Perancangan Kewangan

Tindakan Anda Dalam Perancangan Kewangan Peribadi

Jika anda mengetahui langkah-langkah untuk menguruskan kewangan anda dengan berkesan, sudah tentu anda akan berjaya dalam kehidupan anda. Setiap daripada kita sentiasa akan berhadapan pelbagai persoalan mengenai isu-isu kewangan. Di antara isu-isu kewangan yang sering dibincangkan sejak masa dahulu, sekarang atau pada masa akan datang adalah seperti berikut:-

  • Mampukah saya membaiki rumah?
  • Terdapat promosi yang hebat mengenai kad kredit syarikat itu, haruskah saya memohon satu lagi kad kredit?
  • Apakah pelaburan yang selamat dan menawarkan pulangan yang paling tinggi?
  • Berapakah jumlah perlindungan insurans yang cukup bagi saya?
  • Cukupkah wang dalam simpanan untuk membiayai majlis perkahwinan saya?
  • Jika anak saya ditawarkan ke universiti swasta, cukupkah tabungan untuk membiayai pendidikan beliau?
  • Apakah jenis rumah yang harus saya beli? Adakah rumah yang mahal tetapi pada masa akan datang boleh dijual dengan harga yang tinggi atau sekadar rumah yang murah?
  • Wang saya dalam KWSP, adakah cukup untuk persaraan saya?
  • Adakah sudah sampai masanya saya “upgrade” dan membeli kereta baru?
  • Wang di dalam bank, cukupkah untuk sebarang kecemasan terhadap diri atau keluarga saya?

Soalan-soalan di atas merupakan soalan-soalan yang berhubung kait dengan kewangan peribadi. Perancangan kewangan peribadi adalah proses anda untuk menyediakan dan melaksanakan satu pelan yang menyeluruh dan bersepadu untuk mencapai matlamat kewangan anda, meningkatkan kesejahteraan kewangan anda untuk menghadapi sebarang kecemasan bagi diri dan keluarga anda.

Matlamat utama dalam perancangan kewangan anda adalah untuk mencapai matlamat berikut:-

  • Membeli rumah pertama anda, atau persediaan untuk membeli rumah yang lebih besar.
  • Membeli kereta yang anda idamkan.
  • Menghantar anak anda untuk pendidikan di universiti.
  • Persediaan untuk persaraan.
  • Mengendalikan majlis perkahwinan bagi diri atau anak anda.

Pengguna yang bijak menguruskan kewangan seringkali dikaitkan dengan manfaat sosial dan psikologi. Biasanya, mereka kurang merasakan tekanan dan mempunyai perhubungan yang positif dengan ahli keluarga, kawan-kawan dan rakan sekerja.

Masalah kewangan boleh menjadi faktor konflik keluarga yang paling utama sekiranya tidak diatasi. Pengurusan kewangan yang baik juga akan melahirkan rasa keyakinan yang tinggi dan penghargaan kendiri yang positif.

Terdapat lima langkah ke arah perancangan kewangan peribadi. Walaupun anda mengikuti langkah ini, anda harus sedar bahawa pelan ini bukannya sesuatu yang muktamad, malah anda harus sentiasa memperbaiki pelan tersebut sepanjang hayat anda. Situasi dalaman seperti kesihatan atau keluarga serta faktor luaran seperti inflasi, pekerjaan atau faedah pinjaman sentiasa berubah. Hal ini akan memberi kesan terhadap perancangan kewangan anda.

Pertama: Menganalisis situasi kewangan masa kini anda

  • Pada hujung bulan ramai akan bertanya, ke manakah wang saya dibelanjakan? Ramai akan menghadapi masalah untuk membayar hutang dan bil-bil. Maka sebelum anda merancang, anda harus mengetahui dengan jelas dari mana wang anda datang dan ke mana ia dibelanjakan.
  • Anda perlu mengawasi dengan teliti perbelanjaan anda dan merekodkan secara bertulis ke manakah anda menghabiskan wang anda.

“..anda mesti mengambilkira perubahan-perubahan ini dan menyesuaikan perancangan anda untuk menangani keadaan”

Kedua: Menyediakan matlamat jangka pendek dan jangka panjang anda

  • Setiap individu mempunyai persepsi tersendiri terhadap makna “kejayaan” bagi diri mereka. Bagi sesetengah orang, membeli kereta mewah adalah satu kejayaan. Bagi yang lain, apabila mereka berjaya memperoleh Sarjana, ataupun apabila anaknya berjaya menjawat jawatan sebagai seorang doktor.
  • Walau apapun takrif kejayaan anda, maka anda perlu menyatakan dengan jelas serta spesifik matlamat dan keutamaan anda.
  • Proses ini memerlukan anda berfikir secara mendalam tentang apakah yang menjadi perkara penting bagi anda.

Ketiga: Mengenal pasti dan Menilai Strategi untuk Mencapai Matlamat anda

  • Bagi mencapai matlamat jangka panjang atau jangka pendek, anda perlu mengurangkan perbelanjaan dan meningkatkan tabungan. Untuk mencapai matlamat anda, anda harus mengenal pasti pelbagai strategi dan menilai setiap strategi tersebut dengan membandingkan manfaat dan kos setiap alternatif. Dengan itu, anda akan memilih strategi yang paling cekap dan berkesan.

Keempat: Melaksanakan Strategi yang anda Pilih untuk Mencapai Matlamat

  • Strategi anda mesti dibahagikan kepada tindakan-tindakan yang konkrit seperti memperuntukkan 10% daripada pendapatan untuk tabungan untuk tujuan menghadapi sebarang kecemasan, peruntukan untuk membeli produk yang mahal seperti pendidikan anak dan persaraan.
  • Anda mesti berusaha untuk melaksanakan strategi anda. Kelima: Menilai dan Membaiki Perancangan Anda dari semasa ke semasa
  • Banyak perubahan berlaku sepanjang hayat anda. Perubahan ini adalah perubahan yang boleh dijangkakan seperti hasrat bertukar kereta atau berkahwin dan juga perubahan yang tidak dapat dijangkakan seperti kesihatan atau kemalangan. Perubahan luaran juga boleh berlaku seperti kehilangan pekerjaan disebabkan kemasukan tenaga pekerja asing, kenaikan kadar bunga pinjaman perumahan atau kenaikan harga barangan yang tidak dijangkakan.

Oleh itu, anda mesti mengambil kira perubahan-perubahan ini dan menyesuaikan perancangan anda untuk menangani keadaan baru ini. Perubahan ini mungkin merupakan ancaman atau peluang bagi anda untuk bertindak dengan segera untuk menghadapi perubahan tersebut.

Akhirnya, adalah penting untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan anda tentang kewangan peribadi sama ada melalui pembacaan buku atau menghadiri seminar atau program latihan. Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat isu-isu yang rumit dalam menguruskan kewangan. Namun anda hendaklah menyediakan diri untuk isu-isu tersebut dengan berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran anda.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 16/Ogos 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button