Pengurusan HutangPengurusan Kewangan

Urus Wang Bonus Secara Bijak

Menguruskan kewangan dengan bijak merupakan sesuatu amalan yang penting, apatah lagi apabila mendapat bonus pada hujung tahun. Bonus merupakan perkataan yang memberikan makna yang besar kepada warga kerja. Kadar bonus yang diterima adalah berbeza-beza mengikut pangkat, pengalaman bekerja, tempoh bekerja dan juga prestasi pekerja tersebut. Pastinya semua orang mempunyai kaedah pengurusan kewangan tersendiri apabila menerima bonus. Namun anda perlu mendisiplinkan diri bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan betul dan bijak sebelum terlambat.

Antara panduan yang boleh digunakan dalam merancang kewangan adalah :

Pertamanya, menyimpan dahulu. Biasanya, sebelum mendapat bonus, pastinya pelbagai perkara telah difikirkan untuk membelanjakan wang tersebut. Mungkin ada yang ingin membeli kereta baru, mengubah suai rumah, membeli-belah, pergi melancong, beli barang keperluan anak dan sebagainya. Cara yang paling berkesan dalam pengurusan kewangan adalah menyimpan sebahagian daripada wang bonus itu sebelum berbelanja. Anda dinasihatkan supaya menyimpan sekurang-kurangnya 10-15 peratus daripada bonus yang anda terima.

Keduanya ialah menyimpan untuk keperluan kecemasan anda. Anda dinasihatkan untuk menggunakan wang bonus yang baru diterima untuk mewujudkan satu dana kecemasan bagi memastikan anda mampu terus menjalankan kehidupan seperti biasa biarpun ditimpa sebarang keadaan tidak diingini. Anda dinasihatkan untuk menyimpan sekurang-kurangnya lima peratus untuk dana kecemasan bagi menanggung kos perbelanjaan kecemasan.

Ketiga adalah membeli aset. Secara amnya, aset ialah apa sahaja yang dimiliki dan memberi nilai tambah kepada kewangan anda, sama ada dalam jangka masa panjang mahupun jangka masa pendek. Contoh aset yang boleh bertambah nilainya ialah rumah, emas, berlian dan hartanah.

Keempatnya adalah melangsaikan hutang anda. Apabila anda mempunyai wang yang berlebihan, anda seharusnya menggunakannya secara bijak dengan melangsaikan segala hutang yang sedia ada. Anda boleh melangsaikan semua hutang tersebut atau mengurangkan jumlah hutang dengan membayar melebihi daripada kadar bayaran bulanan. Dengan melangsaikan atau mengurangkan tanggungan hutang, anda dapat mempercepat tempoh pembayaran, sekali gus menjadikan anda bebas daripada beban kewangan. Langsaikan dahulu hutang yang mengenakan caj faedah tinggi seperti kad kredit dan sebagainya.

Seterusnya, sebahagian daripada wang bonus itu digunakan untuk membuat pelaburan, iaitu skim pelaburan yang sah. Pastikan anda menerima segala maklumat penting mengenai pelaburan yang anda ingin ceburi dan syarikat yang menguruskan pelaburan itu. Anda dinasihatkan supaya membuat analisis terhadap syarikat pelaburan sebelum melabur dalam skim pelaburan tersebut.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 41/September 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button