Pelan Perbelanjaan

Tip Perbelanjaan Terhadap Petrol

Pengumuman kenaikan harga petrol dan diesel pada awal Februari ini menimbulkan pelbagai reaksi daripada rakyat Malaysia. Tidak kurang pula yang mula mencari alternatif untuk mengurangkan perbelanjaan terhadap petrol.

Penentuan harga minyak, sama ada naik atau turun, adalah berdasarkan kepada beberapa faktor tertentu. Antara faktor yang mempengaruhi penentuan harga minyak ialah melalui Mekanisme Penetapan Harga Minyak (APM), kadar pertukaran mata wang ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) serta kesan pembatalan subsidi petrol dan diesel oleh kerajaan. APM berperanan sebagai mekanisme yang menstabilkan harga petrol dan diesel di dalam negara sehingga kepada tahap tertentu. Oleh itu, harga runcit akan berubah sekiranya berlaku perbezaan harga semasa.

Artikel kali ini akan memberi sedikit sebanyak idea kepada anda untuk mengurangkan perbelanjaan terhadap petrol.

  1. Menggunakan kenderaan awam
    Anda boleh cuba beralih kepada perkhidmatan awam, seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Komuter, Grab dan Uber untuk pergi ke tempat kerja, menghadiri mesyuarat, perjumpaan bersama-sama rakan atau majlis-majlis rasmi. Anda tidak perlu risau tentang kesesakan lalu lintas atau perlu memikirkan ruang letak kereta apabila sampai ke destinasi yang dituju. Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada bajet, yang anda perlu mengira perbezaan kos menggunakan kereta sendiri dengan menggunakan perkhidmatan awam. Jika kos dapat dikurangkan dari 20% hingga 10%, maka ia tentu menjimatkan.
  2. Bertukar kepada motosikal
    Idea ini mungkin mempunyai risiko kepada penunggang wanita, tetapi tidak salah jika anda mencubanya. Anda boleh menjimatkan petrol, tol, insurans yang rendah dan juga menjimatkan masa daripada kesesakan lalu lintas. Menunggang motosikal tentu menjimatkan, dengan mengambil kira kos perbezaan memandu kereta dengan menunggang motosikal.
      Walau bagaimanapun, pastikan anda mengutamakan keselamatan diri anda semasa menunggang motosikal kerana risiko terdedah kepada kemalangan sangat tinggi.
  3. Berkongsi kereta
    Idea berkongsi kereta ini mungkin agak lapuk. Namun ia sangat membantu menjimatkan kos ketika anda menghantar anak-anak ke sekolah atau ke tempat kerja. Anda boleh membantu jiran-jiran atau rakan sebaya anak anda untuk ke sekolah atau menuju ke destinasi yang hampir dengan pejabat anda. Pada masa yang sama, anda boleh memperoleh pendapatan tambahan daripada perkhidmatan berkongsi kereta ini.

Semoga idea-idea ini dapat membantu anda melakukan perubahan dalam bajet keluarga dan diri anda. Sekiranya anda tidak mencuba, maka anda tidak mengetahui kesan perubahan tersebut. Perubahan bermula pada diri kita sendiri!

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 82/Februari 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button