Pelan PelaburanPelan Pendapatan

Tips Elak Penipuan MLM Di Malaysia

Terma MLM (Multi-Level- Marketing) yang telah dibincangkan sejak sedekad yang lalu sering dikaitkan dengan imej negatif. Persoalan mengenai integriti operasi syarikat MLM akan sentiasa menjadi bualan. Teruskan membaca untuk mengetahui tip mengelak penipuan MLM.

Seperti yang diketahui ramai, MLM secara asasnya beroperasi dengan sistem ‘piramid’, tidak kira bagaimana mereka cuba menjustifikasi modus operandi mereka. Terdapat banyak skim piramid di luar sana, tetapi yang biasa diguna pakai adalah ‘naked’ dan skim berasaskan produk. Jadi, bagaimana mereka beroperasi?

Skim Piramid ‘naked’

Adakah anda pernah dengar skim cepat kaya? Skim piramid ‘naked’ dikatakan boleh menjana keuntungan berjuta-juta ringgit, terutama golongan yang paling awal menyertai skim ini, atau lebih dikenali sebagai ‘up-liners’ berkitar dengan dua istilah: ‘francais’ dan ‘pelaburan’. pujukan manis kepada bakal peserta dengan terma, seperti ‘pelaburan tanpa risiko’ atau ‘goyang kaki dapat duit’ untuk merekrut ‘down-liners’ bagi menyertai pelan ‘pelaburan’ mereka. Setiap ‘down-liner, itu perlu membayar wang pendahuluan (sebagai contoh: RM1,000) untuk menyertai program tersebut.

Sebaik sahaja anda menyertai program tersebut, anda dikehendaki untuk mencari 10 orang lagi untuk mendaftar di bawah anda bagi mendapatkan pulangan ‘pelaburan’ anda. Kitaran perekrutan yang berterusan inilah yang digelar Multi-Level Marketing.

Tidak ada sebarang penjualan produk berlaku, hanya janji selagi anda terus merekrut dan menjual ‘francais’ tersebut, anda akan menjana keuntungan. Lambat laun, ‘down-liners’ akan mengalami masalah untuk merekrut peserta kerana tiada siapa lagi yang boleh direkrutkan memandangkan semua telah mendaftardan akhirnya keuntungan hanya akan dikecapi oleh mereka di peringkat tertinggi sahaja.

Maka, fikirkanlah sendiri, adakah tindakan ini beretika dan sah di sisi undang-undang? Dengan mendaftar, anda turut mengheret down-liners anda yang biasanya terdiri daripada keluarga dan rakan-rakan untuk ‘sedekahkan’ wang mereka kepada pihakk yang hanya menabur janji kosong sahaja.

Kami amat memuji tindakan pihak berkuasa yang menjejaki, mendedahkan dan  mengambil tindakan ke atas syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti tidak berintegriti ini. Sekiranya tuan mempunyai maklumat berkenaan aktiviti atau program MLM atau mangsa kepada aktiviti atau penipuan tersebut, hantarkan maklumat terperinci atau aduan beserta dokumendokumen sokongan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Di samping itu orang ramai juga boleh merujuk kepada “Senarai Peringatan kepada Semua Pengguna Kewangan” di laman sesawang rasmi Bank Negara Malaysia sebagai panduan dan rujukan segera buat orang ramai apabila membuat keputusan berhubung dengan pelbagai perkhidmatan kewangan yang ditawarkan oleh pihak yang tidak berlesen. “Senarai Peringatan kepada Semua Pengguna Kewangan” juga merupakan satu panduan dan rujukan segera buat orang ramai supaya berhati-hati sebelum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tinggi dalam jangka masa yang singkat. Ianya juga bertujuan untuk mengelak orang ramai dari mengalami kerugian melalui pelaburan yang dibuat dan menjadi mangsa penipuan oleh sindiket yang tidak bertanggung jawab. Sila layari “Senarai Peringatan kepada Semua Pengguna Kewangan” .

Skim Piramid Berasaskan Produk

Pernahkah anda menerima panggilan yang memaklumkan bahawa anda telah berjaya memenangi pakej percutian dan meminta anda bersama-sama pasangan hadir ke satu perjumpaan? Apabila anda hadir ke perjumpaan itu, anda ditawarkan satu ‘perniagaan’ yang mendakwa boleh menjana pendapatan sehingga RM300,000 sebulan. Anda Cuma perlu membuat bayaran pendahuluan (atau biasanya mereka gunakan terma ‘pelaburan’ awal) sebanyak RM36,000 untuk mendapat pek permulaan yang mengandungi produk ‘inovasi berteknologi tinggi’ dan akan ‘laku macam pisang goreng panas!’. Ketika ini, pasti terdetik dalam hati anda, “Ini skim MLM kah? Tapi, mereka ada menjual barangan dan mempunyai pejabat yang mewah. Mungkin berbaloinya sertai program ini. Bila lagi hendak menjadi bos kepada diri sendiri,” Persoalan utamanya, BAGAIMANA untung akan dijana melalui skim ini?

  1. Anda perlu merekrut 5 orang yang juga perlu membayar RM36,000 untuk pek permulaan dengan produk yang perlu dijual.
  2. Anda akan menerima pendapatan sebahagian daripada setiap produk yang berjaya dijual, dan juga dari apa yang ‘downliner’ anda jual.
  3. Semakin ramai anda rekrut, semakin banyak keuntungan yang anda akan jana.

Namun begitu, kebanyakan produk yang dijual melalui skim piramid ini mempunyai ciri-ciri yang keterlaluan (seperti mendakwa penjimatan bil elektrik sehingga 90%, mampu menyembuhkan penyakit kanser, kencing manis, lemah jantung dan pelbagai) ataupun memiliki harga yang lebih tinggi daripada pasaran. Tambahan pula, anda hanya akan mendapat margin keuntungan yang kecil, kecuali anda menjual produk-produk itu dengan kuantiti yang banyak.

Apa yang ingin ditekankan di sini ialah, semua tawaran hanya ingin mengaburi perhatian anda daripada fakta sebenar yang ia adalah sebuah skim piramid yang mengambil kesempatan terhadap ketamakan dan keinginan orang lain.

Produk yang ditawarkan hanyalah untuk meyakinkan anda yang ia bukan skim MLM. Keuntungan sebenar dijana dengan merekrut lebih ramai ‘down-liners’ untuk mendapat komisyen daripada hasil jualan atau rekrutan mereka. Berdasarkan situasi di atas:

  1. Anda bayar RM36,000 untuk menyertai skim tersebut, dan anda perlu rekrut 5 orang menjadi downliner anda untuk memperoleh ROI (Return of Investment: Pulangan Pelaburan). RM36,000 x 5 = RM180,000.
  2. Anda akan dapat 30% dari RM180,000 sebagai ROI anda, yang berjumlah RM54,000. Untung bersih yang anda dapat jana ialah RM54,000 – RM36,000 = RM18,000, hasil dari usaha anda merekrut 5 orang tersebut untuk melabur RM36,000.
  3. Baki RM126,000 lagi akan dibahagi-bahagikan antara senior up-line.

Maka sebanyak RM126,000 yang anda usahakan bakal jatuh ke tangan individu yang tidak melakukan APA-APA, selain menawarkan ‘nasihat’ dan ‘sokongan motivasi’. Sudah tentulah mereka perlu memotivasikan anda selaku golden goose mereka! Tambahan pula, fikirkan berapa banyak wang, masa dan tenaga yang anda perlu habiskan semata-mata untuk merekrut orang ramai bagi memenuhi kuota dan rumuskan: berbaloikah?

Tidak dinafikan, ada sahaja syarikat MLM yang sah di sisi undang-undang (yang beroperasi secara jualan langsung daripada mempromosi francais dan keahlian). Apa yang ingin ditegaskan di sini ialah tidak ada jalan pintas untuk menjadi jutawan seperti mana yang diwarwarkan. Adalah lebih baik jika anda melabur melalui unit amanah, simpanan tetap, bon dan juga hartanah.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 81/Januari 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button