Pelan PerlindunganPengguna

Tuntutan Insurans Secara Berkesan

Kami ingin berkongsi dengan anda satu aspek yang amat penting dalam Insurans Hayat, iaitu Proses Membuat Tuntutan. Apabila berlaku kejadian yang tidak dapat dielakkan, anda sudah tentu ingin memastikan keluarga anda mendapat apa yang dijanjikan dengan segera dan tanpa kerenah. Jom lihat bagaimana cara untuk membuat tuntutan insurans secara berkesan.

Apakah situasi yang menimbulkan Tuntutan Insurans Hayat?

Pada umumnya, Tuntutan Insurans Hayat timbul dalam situasi berikut:

  • Apabila polisi matang, iaitu tamatnya tempoh insurans itu diambil bagi polisi endowmen; atau
  • Apabila berlaku kematian atau keilatan kekal (TPD) ke atas hayat yang diinsuranskan sebelum polisi matang, dan masih berkuat kuasa pada tarikh kematian / kejadian.

Bilakah anda perlu memberitahu Syarikat Insurans tentang kejadian yang membolehkan anda atau keluarga anda membuat tuntutan?

Anda atau pihak menuntut hendaklah memberitahu syarikat insurans dengan secepat mungkin supaya mereka boleh menghantarkan borang yang berkaitan untuk diisi. iasanya, kebanyakan syarikat insurans akan memberi anda tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh kejadian untuk memberitahu mereka dan menjalankan proses tuntutan.

Apakah Dokumen yang Diperlukan?

Bergantung pada jenis tuntutan, dokumen yang diperlukan adalah berbeza. Contohnya, di bawah Tuntutan Kematian, antara dokumen yang biasanya diperlukan seperti berikut:

  • Salinan diakui sah sijil kematian;
  • Salinan kad pengenalan si mati;
  • Bukti hubungan pihak menuntut dengan si mati;
  • Dokumen sokongan lain seperti yang diperlukan oleh syarikat insurans anda.

Bilakah anda dijangka akan menerima tuntutan anda?

Kebanyakan polisi insurans hayat mengenakan ‘tempoh boleh tanding’ selama dua tahun. Jika orang yang diinsuranskan meninggal dunia dalam tempoh tersebut, syarikat insurans berhak membuat penyiasatan teliti ke atas tuntutan berkenaan bagi memastikan tiada unsur penipuan atau bunuh diri (dalam tempoh 12 bulan pertama).

Jika tiada unsur penipuan atau bunuh diri dan semua dokumen telah dikemukakan sepertimana yang dikehendaki, penuntut dijangka dapat menerima tuntutan dalam tempoh sebulan atau lebih awal. Penuntut boleh melawati piagam pelanggan yang disiarkan dalam laman sesawang syarikat insurans untuk maklumat lanjut.

Walau bagaimanapun, di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, syarikat insurans diwajibkan menyelesaikan tuntutan dalam tempoh enam puluh (60) hari daripada penerimaan notis tuntutan. Jika tidak, syarikat insurans hendaklah membayar faedah kompaun minimum sebanyak empat (4) peratus setahun atau kadar lain sebagaimana yang ditetapkan ke atas jumlah wang polisi pada tamatnya tempoh enam puluh hari itu sehingga tarikh bayaran.

Mengapa berlaku Kelewatan dalam Tuntutan?

Walaupun ramai yang beranggapan bahawa syarikat insurans sengaja melewat-lewatkan atau menolak tuntutan, tetapi sebenarnya menangguh atau menolak tuntutan insurans hayat bukanlah polisi syarikat insurans. Sesuatu tuntutan itu ditolak atau ditangguh kerana pihak yang menuntut tidak mengemukakan borang yang dikehendaki bagi membolehkan tuntutan tersebut dibayar atau pemohon tidak memberi maklumat yang betul semasa membuat tuntutan. Berikut ialah beberapa langkah untuk mengelakkan kelewatan dalam pembayaran insurans hayat:

  1. Hubungi syarikat insurans dan bertanya mengenai dokumen yang diperlukan.
  2. Faks, e-mel atau hantarkan semua maklumat yang dikehendaki secepat mungkin.
  3. Hubungi mereka lagi beberapa hari kemudian untuk memastikan tuntutan anda sedang diproses dan sama ada mereka memerlukan apa-apa dokumen lagi.

Bagi kebanyakan syarikat insurans, membayar tuntutan dengan segera, dan dengan cara yang sewajarnya, sememangnya merupakan amanah bagi mereka. Untuk memastikan anda mendapat apa yang dijanjikan, pastikan anda memahami terma dan syarat yang berkaitan, terutamanya mengenai aspek yang dilindungi dan yang tidak dilindungi serta membayar premium anda tepat pada masanya.

Artikel berikut disediakan sebagai nasihat sematamata. Untuk butir-butir lanjut, sila dapatkan nasihat daripada profesional insurans dengan menghubungi mana-mana syarikat insurans hayat yang disenaraikan dalam laman sesawang rasmi Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) di www.liam.org.my.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 39/Julai 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button