Pelan Pelaburan

Urus niaga mata wang asing (Forex) Haram

Urus niaga mata wang asing haram adalah merujuk kepada aktiviti membeli atau menjual mata wang asing antara orang persendirian atau syarikat dalam Malaysia dengan mana-mana individu yang tidak diberi kuasa atau kebenaran oleh Bank Negara Malaysia (BNM) di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Adalah menjadi suatu kesalahan jika seseorang individu di Malaysia membeli atau menjual mata wang asing (forex) atau melakukan apa-apa tindakan yang melibatkan, berhubung dengan, atau persediaan untuk, membeli atau menjual mata wang asing dengan manamana orang, selain daripada peniaga yang dibenarkan (authorised dealer).

Di bawah Akta ini juga, adalah satu kesalahan untuk seseorang itu membantu atau bersubahat dengan orang lain untuk membeli atau menjual mata wang asing dengan mana-mana orang, kecuali orang tersebut ialah peniaga yang dibenarkan.

Senarai peniaga dan institusi kewangan yang dibenarkan oleh Pengawal Pertukaran Wang Asing untuk membeli atau menjual mata wang asing boleh didapati di laman sesawang BNM di pautan ini.

Modus Operandi

Tipu helah syarikat-syarikat tidak bertanggungjawab yang menawarkan skim urus niaga mata wang asing haram termasuklah melalui:

  • Penawaran jawatan kosong dengan menjanjikan pendapatan lumayan kepada graduan-graduan lepasan ijazah, khususnya golongan muda.
  • Tawaran pelaburan melalui internet dengan pulangan keuntungan yang lumayan demi menarik orang ramai untuk melabur dalam forex.

Ciri-ciri penipuan pelaburan Forex

Orang ramai dinasihati agar sentiasa peka dengan kes-kes penipuan melibatkan pelaburan forex. Syarikat terbabit sering menggunakan modus operandi yang dikenal pasti seperti berikut:

  • Menawarkan kepada pelabur atau orang awam peluang untuk berurus niaga mata wang asing dengan syarikat induk (yang kononnya mempunyai lesen sah untuk berurus niaga mata wang asing di luar negara).
  • Memudahkan urus niaga mata wang asing dengan menyediakan akses kepada laman sesawang syarikat induk dan kemudahan urus niaga melalui internet.
  • Menggaji lepasan siswazah, terutamanya golongan muda, sebagai eksekutif pemasaran dan mempengaruhi mereka supaya menyertai dan seterusnya memujuk ahli keluarga mereka untuk turut membuat pelaburan forex.
  • Mengarahkan pelabur-pelabur untuk mendeposit wang pelaburan sama ada ke dalam akaun bank syarikat induk atau akaun bank pihak ketiga.
  • Mempengaruhi pelabur-pelabur untuk menambah jumlah pelaburan (panggilan margin) atau menghadapi risiko kehilangan pelaburan mereka.

Pengendali skim mata wang asing haram akan cuba meyakinkan bakalbakal pelabur dengan strategi pasaran yang menjanjikan pulangan segera dan tinggi:

Melalui penampilan imej yang profesional dan bereputasi dengan barisan pekerja yang berpakaian segak, keadaan pejabat yang bercirikan teknologi tinggi dan kemudahan IT yang terkini yang memudahkan pelabur-pelabur untuk mengendalikan akaun-akaun mereka melalui internet;

  • Dengan peralatan urus niaga, seperti suatu skrin berita yang menunjukkan pergerakan dalam kadar pertukaran untuk memberi gambaran bahawa sesuatu perniagaan yang profesional dan sah disisi undang-undang sedang dijalankan; dan
  • Kebiasaannya, pelabur juga dikehendaki untuk menandatangani satu kontrak urus niaga dengan syarikat. Kontrak-kontrak ini sering tidak ditandatangani oleh syarikat. Ini bermakna tiada tindakan boleh diambil oleh pelabur terhadap syarikat kerana tiada kontrak formal yang mengikat.

Bagaimanakah untuk melindungi diri daripada terjebak dengan skim seperti ini?

  • Sesuatu yang menguntungkan tetapi seakan terlalu mustahil untuk diterima akal, berkemungkinan besar merupakan satu penipuan;
  • Berurusan hanya dengan institusi kewangan berlesen dan peniaga mata wang asing yang diberi kuasa;
  • Semak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa yang berkaitan;
  • Jangan gopoh atau membiarkan diri dipaksa untuk melabur;
  • Berhati-hatilah dengan pelaburan yang dibuat melalui internet;
  • Berwaspada dengan sebarang peluang pelaburan yang tidak bertulis; dan
  • Jika suatu pelaburan telah dibuat, simpan kesemua dokumen yang berkaitan dengan pelaburan dan komunikasi dengan selamat.

Apakah yang perlu anda lakukan sekiranya anda menjadi mangsa skim seperti ini?

Jika anda mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti pengambilan wang secara haram atau urus niaga mata wang asing secara haram atau anda sendiri adalah mangsa kepada aktiviti atau skim haram seumpamanya  tersebut, sila hantar maklumat lanjut atau aduan anda berserta dengan dokumen berkaitan kepada Bank Negara Malaysia seperti berikut:

Jabatan LINK dan Pejabat Wilayah Bank Negara Malaysia Jalan Dato’ Onn 50480 Kuala Lumpur Faksimili: 03-21741515 Telefon: 1-300-88-5465 E-mel: bnmtelelink@bnm.gov.my

BNM akan membuat penilaian ke atas modus operandi yang dijalankan oleh pihak terbabit dan sekiranya terdapat elemen-elemen yang melanggari mana-mana peruntukan di bawah Akta yang ditadbir oleh BNM, pihak BNM akan mengambil tindakan sewajarnya keatas pihak terbabit.

Walau bagaimanapun, sekiranya modus operandi yang dijalankan tidak menunjukkan wujudnya perniagaan pelaburan forex maka aktiviti tersebut mungkin lebih menjurus kepada aktiviti penipuan yang menggunakan forex sebagai tarikan. Untuk kes yang melibatkan penipuan, ianya adalah tertakluk di bawah bidangkuasa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk membuat aduan terus kepada PDRM untuk tindakan mereka sewajarnya.

Sumber : Bank Negara Malaysia

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button