Skip to toolbar
Kad KreditPelan PerbelanjaanPenggunaPengurusan HutangPerancangan KewanganPinjaman

Urus Hutang Secara Aktif, Berbincanglah Dengan Institusi Perbankan Anda

Pengurusan hutang secara aktif kerap dilakukan, sama ada secara sedar atau tidak. Anda mungkin pernah dengar seseorang itu mengambil satu hutang yang baru untuk membayar beberapa hutang lain yang lebih kecil. Langkah ini mungkin dapat mengurangkan bayaran bulanan, tetapi tempohnya mungkin akan menjadi lebih panjang.

Ada juga yang beralih kepada hutang yang kadar faedahnya adalah lebih tinggi, seperti kad kredit, atau mungkin juga hutang ceti kepada hutang peribadi. Langkah sebegini, sekiranya diuruskan dengan betul dapat membantu pengguna untuk menguruskan aliran tunai secara efisien dan mampu memberikan lebihan wang kepada pengguna.

Namun, kajian rambang oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (dengan kerjasama Bernama) pada bulan Julai 2020 mendapati 76% rakyat Malaysia tidak menyedari yang peminjam individu mahupun perniagaan boleh mendapatkan khidmat nasihat profesional daripada institusi perbankan untuk mengatur semula hutang. Institusi perbankan merupakan pakar dalam menasihati pelanggan mereka untuk menguruskan hutang secara aktif bagi individu mahupun perniagaan.

Secara umumnya, terdapat tiga cara untuk mengatur semula hutang anda iaitu:

Kelonggaran (Flexibility)

  • Kebenaran daripada pihak institusi perbankan untuk memberi keringanan dalam pembayaran balik pinjaman.
  • Moratorium adalah contoh keringanan yang terpakai kepada semua peminjam.

Penjadualan semula (Reschedule)

  • Memanjangkan tempoh bayaran tanpa mengubah struktur pinjaman.
  • Terdapat persetujuan antara anda dan institusi perbankan untuk menjadual semula pinjaman anda, hasil daripada perundingan antara kedua belah pihak. Kebiasaannya, masih dalam kerangka perjanjian pinjaman sedia ada.

Penstrukturan semula (Restructure)

  • Perubahan pada struktur pinjaman secara menyeluruh berdasarkan situasi kewangan spesifik peminjam.
  • Melibatkan perubahan terhadap perjanjian pinjaman asal kepada perjanjian baru yang lebih selesa, mengikut keperluan peminjam secara lebih komprehensif.
  • Contohnya, kemudahan overderaf ditukar kepada pinjaman bertempoh, jumlah dan tempoh pinjaman serta jumlah bayaran bulanan mungkin juga boleh dikurangkan berdasarkan kadar yang lebih rendah, produk yang kadar faedahnya rendah, mahupun tempoh yang lebih tinggi.
  • Penstrukturan semula banyak membantu dalam pelan jangka panjang peminjam individu mahupun sesebuah perniagaan. Ianya membantu aliran tunai ketika masa sukar dan menyumbang kepada pengurusan kewangan harian secara lebih efisien.

Bagi syarikat-syarikat besar pula, mereka mampu untuk mengambil penasihat kewangan bagi tujuan ini. Selagi hutang peminjam tidak bermasalah, proses pengurusan hutang sebegini tidak akan menjejaskan rekod kredit peminjam, malahan akan menjadikan rekod peminjam lebih kukuh untuk jangka panjang.

Institusi perbankan juga menyedari ramai rakyat Malaysia yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada yang hilang pekerjaan, perniagaan terjejas mahupun punca pendapatan menjadi berkurangan. Hal ini sedikit sebanyak akan menjejaskan kemampuan untuk membayar balik pinjaman apabila tempoh pengecualian pembayaran pinjaman berakhir September ini.

Bagi mendapatkan penyelesaian yang komprehensif untuk jangka masa panjang, penstrukturan semula mungkin merupakan jalan terbaik dan lebih efisien. Walau bagaimanapun, proses penstrukturan semula memakan masa yang lebih panjang kerana pihak bank perlu menilai kemampuan peminjam berdasarkan terma yang baru.

Antara dokumen yang diperlukan untuk memohon termasuklah:

  • Penyata bank
  • Slip gaji
  • Akaun perniagaan
  • ‘Aging list’ iaitu unjuran mudah tunai lampau dan lain-lain.

Penstrukturan semula juga mungkin melibatkan perjanjian

Oleh itu, pengguna dinasihatkan agar menghubungi terus institusi perbankan dengan segera dan berbincang mengenai keperluan menstruktur semula pinjaman mereka. Elakkan daripada menggunakan perkhidmatan pihak ketiga dalam proses ini untuk mengelakkan anda daripada ditipu.

Sebarang kelewatan mungkin menyebabkan peminjam berasa tertekan, memandangkan mereka perlu menyambung komitmen kewangan lama dalam senario punca pendapatan yang terjejas. Ini boleh mengganggu emosi, kerjaya, perkembangan perniagaan dan juga aliran tunai. Pengguna perlu mula merancang dari sekarang berkenaan pinjaman yang perlu dibayar sebelum pengecualian pembayaran balik pinjaman berakhir. Jangan hanya tunggu dan lihat.

Sehubungan itu juga, FOMCA menyarankan agar pengguna menilai semula kedudukan kewangan anda. Sekiranya pengguna menjangkakan akan menghadapi masalah pembayaran balik pinjaman, pengguna perlu menghubungi institusi kewangan masing-masing secepat mungkin untuk berunding. Pengguna yang mempunyai pinjaman lebih dari satu bank, boleh juga menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan nasihat secara percuma kerana agensi berkenaan akan memberikan kaunseling atau membantu menstruktur semula pinjaman, jika diperlukan.

Sumber: www.bnm.gov.myEdisi 113/Sept 2020

Artikel Berkaitan

Back to top button