Pengguna

Tarik Kereta

Secara amnya, institusi kewangan akan bertindak menarik kereta pelanggan apabila ansuran bulanan tidak dijelaskan pada sesuatu tempoh masa tertentu, seperti yang tertera di dalam kontrak sewa beli antara pelanggan dan bank. Namun begitu, pihak bank atau institusi kewangan yang menyediakan kemudahan kewangan mempunyai tanggungjawab dan kriteria yang perlu mereka penuhi sebelum mengesahkan sesebuah kereta itu layak untuk ditarik.

Merujuk kepada jenis-jenis aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) berkaitan kes tarik kereta, sejumlah besarnya adalah tertumpu kepada ejen penarik kenderaan (dari segi undang-undang dikenali sebagai ejen perolehan semula) yang tidak memenuhi kriteria sebelum memutuskan untuk menarik sesebuah kereta. Ejen penarik kenderaan hendaklah mempunyai permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Namun, sering kali berlaku, apabila si pengadu meminta permit daripada ejen penarik kenderaan, mereka hanya mendiamkan diri dan mula bertindak kasar serta mengugut sehingga pelanggan takut lalu menyerahkan kereta tanpa banyak soal.

Selain itu, perkara yang wajib diketahui oleh pengguna adalah, sekiranya 75% pinjaman kereta telah dijelaskan, pihak bank perlu mendapat perintah mahkamah terlebih dahulu sebelum bertindak untuk menarik kenderaan.

Sebahagian daripada aduan berkenaan kes tarik kereta menunjukkan bahawa setelah menjelaskan bayaran tertunggak, dan apabila pengadu mendapat semula kereta mereka, keadaan kereta sudah tidak sama seperti yang asal. Contohnya terdapat beberapa bahagian mengalami kerosakan, tayar rim kereta dicuri, kehilangan wang atau barangan dalam kereta, meter perbatuan menunjukkan kereta telah digunakan dan pelbagai masalah lain. Ini sepatutnya tidak berlaku kerana ejen penarik kenderaan hanya berhak menarik dan menyimpan kereta tanpa menggunakan kereta tersebut ataupun merosakkannya. Di samping itu, ejen penarik kenderaan adalah tertakluk kepada kod etika yang dikeluarkan oleh KPDNKK. Jika kerosakan atau masalah lain seperti yang dinyatakan itu berlaku, ejen penarik kenderaan haruslah bertanggungjawab sepenuhnya. Dalam kebanyakan kes seperti ini, institusi kewangan yang menarik kereta tidak bertanggungjawab dan bersikap seolah-olah tidak tahu apa-apa apabila dihubungi untuk mendapatkan penjelasan.

Persoalannya, mengapakah kejadian seperti ini masih berlaku? NCCC mendapati bahawa pihak yang menarik kereta adalah merupakan pihak ketiga dan bukan staf institusi kewangan yang bertugas menghubungi pelanggan untuk meminta supaya menjelaskan pembayaran. Oleh itu, mereka mungkin tidak sedar akan implikasi mereka berbuat demikian. NCCC berpendapat bahawa pihak institusi harus bertanggungjawab terhadap pelanggan mereka. Pengguna boleh membuat aduan terhadap ejen penarik kenderaan tersebut kepada KPDNKK atau institusi perbankan yang terbabit. Pihak institusi perbankan akan menjalankan siasatan terperinci dan akan mengambil tindakan yang sewajar sekiranya ejen tersebut telah membuat kesalahan.

Pengguna pula haruslah mempunyai sikap bertanggungjawab dan menjadi kewajipan kepada mereka untuk menjelaskan bayaran bulanan setelah mendapat kemudahan pinjaman kewangan. Syarat ini jelas tertera dalam kontrak dan pihak institusi kewangan akan mengambil tindakan lanjut jika anda gagal berbuat demikian. Sekiranya anda mengalami kesukaran untuk membuat bayaran bulanan, anda disyorkan untuk berbincang dengan pihak institusi kewangan.

Secara ringkas, kes-kes seperti ini dapat dikurangkan sekiranya semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dengan lebih bertanggungjawab.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 59/Mac 2015

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button