syarikat-syarikat insurans Islam (takaful), syarikat-syarikat pajak gadai Islam (Ar-Rahnu) dan sebagainya, maka menjadi kewajipan (compulsory) kepada umat Islam untuk menggunakan sistem kewangan Islam yang wujud ini dengan sewajarnya.

Namun, sekiranya transaksi-transaksi yang berlaku masih mewujudkan elemen-elemen haram atau syubhah, maka hasil daripada aktiviti yang tidak mematuhi syariah tersebut perlu dilupuskan dan diserahkan kepada pihak yang sewajarnya mengikut hukum syarak.

Sumber : MAIS/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 29/September 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button