Perancangan Kewangan

Tiga Isu Utama Persaraan

Persaraan pastinya bukan satu subjek yang akan anda fikirkan setiap hari. Namun, topik ‘5 Mitos Persaraan’ yang dikongsikan dalam RINGGIT isu bulan Jun 2014 yang lalu mungkin boleh mengubah persepsi anda tentang persaraan. Anda perlu bertindak untuk memastikan bahawa anda mempunyai kewangan yang mencukupi apabila anda bersara kelak.

Anda tidak perlu bersara untuk mengetahui apakah makna persaraan yang sebenar. Anda boleh melihat sendiri bagaimana ibu bapa dan rakan-rakan anda menjalani kehidupan persaraan mereka. Bagi mereka yang telah merancang dan menyimpan untuk persaraan, mereka menikmati taraf hidup dan gaya hidup sama seperti semasa mereka masih bekerja. Namun demikian, sekiranya mereka tidak merancang persaraan dengan baik, mereka menghadapi kemerosotan taraf hidup kerana pendapatan persaraan yang tidak mencukupi untuk menampung persaraan mereka.

Berapa banyak pendapatan persaraan yang diperlukan bila bersara bergantung kepada gaya hidup yang dijalani semasa persaraan. Tanpa menggantikan pendapatan yang diperoleh dengan secukupnya, anda mungkin tiada pilihan lain selain daripada mengurangkan gaya hidup anda atau bergantung kepada orang lain untuk memberi dan menambah pendapatan persaraan anda, terutama sekali jika anda tidak mampu bekerja.

Persoalannya, adakah anda mempunyai cara untuk mengekalkan gaya hidup apabila bersara. Untuk berbuat demikian, terdapat tiga isu utama persaraan yang harus diberi perhatian semasa masih bekerja.

Kecukupan – untuk menggantikan pendapatan yang diperoleh

Pertama, berapa banyakkah pendapatan yang diperlukan untuk persaraan. Berdasarkan kajian Pentadbir Pencen Swasta (PPA), pada umumnya individu yang telah bersara memerlukan nisbah pendapatan 2/3 daripada gaji terakhirnya untuk mengekalkan taraf hidup pada masa persaraannya. Dengan erti kata lain, jika seseorang itu mempunyai gaji bulanan sebanyak RM10,000 sebelum bersara, dia hanya memerlukan kira-kira RM7,000 sebagai pendapatan bulanan persaraan beliau untuk menikmati kualiti kehidupan yang sama. Andaian di sebalik nisbah pendapatan 2/3 penggantian ini adalah terdapat pengurangan 50% dalam semua perbelanjaan yang berkaitan dengan kerja anda, manakala perbelanjaan persaraan bagi masa lapang, percutian dan penjagaan kesihatan akan meningkat sebanyak 20%.

Mencukupi – untuk keseluruhan tempoh hayat persaraan

Kedua, anda perlu memastikan bahawa pendapatan anda dapat mencukupi sepanjang tempoh persaraan. Isu utama di sini adalah jangka hayat yang panjang dengan simpanan yang rendah ini akan menyebabkan anda mengalami kekurangan wang apabila usia semakin meningkat.

Rakyat Malaysia dijangka akan hidup lebih lama, iaitu purata jangka hayat kini adalah kira-kira 75 tahun. Angka ini dijangka meningkat melebihi 80 tahun dalam beberapa tahun akan datang jika kemajuan dalam bidang perubatan terus meningkat. Ini bermakna, rakyat Malaysia rata-ratanya perlu memperuntuk simpanan yang mencukupi untuk menampung 20 hingga 30 tahun daripada kehidupan persaraan mereka, dengan usia persaraan sekarang yang telah ditetapkan pada 60 tahun.

Kemampanan – untuk melindungi daripada inflasi

Ketiga, ancaman paling besar dalam memenuhi keperluan kewangan semasa bersara ialah inflasi. Untuk melindungi daripada kesan inflasi bagi jangka panjang, pilihan terbaik adalah dengan memastikan kadar pertumbuhan simpanan persaraan dan pulangan pelaburan lebih tinggi daripada kadar inflasi. Jika tidak, inflasi akan menghakis taraf dan kualiti hidup persaraan dari masa ke masa.

Hakikatnya, menempuh alam persaraan memerlukan perancangan yang rapi dan teliti. Oleh yang demikian, anda perlu menangani isu-isu persaraan mulai sekarang, sementara anda masih lagi bekerja. Memandangkan tumpuan lebih diberikan kepada kehidupan semasa, maka apa yang perlu anda lakukan adalah membuat simpanan dan menabung untuk persaraan yang mencukupi secara berterusan. Jika tidak, anda mungkin terlepas peluang dan berharap keadaan akan berubah apabila anda bersara. Sudah tentu anda tidak mahu mendapat kejutan apabila anda bersara kelak.

*Dato ‘Steve Ong adalah Ketua Pegawai Eksekutif Pentadbir Pencen Swasta (PPA), pentadbir pusat untuk Skim Persaraan Swasta (PRS). PPA ditugaskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk menggalakkan pertumbuhan industri PRS, mewujudkan kesedaran dan mendidik orang ramai mengenai perancangan persaraan. PPA juga melindungi kepentingan pencarum PRS.

PPA mengalu-alukan soalan yang berkaitan dengan perancangan persaraan. Sebarang maklum balas sila e-melkan kepada askPPA@ppa.my atau layari www.ppa.my untuk maklumat lanjut mengenai soal perancangan persaraan.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 53/September 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button