Pengurusan Kewangan

Uruskan Kewangan Anda Dengan eCCRIS

APA ITU eCCRIS?

Bank Negara Malaysia mengumumkan pengenalan inisiatif baharunya iaitu eCCRIS, sebuah platform dalam talian yang selamat untuk orang ramai mengakses laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (Central Credit Reference Information System, CCRIS) masing-masing, di mana-mana sahaja mengikut kemudahan mereka. Perkhidmatan ini disediakan secara percuma dan boleh didapati di seluruh negara mulai hari ini.

Laporan CCRIS menunjukkan rekod pembiayaan dan pembayaran balik peminjam dengan institusi kewangan peserta bagi tempoh 12 bulan yang lalu. Laporan CCRIS merupakan laporan maklumat pinjaman dan tidak memberikan penilaian kedudukan kredit peminjam serta bukannya suatu bentuk senarai hitam.

eCCRIS merupakan lanjutan usaha Bank Negara Malaysia untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia dengan menggalakkan pengurusan kewangan yang berhemat. Dengan adanya eCCRIS, orang ramai kini boleh mengakses laporan CCRIS mereka secara dalam talian melalui laman sesawang eCCRIS. eCCRIS menyediakan instrumen dalam talian yang mudah untuk pengguna memantau dan mengesahkan kedudukan kredit termasuk rekod pembayaran balik pinjaman mereka. Pengguna juga boleh memohon pengesahan data secara langsung dengan institusi kewangan peserta melalui eCCRIS bagi mengesahkan dan meminda apa-apa maklumat yang tidak tepat dalam laporan CCRIS mereka. Melalui eCCRIS, pengguna boleh memantapkan urusan kewangan mereka.

Apakah yang boleh anda lakukan semasa melayari laman sesawang eCCRIS?

Dapatkan Laporan CCRIS
Anda boleh dapatkan laporan CCRIS terkini dan laporan CCRIS yang lalu.

Kemukakan permohonan pengesahan data
Kemukakan permohonan pengesahan data secara langsung kepada institusi kewangan yang  berkenaan atau Bank Negara Malaysia sekiranya terdapat maklumat yang tidak tepat dalam laporan CCRIS anda.

Langkah-langkah untuk mengemukakan permohonan pengesahan data :

  1. Dapatkan laporan CCRIS semasa.
  2. Pilih akaun pinjaman atau profil peminjam yang berkenaan.
  3. Berikan butiran penting dan kepilkan dokumen sokongan yang berkaitan.
  4. Hantar permohonan – seterusnya ia akan dihantar secara automatik kepada institusi kewangan yang berkenaan atau Bank Negara Malaysia.

Uruskan profil anda
Kemas kini profil anda sperti nombor telefon mudah alih, kata laluan, alamat rumah dan e-mel; dan uruskan tetapan keselamatan seperti imej, frasa, soalan dan jawapan keselamatan.

5 Langkah Pendaftaran eCCRIS

Langkah 1 : Permohonan Pin 6 digit
Individu / wakil syarikat yang dibenarkan hendaklah datang sendiri ke BNM LINK Kuala Lumpur, pejabat-pejabat BNM atau cawangan AKPK.

Langkah 2 : Pengesahan Identiti
> Bagi individu, pengesahan biometrik dengan MyKad dan pendaftaran nombor telefon mudah alih perlu dilakukan di kiosk CCRIS.

> Bagi perniagaan dan syarikat, surat kebenaran dan sijil pendaftaran diperlukan untuk individu yang dibenarkan untuk mendaftar bagi pihak perniagaan atau syarikat.

Langkah 3 : Pin 6 digit akan dihantar ke nombor telefon mudah alih anda yang didaftarkan

Langkah 4 : Masukkan nombor MyKad dan Pin 6 digit anda untuk log masuk kali pertama di https://eccris.bnm.gov.my

Langkah 5 : Tetapkan ID pengguna dan kata laluan pilihan anda. Pilih imej dan frasa keselamatan, serta tetapkan tiga soalan keselamatan beserta jawapan.

Untuk mendapatkan laporan CCRIS anda selepas selesai buat pendaftaran :

  • Layari https://eccris.bnm.gov.my
  • Log masuk dengan ID pengguna dan kata laluan
  • Nombor TAC adalah diperlukan untuk keselamatan tambahan apabila anda menukar nombor telefon mudah alih

Sumber: Bank Negara Malaysia

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button