Pelan PelaburanPerancangan Kewangan

Tip Memilih Saham Syarikat Untuk Pelaburan

Sehingga 18 Jun 2012, terdapat 928 buah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia. Antara ratusan syarikat atau kaunter tersebut, mana satu yang sesuai untuk anda melabur? Di sini disenaraikan ciri-ciri penting yang perlu diberi perhatian dalam memilih saham syarikat. Berpandukan kepada artikel ini, diharapkan anda dapat menilai syarikat dengan lebih baik, dan seterusnya membuat keputusan pelaburan yang bijak.

Memahami Perniagaan Sesebuah Syarikat

Sebelum melihat aspek pengiraan dan sebagainya, cuba lihat dan perhatikan produk-produk dan perkhidmatan yang digunakan setiap hari. Anda juga boleh melihat dalam surat khabar atau mana-mana sumber maklumat yang lain untuk mengetahui tentang prestasi syarikat tersebut. Syarikat manakah yang mengeluarkan produk atau perkhidmatan yang paling anda suka? Apakah produk-produk yang memudahkan kehidupan orang ramai dan mempunyai nilai tambah berbanding produk lain? Syarikat-syarikat yang menjadi jawapan kepada persoalan di atas mempunyai peluang cerah untuk berjaya. Jika orang lain masih belum sedar mengenai syarikat tersebut, maka anda mempunyai peluang yang tinggi untuk mengaut keuntungan apabila membeli sahamnya. Pastikan anda membuat kajian-kajian lain sebelum melabur dalam syarikat tersebut. Mesej utama di sini ialah, sentiasa cari syarikat atau industri yang anda biasa dengannya ataupun mudah untuk difahami. Jika sukar bagi anda menerangkan perniagaan syarikat itu, maka elakkan daripada melabur dalam syarikat terbabit.

Menganalisis Sesebuah Syarikat

Anda kini sudah bersedia untuk beralih kepada perkara yang dipanggil analisis fundamental (fundamental analysis). Terdapat beberapa petunjuk kewangan bagi sesebuah syarikat yang mampu memberikan gambaran tentang prestasinya.

1) Nisbah Harga Perolehan

Sebagai permulaan, maklumat yang perlu diperhatikan ialah nisbah harga perolehan sesebuah syarikat. Syarikat yang mempunyai nisbah harga perolehan yang lebih rendah berbanding dengan pasaran keseluruhan ataupun purata industrinya, menggambarkan bahawa saham syarikat tersebut masih terkurang nilai. Oleh itu, sekiranya purata industri ialah pada tahap 15 kali nisbah harga perolehan, anda bolehlah mengabaikan syarikat-syarikat kerana nisbah harga perolehan syarikat-syarikat tersebut melebihi 15. Ini menunjukkan harga saham syarikat-syarikat tersebut sudahpun berada padatahap yang sama ataupun lebih tinggi daripada nilai pasaran dan boleh dikatakan mahal.

2) Permodalan Pasaran

Tentukan sama ada anda ingin melabur dalam syarikat bermodal besar atau kecil. Lazimnya, syarikat-syarikat besar dikatakan lebih berkemampuan untuk mengatasi saingan sengit dan dapat menikmati ekonomi ikut bidangan (economies of scale). Syarikat-syarikat kecil pula mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki oleh syarikat-syarikat besar. Contohnya, mereka boleh menyesuaikan diri dengan perubahan dalam pasaran dan mempunyai kos tidak langsung (overhead) yang lebih rendah.

3) Rekod Prestasi

Anda juga perlu merujuk kepada rekod prestasi syarikat yang konsisten. Sekiranya sesebuah syarikat itu mampu menjana tahap jualan dan perolehan yang baik dan mengalami peningkatan dalam bahagian pasaran, kecuali untuk satu atau dua suku, yang disebabkan oleh keadaan keseluruhan pasaran, maka syarikat tersebut boleh dikatakan syarikat yang baik dan berpotensi.

4) Dividen

Anda juga perlu merujuk kepada kadar bayaran dividen yang diberikan oleh syarikat, sekiranya berminat dalam saham pendapatan. Pastikan kadar hasil dividen melebihi tahap inflasi untuk mengelakkan daripada perlunya naik nilai harga yang lebih tinggi. Ini bagi memastikan wang yang telah dilaburkan dalam saham-saham anda terus meningkat daripada segi nilai sebenar.

5) Pihak Pengurusan

Pastikan anda membaca seksyen analisis pihak pengurusan dalam laporan tahunan syarikat untuk memahami cara pengurusan syarikat terbabit, apa yang dianggap sebagai risiko dan langkah-langkah yang diambil untuk mencegah risiko-risiko tersebut. Pihak pengurusan yang baik akan sentiasa menjadikan nilai pemegang saham yang maksimum sebagai matlamat utama dan akan menunjukkan sikap yang penuh integriti dalam menguruskan syarikat. Syarikat yang diuruskan oleh pengurusan yang berkualiti tinggi akan mempamerkan prestasi yang baik, walaupun dalam suasana perniagaan yang amat sukar.

Dengan mengambil kira faktor yang telah dibincangkan, senarai syarikat untuk anda pilih telah menjadi lebih sedikit. Terdapat pelbagai faktor lain yang perlu diambil kira dalam memilih saham. Ini akan dibincangkan dalam artikel yang akan datang. Selamat berjaya dalam pelaburan!

Sumber : SIDC/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 28/Ogos 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button