Pengurusan Hutang

Teknik Terbaik Untuk Keluar Daripada Hutang Yang Banyak

Masalah hutang merupakan perkara umum dalam kalangan rakyat biasa. Masalah seperti ini lazimnya disebabkan kegagalan mengurus kewangan dengan baik.

Kebanyakan individu terjebak dengan hutang seperti pinjaman kereta, pinjaman peribadi dan pinjaman rumah.

Jika anda mempunyai masalah hutang, berikut adalah beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk menguruskan hutang dengan lebih baik.

Buat Rancangan Bebas Hutang

Perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah berniat untuk bebas daripada hutang. Anda perlu memberi komitmen sepenuhnya supaya hutang anda dapat diselesaikan.

Selagi anda tidak mempunyai niat untuk bebas daripada hutang, selagi itu setiap rancangan anda akan gagal.

Untuk merancang, anda perlu tahu beberapa perkara seperti berikut:

  • Jumlah hutang
  • Pemberi hutang (nama institusi kewangan)
  • Tempoh hutang
  • Jenis hutang

Seterusnya, anda perlu membahagikan hutang yang perlu diselesaikan lebih awal, seperti kad kredit dan pinjaman peribadi. Manakala hutang kereta dan rumah pula, bergantung kepada tahap bebanan anda selepas hutang kad kredit dan pinjaman peribadi selesai.

Kenali Jenis Hutang

Terdapat dua jenis hutang yang sering diambil iaitu tetap (seperti hutang kereta, kad kredit dan peribadi) dan kaedah pengurangan (hutang rumah).

Perbezaan utama ialah daripada segi jumlah faedah / keuntungan yang perlu dibayar kepada pihak institusi kewangan. Jika hutang tetap, anda perlu membayar jumlah faedah sepenuhnya walaupun selesai dengan lebih awal.

Manakala untuk hutang yang menggunakan kaedah pengurangan, jumlah faedah / keuntungan boleh dikurangkan apabila anda menyelesaikan bayaran prinsipal lebih awal.

Seterusnya, kenal pasti kadar faedah setiap hutang yang anda miliki. Susun hutang-hutang tersebut mengikut kadar faedah yang paling rendah hingga paling tinggi. Pada masa yang sama, lihat juga bayaran ansuran setiap bulan yang perlu dibayar.

Tambah Pendapatan

Jika anda memang betul-betul berniat untuk bebas daripada hutang yang terlalu tinggi, anda mungkin perlu menambah pendapatan. Cara ini akan membantu anda mengurangkan hutang anda lebih awal.

Buat apa sahaja yang anda boleh lakukan untuk menambah pendapatan dan mengurangkan hutang anda. Berikut adalah beberapa contoh pekerjaan sampingan yang boleh anda lakukan:

  • Pemandu perkhidmatan e-panggilan (e-hailing driver)
  • Perniagaan dalam talian
  • Menjual makanan
  • Pendapatan melalui komisyen

Anda boleh menambah pendapatan yang sesuai dengan diri anda supaya tidak mengganggu pekerjaan tetap anda.

Anda hanya perlu pekerjaan tambahan sehingga hutang anda dapat dikurangkan seperti yang anda kehendaki. Pastikan juga pekerjaan tambahan yang anda lakukan itu dapat membantu anda mengurangkan hutang.

Selesaikan Hutang Yang Paling Sedikit

Selesaikan dahulu hutang yang paling sedikit dan mudah untuk diselesaikan.

Contoh:

  • Hutang Peribadi 1: RM20,000
  • Hutang Peribadi 2: RM60,000
  • Hutang kad kredit: RM10,000

Berdasarkan senarai hutang di atas, hutang kad kredit adalah hutang yang paling sedikit jumlahnya. Oleh itu, fokus untuk selesaikan dahulu hutang tersebut.

Setiap bulan anda boleh membuat pembayaran lebih daripada bayaran minimum untuk melangsaikan hutang kad kredit tersebut. Manakala hutang yang lain, anda hanya perlu bayar seperti biasa. Apabila hutang kad tersebut sudah selesai, jumlah keseluruan hutang anda akan berkurangan dan anda boleh fokus pula pada Hutang Peribadi 1 yang jumlahnya lebih rendah daripada Hutang Peribadi 2.

Kurangkan perbelanjaan

Jika anda berjaya menambah pendapatan tetapi perbelanjaan pula semakin meningkat, hutang anda tidak akan berjaya dikurangkan.

Oleh sebab itu, selain menambah pendapatan, anda juga perlu kurangkan perbelanjaan dan berjimat cermat. Anda juga perlu kurangkan perbelanjaan gaya hidup yang mewah untuk mencapai matlamat ini.

Cara ini boleh membantu mengurangkan hutang semasa anda.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 99/Julai 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button