Pengguna

Tanggungjawab Sebagai Seorang Penjamin

Menjadi penjamin untuk seseorang merupakan satu tanggungjawab yang besar dan boleh membawa kesan yang serius. Oleh itu, anda perlu memahami apa yang anda jamin dan kesan daripada menandatangani perjanjian pinjaman itu.

Peranan anda sebagai penjamin penting kerana ia membolehkan seseorang itu mendapatkan pinjaman yang diperlukan untuk sesuatu tujuan. Malangnya, jika berlaku sesuatu terhadap pinjaman tersebut, seperti tidak membayar pinjaman, anda sebagai penjamin terpaksa menyelesaikan masalah pinjaman tersebut. Ini akan meletakkan situasi kewangan anda dalam bahaya.

Apakah yang dimaksudkan dengan penjamin?

Penjamin adalah seorang yang bersetuju untuk bertanggungjawab bagi pembayaran hutang peminjam jika peminjam tersebut melanggar perjanjian untuk membayar balik wang yang dipinjamkan kepada mereka (ini disebut ‘lalai’). Anda menjadi penjamin apabila anda menandatangani perjanjian bertulis dan terikat secara sah dari sudut undang-undang. Perjanjian ini digelar ‘Jaminan’.

Apabila anda menandatangani ‘Jaminan’, anda (sebagai penjamin) bersetuju untuk bertanggungjawab untuk membayar hutang orang lain (peminjam), jika peminjam ingkar membayar hutang. Ini bermakna jika peminjam tidak membuat bayaran pinjaman, atau melanggar mana-mana terma dan syarat perjanjian pinjaman, penjamin perlu menjelaskan tunggakan yang belum dijelaskan.

Kelayakan seorang penjamin:

  • Mesti berumur 18 tahun ke atas;
  • Bukan dalam status bankrap;
  • Mesti berfikiran waras dan mempunyai keupayaan mental untuk memahami dokumen jaminan dan tanggungjawab serta kewajipan seseorang penjamin;

dan

  • Mesti menjadi penjamin secara sukarela tanpa sebarang paksaan.

Walau bagaimanapun, keputusan muktamad sama ada menerima anda sebagai penjamin atau tidak terletak pada budi bicara institusi kewangan.

Kenapa peminjam memerlukan penjamin?

Salah satu sebab peminjam memerlukan penjamin kerana institusi kewangan (pemberi pinjaman) tidak bersedia untuk mengambil risiko untuk meminjamkan wang kepada peminjam tersebut. Antara sebabnya ialah:

  • Peminjam masih muda dan masih belum mempunyai apa-apa rekod kredit;
  • Peminjam telah gagal membayar pinjaman pada masa lalu.

Saya fikirkan ini adalah satu formaliti untuk menjadi penjamin. Adakah maksudnya saya (penjamin) bertanggungjawab sepenuhnya terhadap hutang itu?

Anda bertanggungjawab terhadap keseluruhan pinjaman yang anda jamin jika peminjam gagal memenuhi syarat pinjaman. Jaminan adalah bukan sekadar formaliti untuk membantu rakan atau saudara mendapatkan pinjaman. Menjadi penjamin adalah tanggungjawab yang besar. Ini bermakna anda bersedia untuk melunaskan seluruh hutang jika peminjam gagal membayar balik, walaupun hanya terdapat satu sahaja bayaran yang gagal dilunaskan.

Anak saya tidak akan gagal membayar pinjaman. Dalam keluarga kami, kami memenuhi obligasi kami. Kenapa saya perlu bimbang?

Ramai orang percaya bahawa rakan atau saudara, yang mereka menjadi penjamin, tidak akan melakukan apa-apa untuk melanggar terma dan syarat yang ditetapkan oleh pemberi pinjaman. Malangnya, rakan atau saudara anda mungkin secara tiba-tiba tidak dapat membayar balik pinjaman mereka kerana diberhentikan kerja, menghidap penyakit atau atas apa sahaja alasan lain.

Sekiranya saya menandatangani jaminan ini, apakah yang boleh saya lakukan untuk melindungi diri saya?

Sebaik sahaja anda menandatangani sesuatu jaminan, anda akan bertanggungjawab terhadap pinjaman tersebut sekiranya pihak peminjam gagal membayar pinjamannya. Anda boleh mengambil langkah berjagajaga seperti kerap berkomunikasi dengan peminjam untuk mengetahui kedudukan kewangan, serta status pinjaman dan pembayaran balik pinjaman tersebut.

Adakah saya akan dilepaskan daripada kewajipan saya sebagai penjamin selepas kematian peminjam?

Dengan menandatangani jaminan, anda bersetuju bahawa anda akan membayar pinjaman sekiranya peminjam gagal membayar pinjamannya. Tanpa mengambil kira sama ada peminjam tidak membayar kerana terlupa, menganggur, ketidakupayaan kerana penyakit, atau kematian, pihak institusi kewangan berhak untuk memulakan proses memungut baki pinjaman daripada penjamin.

Sumber : Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 106/Februari 2019

 

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button