Pelan PerbelanjaanPengurusan Kewangan

Uruskan Kewangan Anda dengan Bijak Terutama Pada Musim Perayaan

Setiap kali tiba musim perayaan, ramai yang sibuk membuat persediaan untuk menyambut perayaan tersebut. Seelok-eloknya anda tidak usah terlebih belanja pada musim ini memandangkan anda perlu juga menabung untuk situasi yang tidak diduga seperti kecemasan.

Berikut adalah beberapa tip asas untuk membantu anda menghindari tabiat boros berbelanja pada musim perayaan ini.

1) Sediakan senarai bajet yang anda harus patuhi

Penyediaan bajet sebelum keluar membeli-belah sememangnya berguna. Satu senarai beli belah boleh membantu anda berbelanja mengikut peruntukan wang yang anda tetapkan. Apabila membuat bajet, pastikan ia realistik. Memandangkan sumber kewangan anda terhad, kenal pasti perbelanjaan yang paling perlu terlebih dahulu.

2) Opsyen balik kampung

Sekiranya anda perlu berjalan jauh untuk balik ke kampung halaman, rancanglah dengan sempurna awal-awal lagi. Lazimnya pada musim perayaan, kesesakan lalu lintas tidak dapat dielakkan. Pastikan anda servis kenderaan anda sebelum membuat perjalanan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini, termasuk apa-apa kesulitan yang akan memerlukan wang. Jika anda menggunakan kenderaan awam untuk balik kampung, cubalah mendapatkan tiket anda seawal mungkin atau pada waktu tambang murah. Tabiat merancang awal tentunya akan menguntungkan anda.

3) Jadilah pembeli bijaksana

Selalu meninjau harga barangan dan perkhidmatan serta buatlah perbandingan harga. Adakah perlu untuk membeli barangan berjenama mahal? Apa salahnya membeli barangan generic keluaran jenama pasar raya yang lebih murah dan tidak kurang kualitinya? Sediakan senarai barangan yang perlu dibeli. Terdapat pelbagai pusat beli belah yang mengadakan jualan murah apabila musim perayaan tiba. Akan tetapi janganlah terlalu ghairah pada waktu ini untuk mengelakkan terlebih belanja. Wang berlebihan yang disimpan boleh digunakan untuk tabungan ataupun keperluan lain.

4) Amalkan tabiat kitar semula

Mengguna semula hiasan seperti langsir, alas kusyen dan butiran kecil seperti hiasan perayaan berdasarkan kreativiti dan inovasi anda serta keluarga. Cara ini turut membolehkan anda menjimatkan wang. Jangan lupa menabung walaupun tibanya masa untuk beraya!

5) Buatlah persediaan sendiri

Rekodkan segala perbelanjaan anda. Kenal pasti perbelanjaan tetap dan berubah anda. Sekiranya anda mendapati anda telah berbelanja lebih, cuba hadkan perbelanjaan kepada apa yang perlu sahaja.

6) Baju baru – berapa set sebenarnya?

Mempunyai baju raya dan kasut baru untuk hari pertama perayaan adalah suatu kebiasaan. Apa kata anda membeli baju yang anda boleh pakai semula kelak. Adakah perlu membeli jenama mahal dan berbaloikah untuk nilai wang anda? Adakah anda akan mengguna semula pakaian tersebut dengan kerap?

7) Beli apa yang anda perlu, bukan apa yang anda mahu

Perubahan gaya hidup akan memanfaatkan situasi kewangan anda. Pastikan anda membayar penuh bil kad kredit anda sekiranya anda ingin menggunakan kad tersebut. Ini kerana baki hutang kad kredit yang dibawa ke bulan seterusnya akan dikenakan faedah kompaun, walaupun anda membayar bayaran minimum. Belanjalah untuk keperluan, bukan untuk barangan mewah.

8) Jangan lupakan kewajipan anda

Memang menjadi kebiasaan untuk bergembira semasa musim perayaan. Menabung terlebih dahulu, dan seperti biasa, pastikan sekurang-kurangnya 10% daripada gaji bersih anda ditabungkan. Cuma beli apa yang perlu mengikut bajet yang ditetapkan. Sekiranya anda perlu membeli barangan mahal, pastikan ia dilihat sebagai suatu pelaburan yang baik, iaitu untuk jangka masa panjang. Hidup secara sederhana dan praktikkan tangguhan kepuasan sehingga anda benar-benar mampu berbelanja. Ambillah beberapa hari untuk memastikan sama ada anda boleh hidup tanpa barangan atau perkhidmatan tersebut.

9) Berseronoklah secara sederhana

Berdisiplin dan menjadikan tabiat menabung tanpa mengira peristiwa atau waktu. Anda Cuma memerlukan sedikit kreativiti dan rancangan. Anda boleh merayakan perayaan secara sederhana. Lagipun, yang paling penting ialah pertalian silaturrahim antara keluarga dan rakan-rakan. Dengan ini, anda diharapkan akan membuat keputusan yang bijak semasa musim perayaan menjelma. Ingat, sentiasalah amalkan pengurusan kewangan berhemat sebagai budaya hidup.

Sumber : AKPK/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 17/September 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button