Pelan Pendapatan

Tip Untuk Mulakan Perniagaan Dalam Talian

Produk Yang Sesuai Untuk Perniagaan Dalam Talian

Dalam apa jua perniagaan, pemilihan produk penting untuk menentukan kejayaan perniagaan tersebut.

Berikut adalah senarai produk yang sesuai untuk perniagaan dalam talian:

A) Barangan Fesyen

Ramai yang gemar membeli produk fesyen secara dalam talian kerana ia mudah dengan pelbagai pilihan dan harga yang menarik ditawarkan. Oleh itu, anda boleh menawar barangan fesyen untuk dijual secara dalam talian bermula dengan barangan yang sering dipakai. Contohnya, pakaian harian, tudung dan aksesori tudung. Kebarangkalian barangan ini dapat dijual dengan jayanya adalah lebih tinggi.

B) Makanan

Sekiranya anda mempunyai minat memasak dan peka dalam menyediakan makanan yang digemari ramai, anda boleh menceburi perniagaan makanan secara dalam talian. Anda boleh mengambil kesempatan pada musim perayaan untuk menyediakan kuih / biskut raya serta manisan. Selain itu, bagi manisan seperti kek dan kuih muih, ia tidak tertumpu kepada musim perayaan sahaja. Sekiranya anda mempunyai pelbagai jenis makanan dengan resepi yang unik, anda bakal menerima tempahan sepanjang tahun untuk majlis hari jadi, kenduri dan majlis keramaian lain.

C) Produk Dropship

Dropship bermaksud anda akan menjual produk tanpa perlu membeli atau menyimpan stok. Caranya ialah, anda perlu mendaftar menjadi orang tengah sebagai dropship untuk sesuatu produk. Selepas anda mempromosikan produk tersebut dan anda berjaya menerima tempahan, anda akan membuat tempahan dari pembekal dan menghantar produk tersebut kepada pelanggan. Anda perlu berunding dengan pembekal untuk mendapatkan harga borong yang lebih murah untuk menjana keuntungan sebagai ejen dropship, dengan menjual produk tersebut pada harga yang tinggi sedikit dari harga borong.

Pelbagai produk boleh dijual melalui dropship, seperti tudung, gajet, barangan kosmetik dan banyak lagi. Paling penting, anda mesti berupaya untuk mencari produk yang berpotensi dan berkualiti supaya ia boleh mendapat sambutan dipasaran. Sekiranya anda tidak mahu membeli stok, maka perniagaan dalam talian secara dropship adalah sesuai untuk anda ceburi.

D) Perkhidmatan atau Kemahiran

Sekiranya anda bekerja sebagai pelukis, jurugambar, pembaik pulih telefon bimbit ataupun tukang paip, anda juga boleh menawarkan perkhidmatan atau kemahiran anda di laman sesawang ataupun laman sosial sebagai kerja sampingan.

Anda hanya perlu memastikan anda mempunyai masa yang cukup untuk mengendalikan kerja sampingan tersebut, selain daripada kerja sepenuh masa. Melalui laman sesawang, seperti www.Mudah.my, anda boleh memasarkan kemahiran anda dengan harga yang berpatutan.

Platform Untuk Mulakan Perniagaan Dalam Talian A) Media Sosial

Platform media sosial, seperti Facebook serta Instagram, adalah pilihan yang baik sekiranya anda baru sahaja bermula. Platform ini percuma, dan anda boleh mengambil kesempatan untuk menggunakan #hashtag yang bersesuaian untuk memasarkan produk anda. Ingat, jangan menggunakan media sosial peribadi anda untuk menjual produk. Buka akaun khas untuk perniagaan dalam talian anda, kemudian jemputlah rakan untuk “like” dan “follow”. Hal ini akan memudahkan anda untuk mengasingkan penggunaan peribadi dan perniagaan serta lebih mudah untuk anda bina rangkaian pelanggan.

B) Laman Sesawang

Memasarkan produk anda melalui laman sesawang akan melibatkan kos. Sekiranya anda mempunyai modal untuk mengupah ‘web programmer’, anda boleh mempertimbangkan untuk mendapatkan laman sesawang anda sendiri. Tetapi ia lebih baik sekiranya anda mula memasarkan produk anda melalui platform percuma, seperti yang dinyatakan di atas.

Sekiranya perniagaan anda mula berkembang, anda boleh mendapatkan laman sesawang sendiri. Anda juga boleh bermula melalui blog. Kemudian anda boleh mendapatkan domain anda sendiri setelah perniagaan semakin kukuh dan bajet perniagaan anda berupaya untuk menampung kos tersebut.

Tip Tambahan A) Daftar Perniagaan Anda

Mendaftar perniagaan dalam talian anda merupakan satu kewajipan. Selain itu, anda juga boleh mempertingkatkan keyakinan pelanggan serta bakal pelanggan apabila perniagaan anda berdaftar kerana mereka tidak akan rasa was-was dan ragu ditipu dan akan rasa lebih terjamin. Anda boleh daftar perniagaan dalam talian di kaunter Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ataupun secara dalam talian di laman sesawang, SSM

B) Modal Ikut Kemampuan

Anda tidak perlu mengambil pinjaman peribadi atau berhutang hanya untuk memulakan perniagaan dalam talian. Mulakan perniagaan anda mengikut kemampuan kerana melalui cara ini, anda boleh mengurangkan hutang dan untung yang anda akan dapat itu adalah bersih. Setelah perniagaan sudah mula kukuh, anda boleh pertimbangkan untuk mengambil pinjaman untuk mengembangkan perniagaan tersebut. Untuk mendapatkan pinjaman peribadi yang terbaik, anda boleh membandingkan produk yang ditawarkan oleh institusi perbankan.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 78/Oktober 2016

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button