Tip Pengguna Mengenai Insurans

Baca kontrak polisi dengan teliti
Anda perlu membaca dan memahami terma dan syarat polisi selepas menerima kontrak polisi daripada syarikat insurans. Anda diberi masa selama 15 hari daripada tarikh penerimaan untuk meneliti kandungan polisi. Gunakan peluang ini untuk memastikan maklumat adalah betul dan polisi tersebut menepati keperluan anda. Anda hendaklah memahami had-had atau klausa pengecualiannya. Jika perlu, dapatkan penerangan lanjut daripada syarikat insurans atau ejennya.
Kepentingan pendedahan
Anda mestilah mendedahkan semua fakta dalam borang permohonan anda sepenuhnya dan sejujurnya. Sekiranya ejen anda mengisikan borang permohonan untuk anda, baca dan fahamilah keperluan dalam borang tersebut sebelum anda menandatangani borang tersebut. Jika tidak, polisi insurans anda mungkin terbatal atau syarikat insurans boleh menolak tuntutan anda.
Pembelian polisi insurans
Anda boleh membeli polisi insurans sama ada secara terus daripada syarikat insurans, melalui ejen insurans yang sah, atau bank / institusi kewangan yang mempunyai urusan bankasurans dengan syarikat insurans. Sekiranya anda membeli polisi insurans melalui ejen, pastikan beliau adalah ejen yang sah bagi mana-mana syarikat insurans. Jika anda ragu-ragu, dapatkan bukti pendaftaran / kad kuasa ejen tersebut atau menghubungi syarikat insurans berkenaan. Semua ejen yang sah adalah berdaftar, sama ada di bawah Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) atau Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM).
Pembayaran premium
Anda mempunyai pilihan untuk membayar premium terus kepada syarikat insurans atau melalui ejen. Anda hendaklah memastikan pembayaran dibuat atas nama syarikat insurans dan pastikan anda menerima resit rasmi daripada syarikat insurans. Sekiranya boleh, elakkan daripada membuat pembayaran secara tunai kepada ejen.
Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 37/Mei 2013