Pelan Perlindungan

Tip Pengurangan Premium Insurans / Sumbangan Takaful Kereta Anda

Insurans / Takaful kereta merupakan perbelanjaan terbesar yang perlu ditanggung oleh pemilik kereta.

Sekiranya anda ingin memperbaharui cukai jalan, anda perlu memperbaharui polisi insurans / takaful kereta terlebih dahulu. Kebanyakan pemilik kereta akan membayar premium insurans / sumbangan takaful kereta dalam tempoh setahun. Hal ini menyebabkan ramai pemilik kereta telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar dalam tempoh yang singkat.

Oleh itu, berikut adalah beberapa langkah yang boleh digunakan bagi mengurangkan kos polisi insurans / takaful kereta anda.

  1. Berhati-hati apabila memilih kenderaan

Apabila anda membeli kereta berjenama baru dan mewah, ia juga bermaksud kos bagi menginsuranskan kereta tersebut adalah mahal. Namun begitu, anda boleh mempertimbang untuk membeli kereta terpakai dengan premium insurans / sumbangan takaful kereta yang anda mampu bayar.

  1. Berhati-hati sekiranya jumlah perlindungan insurans / takaful kereta anda terkurang atau terlebih

Insurans / Takaful kereta boleh menjadi satu perkara yang mengelirukan. Kebanyakan orang hanya menyerahkan kepada ejen insurans / takaful semata-mata untuk mendapatkan insurans / takaful kereta. Walau bagaimanapun, adakah anda tahu bahawa anda boleh melaraskan jumlah yang diinsuranskan berdasarkan baki pinjaman dan nilai pasaran kereta anda? Jika anda ingin mengurangkan premium insurans / sumbangan takaful kereta anda, maka anda boleh mengurangkan jumlah diinsuranskan untuk menampung baki pinjaman.

Walau bagaimanapun, anda perlu ingat bahawa premium / sumbangan yang rendah tidak semestinya baik. Tindakan mengurangkan jumlah diinsuranskan yang keterlaluan, bukanlah keputusan yang paling bijak

Terkurang insurans – sekiranya anda menginsuranskan kenderaan anda pada nilai yang lebih rendah daripada nilai pasaran, anda akan dianggap menginsuranskan sendiri perbezaan nilai tersebut. Ini bermaksud, jika berlaku kerugian / kerosakan, anda akan hanya dibayar sebahagian ganti rugi (setakat bahagian yang diinsuranskan) oleh syarikat insurans / takaful anda.

  1. Tidak membuat perlindungan yang tidak penting

Tiada siapa yang boleh meramalkan bila musibah dan kemalangan akan berlaku. Walau bagaimanapun, anda boleh memilih untuk menggugurkan perlindungan yang tidak perlu, seperti perlindungan perlanggaran jika anda memandu kereta yang berusia lebih 10 tahun, atau perlindungan aksesori kereta.

Walaupun memiliki insurans / takaful kereta adalah wajib, tetapi anda perlu memilih polisi insurans / takaful yang terbaik untuk kereta anda pada kos yang paling rendah.

  1. Pastikan kereta anda tidak mengalami kemalangan

Jika anda seorang pemandu yang berhemah dan tidak pernah mengalami kemalangan dengan kereta anda, maka anda layak untuk menikmati Diskaun Tiada Tuntutan (NCD) sehingga 55% daripada premium / sumbangan polisi anda. Ia bertujuan sebagai insentif kepada anda kerana memandu secara selamat.

  1. Pindahan NCD ke kenderaan lain

Anda juga boleh memilih untuk memindahkan NCD anda daripada satu kereta kepada kereta yang lain dengan syarat, anda adalah pemilik bagi kedua-dua kereta tersebut.

Misalnya, anda mempunyai sebuah kereta kancil (NCD 55%), kemudian anda membeli sebuah lagi kereta berjenama baru (NCD 0%). Untuk menjimatkan kos insurans / takaful kereta baru tersebut, anda boleh memindahkan NCD kereta kancil kepada kereta berjenama baru.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 73/Mei 2016

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button