Pengguna

Transaksi Tanpa Tunai Yang Selamat

Sistem e-pembayaran merupakan kaedah melakukan transaksi barangan dan perkhidmatan melalui sistem pembayaran elektronik atau sistem pembayaran dalam talian. Sistem pembayaran elektronik telah berkembang sejak sedekad yang lalu disebabkan oleh kepesatan dalam sektor perbankan dan peningkatan pembelian melalui internet. Ketika dunia semakin maju dengan pembangunan teknologi, sistem pembayaran elektronik dan peranti pemprosesan pembayaran turut mengalami perubahan yang pesat.

Bank Negara Malaysia (BNM) mentakrifkan wang elektronik (e-money) sebagai instrumen pembayaran yang menyimpan dana secara elektronik sebagai tukaran kepada dana yang dibayar kepada pengeluar wang elektronik dan boleh digunakan untuk membuat pembayaran kepada mana-mana pihak selain pengeluar wang elektronik tersebut. Wang elektronik boleh dikeluarkan dalam pelbagai bentuk, sama ada berasaskan kad atau rangkaian (seperti dompet elektronik menerusi peranti mudah alih).

Dana terkumpul wang elektronik akan disimpan di dalam akaun amanah / akaun deposit yang dikhususkan di institusi kewangan berlesen. Pengeluar wang elektronik adalah dilarang untuk membayar faedah atau keuntungan ke atas baki wang elektronik dan menggunakan wang elektronik untuk memberi pinjaman kepada orang lain.

Penggunaan e-money adalah lebih selamat, mudah dan boleh dikesan. Selain itu, kesilapan yang dilakukan oleh juruwang juga dapat dikurangkan.

Kad debit dan kad kredit adalah pilihan transaksi tanpa tunai yang paling lazim digunakan di Malaysia. Transaksi mudah alih menjadi semakin popular dengan jumlah perniagaan dalam talian yang semakin meningkat. Selain itu, teknologi baharu telah dilengkapi dengan kad pembayaran dan penggunaan telefon pintar dengan ciri pembayaran tanpa sentuh. Ciri-ciri ini mempercepatkan proses pembayaran.

Dalam kaji selidik yang dijalankan oleh Visa Inc. mendapati lebih daripada tiga juta transaksi tanpa sentuh pada setiap bulan. Kad yang dimuatkan dengan wang tunai boleh digunakan untuk membayar tol di lebuh raya dan tempat letak kereta. Kini ia telah berkembang untuk digunakan dalam rangkaian runcit, restoran, pengangkutan awam dan penjagaan kesihatan.

Walaupun sistem tanpa tunai semakin meningkat dan diterima secara lebih meluas, terdapat beberapa halangan terhadap perkembangannya. Sistem tanpa tunai masih belum diterima sepenuhnya oleh sektor perniagaan. Masih terdapat sektor perniagaan yang menerima wang tunai sahaja. Oleh itu, walaupun pengguna mungkin telah dilengkapi instrumen tanpa tunai, pembekal dan peniaga perlu menukar polisi mereka sebelum transaksi tanpa tunai dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Walaupun ramai pengguna Malaysia yang menggunakan sistem tanpa tunai, khususnya dalam kalangan masyarakat di bandar, masih ramai juga pengguna yang bergantung kepada wang tunai, terutama masyarakat yang tinggal di luar bandar. Usaha untuk mengubah minda dan menanam keyakinan terhadap sistem tanpa tunai mungkin mengambil sedikit masa.

Kajian Visa Inc. juga mendapati semakin ramai rakyat Malaysia yang yakin dengan sistem tanpa tunai. Enam daripada sepuluh responden mengatakan mereka akan menggunakan sistem tanpa tunai sepanjang masa. Dalam kajian yang sama seterusnya, menunjukkan bahawa lebih daripada 50% rakyat Malaysia mempunyai lebih banyak kad pembayaran berbanding dua tahun lalu, dengan separuh daripada responden memilih pembayaran tanpa tunai atau tanpa sentuh.

Pengguna juga perlu menyedari akan risiko sistem pembayaran tanpa tunai dan perlu mempunyai pengetahuan untuk melindungi diri mereka sendiri. Antara risiko yang perlu dihadapi ialah:

  • Penipu menggunakan aplikasi pembayaran dalam talian palsu di pasaran yang boleh mencuri butir-butir peribadi dan perbankan anda seperti ID log masuk dan kata laluan perbankan, nombor kad kredit / debit, dan lain-lain.
  • Penipu mewujudkan laman sesawang palsu. Laman sesawang ini kelihatan sama seperti laman sesawang perbankan atau portal membeli-belah yang akan memancing dan mencuri maklumat anda. Penipu boleh menggunakan maklumat tersebut untuk mengugut anda.
  • Anda mungkin menerima e-mel dengan pautan yang menawarkan diskaun jika anda membeli barangan dari laman sesawang tertentu. E-mel tersebut mungkin e-mel palsu yang akan mengarahkan anda ke laman sesawang palsu atau dijangkiti perisian hasad (malware).
  • Anda juga boleh menerima SMS atau mesej WhatsApp yang mengesyorkan anda memuat turun aplikasi mudah alih untuk pembayaran dalam talian. Ini juga boleh jadi palsu.
  • Rangkaian Wi-Fi yang bebas, tidak selamat boleh direka oleh penipu untuk menipu pengguna yang tidak berhati-hati.

Panduan untuk transaksi tanpa tunai yang selamat:

  1. Muat turun aplikasi pembayaran dalam talian hanya dari kedai rasmi seperti Google Play Store dan Apple Play Store.
  2. Sebelum anda memuat turun sebarang aplikasi, dapatkan pengesahan mengenai pembuat aplikasi tersebut. Baca juga ulasan daripada penggunanya.
  3. Lebih penting lagi, baca kebenaran yang diminta oleh aplikasi. Jika aplikasi tersebut meminta lebih banyak maklumat daripada apa yang sepatutnya, maka lebih baik jangan memuat turun aplikasi tersebut.
  4. Jangan sekali-kali mengunjungi laman sesawang perbankan atau membeli-belah dalam talian dengan menggunakan pautan yang diterima melalui e-mel atau pesanan ringkas.
  5. Pilih laman sesawang yang anda yakini untuk membuat pembayaran anda.
  6. Memastikan terdapat dua bentuk pengesahan untuk transaksi perbankan melalui internet melalui pembayaran menggunakan kad kredit / debit anda. Ini bererti apabila anda membuat pembayaran, anda akan diminta untuk mengesahkan diri anda sebanyak dua kali. Sebagai contoh, semasa membayar melalui perbankan internet, anda akan memasukkan ID dan kata laluan masuk dan juga OTP / TAC (kod yang dihantar ke nombor mudah alih berdaftar anda) sebelum anda dapat membuat pembayaran akhir. Oleh itu, walaupun penipu berjaya mencuri maklumat perbankan anda, mereka tidak akan dapat melakukan tanpa OTP / TAC. Oleh yang demikian, jangan sekalikali berkongsi OTP / TAC anda dengan pihak ketiga.
  7. Sentiasa pilih kata laluan yang kukuh untuk akaun pada aplikasi perbankan internet atau pembayaran dalam talian. Pastikan kata laluan anda sekurangkurangnya mengandungi lapan aksara, mempunyai gabungan huruf besar dan kecil, nombor dan simbol. Contohnya, ‘Cool15is@King’
  8. Elakkan membuat transaksi tanpa tunai daripada komputer awam seperti di kafe siber.
  9. Jangan gunakan rangkaian Wi-Fi yang tidak selamat untuk membuat bayaran dalam talian. Melakukannya mungkin membiarkan penyerang mencuri maklumat anda.
  10. Pasang penyelesaian antivirus pelbagai lapisan dengan ciri-ciri seperti di bawah:
  • Menyekat laman sesawang palsu, penipuan atau dijangkiti perisian hasad.
  • Menyekat e-mel yang membawa pautan atau lampiran yang berniat jahat.
  • Penyemak imbas selamat untuk transaksi perbankan dan membeli-belah yang selamat.
  1. Pasang aplikasi keselamatan mudah alih yang boleh:
  • Menghalang aplikasi palsu atau berniat jahat daripada dipasang pada telefon pintar anda.
  • Menghalang akses ke laman sesawang palsu dan dijangkiti perisian hasad.
  • Membolehkan anda mengunci aplikasi anda (aplikasi pembayaran dalam talian seperti PayTm) dengan kata laluan untuk mengelakkan sebarang penyalahgunaan.

E-money dan e-wallet boleh melengkapkan penggunaan kad kredit dan kad debit untuk mempercepatkan proses pemindahan wang tunai dan cek di Malaysia.

Sumber : FOMCA/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 105/Januari 2019

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button