Pengguna

Tuntutan Waranti Televisyen

Saya telah membeli sebuah televisyen berharga RM12,999 pada tahun 2012. Sebelum saya membeli televisyen tersebut, pihak syarikat telah memaklumkan bahawa produk tersebut mempunyai waranti selama 5 tahun. Baru-baru ini, televisyen saya mengalami kerosakan pada panel skrin. Saya telah pergi ke kedai untuk membuat tuntutan waranti seperti yang dimaklumkan. Pihak syarikat tidak mempunyai stok alat ganti bagi membaiki model televisyen saya dan menawarkan model televisyen berharga RM3,499 bagi menggantikan model televisyen saya. Saya tidak bersetuju dengan tawaran berkenaan kerana merasakan tidak setimpal dengan nilai wang yang saya bayar sebelum ini. Pada pandangan tuan, adakah wajar saya meminta pihak syarikat menggantikan model yang lebih kurang sama harganya dengan model televisyen terdahulu? Mohon pandangan.

Terima kasih

 

Jawapan:

Perkara penting dalam isu seperti ini ialah waranti bagi setiap jenama adalah berbeza-beza. Begitu juga dengan had perlindungan sesuatu produk. Oleh itu, anda seharusnya menjadi pengguna yang bijak dan mendapatkan segala maklumat berkenaan waranti model televisyen yang ingin dibeli.

Hal ini penting supaya tidak berlaku salah faham antara pihak pelanggan dan syarikat sekiranya berlaku tuntutan waranti pada masa akan datang. Biasanya, setiap jenama menawarkan waranti mengikut model televisyen. Pengguna juga akan ditawarkan insurans ke atas set televisyen, iaitu pengguna memperoleh insurans tersebut dengan harga yang tertentu mengikut had tertentu. Insurans biasanya akan berkuat kuasa selepas luputnya tempoh waranti untuk sesebuah set televisyen. Di sini, pengguna harus tahu dan faham perbezaan waranti dan insurans serta jenis had perlindungan yang ditawarkan.

Dalam kes di atas, pihak syarikat hanya mampu menggantikan set televisyen model spesifikasi yang hampir sama dengan set televisyen anda. Perbandingan yang boleh dibuat adalah seperti menggantikan model kereta pada masa anda membeli kereta tersebut. Adalah tidak wajar untuk pihak syarikat menggantikan set televisyen anda dengan set televisyen yang baru pada harga RM12,999 kerana nilainya pada masa kini sudahpun jatuh.

Pada pandangan NCCC, kemungkinan pihak syarikat sudah tidak lagi mengeluarkan model televisyen yang anda beli pada tahun 2012, dan tidak dapat menggantikan panel televisyen yang baharu. Oleh itu, pihak syarikat telah mengikut waranti dan melakukan yang terbaik dengan menggantikan set televisyen anda yang rosak itu dengan set televisyen yang lebih kurang sama spesifikasinya bahkan mungkin lebih baik lagi. Mungkin harga set televisyen ini adalah RM3,499, tetapi anda harus ingat bahawa set televisyen ini lebih baru dan mempunyai spesifikasi yang lebih kurang sama seperti set televisyen anda yang rosak. Secara ringkas, pihak syarikat telah membuat tawaran yang wajar dan adil kepada anda walaupun harganya jauh lagi murah jika dibandingkan dengan set televisyen terdahulu yang kini rosak dan tidak dapat digunakan lagi.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 58/Februari 2015

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button