Akta dan PerundanganPelan PerbelanjaanTip dan Panduan

Undang-Undang Berkaitan Penyewaan Rumah

Ali (bukan nama sebenar) baru mula bekerja di daerah Petaling. Beliau ingin menyewa sebuah bilik di Kelana Jaya. Walau bagaimanapun, Ali tidak pasti tentang prosedur atau undang-undang berkaitan penyewaan bilik dan bagaimana untuk melindungi dirinya daripada ditipu oleh pemilik rumah atau ejen-ejen hartanah yang tidak bertanggungjawab.

Berikut ialah beberapa panduan yang boleh anda gunakan apabila ingin menyewa bilik atau rumah.

Di Malaysia tidak terdapat undang-undang yang khusus berkaitan penyewaan rumah. Bagaimanapun, terdapat beberapa peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara 1965, dalam Bahagian 15: Pajakan dan Tenansi, yang biasanya digunakan untuk menyelesaikan sebarang pertikaian berkaitan dengan penyewaan. Selain itu, undang-undang lain tentang penyewaan ialah:

  • Akta Kontrak 1950 – untuk perkara berkaitan perjanjian penyewaan.
  • Akta Relief Spesifik 1950 – pemilik rumah adalah dilarang mengusir penyewa, menukar kunci, dan sebagainya tanpa perintah mahkamah.
  • Akta Undang-Undang Sivil 1956 – untuk perkara berkaitan pembayaran sewa.
  • Akta Distres 1951 – berkenaan hak penyewa apabila pemilik rumah ingin mengusir penyewa.

 

Berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu anda ketahui sebagai penyewa untuk melindungi diri anda daripada sebarang tindakan tidak bertanggungjawab oleh pemilik rumah.

  1. Perjanjian Penyewaan

Perjanjian penyewaan ditakrif sebagai kontrak yang ditandatangani oleh pemilik rumah dan penyewa, yang menyatakan dengan jelas semua terma dan syarat mengenai sewa harta.

Kedua-dua pihak dibenarkan untuk merundingkan syarat-syarat perjanjian penyewaan. Apabila mereka telah bersetuju dan menandatangani kontrak, pemilik rumah dan penyewa akan terikat dengan syarat yang dinyatakan dalam perjanjian tersebut. Biasanya pemilik rumah akan membuat perjanjian penyewaan mereka sendiri. Oleh itu, penyewa disyorkan untuk mengupah seorang peguam atau ejen hartanah yang profesional untuk menyemak kontrak tersebut, bagi memastikan hak kedua-dua pihak dilindungi sepanjang tempoh penyewaan.

  1. Apakah perkara yang terdapat dalam perjanjian penyewaan?

Sebelum permulaan tempoh penyewaan, pastikan perkara berikut terdapat dalam perjanjian. Anda sebagai penyewa perlu bersetuju dengan perkara tersebut.

Perkara Keterangan
Sewa bulanan • Sewa biasanya boleh dirundingkan. Perjanjian tersebut perlu menyatakan tarikh penyewa perlu membayar sewa pada setiap bulan.
Deposit Keselamatan • Deposit ini digunakan untuk menampung sebarang ganti rugi kepada harta atau perabot (disediakan oleh pemilik rumah) yang disebabkan oleh kecuaian penyewa semasa tempoh penyewaan.

• Biasanya deposit keselamatan yang dikenakan ialah dua bulan sewa dan setengah bulan sewa sebagai deposit bayaran utiliti (air dan elektrik).

• Deposit ini tidak akan dipulangkan jika penyewa membuat keputusan untuk mengosongkan premis sebelum tarikh tamat kontrak.

Cara pembayaran sewa bulanan Sewa biasanya dibayar melalui pindahan bank untuk mengelakkan sebarang kerumitan. Walau bagaimanapun, sebagai penyewa, pastikan anda meminta resit untuk bayaran sewa setiap bulan.
Butir-butir pemilik dan penyewa • Pastikan perjanjian ini dilengkapi dengan nama penuh, nombor kad pengenalan / pasport dan alamat kedua-dua pihak.
Tarikh permulaan dan tamat tempoh penyewaan • Tarikh permulaan penyewaan ialah tarikh penyewa diberikan kunci rumah sewa dan penyewa harus berpindah pada tarikh tamat tempoh penyewaan. Peruntukan ini juga perlu menyatakan jumlah notis (hari / bulan) penyewa harus memberi notis sebelum keluar atau jika ingin memperbaharui perjanjian penyewaan.
Sebarang syarat khas lain yang dikenakan oleh pemilik rumah • Contohnya: ‘Tidak boleh membawa binatang peliharaan’, had bilangan orang yang dibenarkan tinggal di rumah, tempat letak kereta, dan sama ada penyewa boleh merokok dalam premis atau berhampiran dengan harta itu.

• Pastikan anda berbincang dengan pemilik rumah jika anda tidak bersetuju dengan syarat-syarat yang dinyatakan dalam perjanjian penyewaan.

 

  1. Bolehkah pemilik rumah mengusir atau mengunci penyewa jika penyewa gagal menjelaskan bayaran sewa pada masanya?

Salah di sisi undang-undang bagi pemilik harta untuk mengusir penyewa atau mengambil kembali milik rumah / bilik tanpa perintah mahkamah mengikut Seksyen 7 (2) Akta Bantuan Khusus 1950.

Oleh itu, pemilik rumah tidak harus menukar / memecah kunci atau mengusir penyewa tanpa perintah mahkamah. Sekiranya pemilik rumah berbuat demikian, mereka boleh didakwa kerana mencerobohi rumah yang dihuni oleh penyewa.

Sebagai penyewa, anda perlu menjelaskan bayaran sewa bulanan tepat pada masanya. Jika anda menghadapi masalah berkaitan bayaran sewa, anda perlu menghubungi pemilik rumah dan berbincang mengenainya. Anda perlu menyedari terdapat pemilik rumah yang bergantung kepada sewa bulanan sebagai sumber pendapatan bulanan mereka.

Akhir sekali, anda perlu memeriksa semua yang ada di dalam rumah sebelum anda menandatangani kontrak. Ini bagi memastikan premis tersebut diserahkan kepada anda dalam keadaan yang baik. Jika terdapat sebarang kecacatan terhadap rumah tersebut, anda perlu memberitahu pemilik rumah supaya kecacatan tersebut diketahui olehnya dan diperbaiki sebelum anda menghuni rumah tersebut.

 

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 100/Ogos 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button