Pengurusan Kewangan

Tanggungjawab Kewangan Bermula Dengan Saya

Bagi menggalakkan tabiat mengurus kewangan yang berhemat dan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah mengadakan Bulan Kewangan Berhemat pada bulan Oktober 2011 dengan bertemakan “Tanggungjawab Kewangan Bermula Dengan Saya”. Terdapat tiga objektif utama yang diberikan tumpuan bagi Bulan Kewangan Berhemat ini, iaitu:-

  • Memberi penekanan tentang cara pengurusan kewangan berhemat sebagai amalan seharian dalam kehidupan.
  • Mendidik rakyat Malaysia untuk mengamalkan tabiat pengurusan kewangan yang baik untuk memberi kesejahteraan kewangan pada masa hadapan.
  • Menggalakkan pengguna mengemukakan pelbagai isu dan aduan berkaitan perkhidmatan kewangan yang diberikan oleh institusi perbankan dan insurans.

Dengan melibatkan diri dalam Bulan Kewangan Berhemat, ia memberi peluang kepada setiap individu untuk menetapkan beberapa matlamat pengurusan kewangan peribadi dan membuat komitmen ke arah meningkatkan tabiat pengurusan kewangan. Sebanyak 42 aktiviti diadakan sepanjang bulan Oktober ini, yang merangkumi pameran dan promosi bahan bacaan kewangan di perpustakaan terpilih dan MPH Bookstores, program jangkauan dan bengkel di peringkat komuniti, sekolah rendah dan sekolah menengah. Selain itu, bengkel “Ringgit Pertama Saya” untuk kanak-kanak tadika juga telah diadakan. Program-program yang diadakan ini disampaikan secara interaktif untuk memberikan maklumat asas mengenai belanjawan, cara untuk menguruskan kad kredit atau hutang, membina simpanan, melindungi aset anda, persediaan untuk persaraan dan melindungi diri daripada penipuan.

Terdapat juga beberapa acara khusus lain yang dijalankan, antaranya Persidangan Perkhidmatan dan Pengguna, Klinik Sihat Labur dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti dan Dialog: Konsumer dan Institusi Kewangan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia. Dialog ini menyediakan satu platform untuk institusi kewangan serta insurans dan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), iaitu pusat khidmat aduan FOMCA, untuk berbincang mengenai isu-isu perkhidmatan bank dan insurans yang berkaitan bagi memudahkan perkhidmatan mereka kepada pengguna.

FOMCA juga menerbitkan beberapa penerbitan yang berkaitan dengan Bulan Kewangan Berhemat iaitu keluaran khas CRRC Review yang bertajuk “Financial Planning and Financial Management”, risalah bertajuk 10 isu kewangan, buletin RINGGIT, Edisi Khas Generasi Pengguna dan poster serta risalah.

Untuk membantu pengguna mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang aktiviti Bulan Kewangan Berhemat dan pelbagai panduan berkaitan pengurusan kewangan, satu laman sesawang mikro, iaitu www.fomca.org.my/kewangan, telah diwujudkan untuk memberi maklumat seperti tip-tip pengurusan kewangan, kalkulator dan pelbagai maklumat daripada agensi-agensi kewangan. Kaji selidik pengurusan kewangan pekerja muda turut dijalankan bagi mengenal pasti status pengetahuan tentang pengurusan kewangan pekerja muda di Malaysia dalam lingkungan 18 tahun hingga 35 tahun yang bekerja di sekitar Wilayah tengah Semenanjung Malaysia (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya).

FOMCA turut menyiarkan tip-tip pengurusan kewangan dalam bentuk infomersial TV dan radio menerusi saluran Astro. Sebanyak 122 kali infomersial TV disiarkan di 8 saluran Astro. Antara topik video yang disiarkan ialah:-

1) Membuat keputusan pendapatan bulanan,

2) Perancangan bajet untuk isi rumah,

3) Cara lain untuk menambahkan pendapatan dan

4) Perancangan persaraan.

Manakala infomersial audio disiarkan sebanyak 164 kali di 3 saluran radio Astro dan topik-topik audio pula ialah:-

1) Mendidik kanak-kanak mengenal wang,

2) Sentiasa menyemak keadaan kredit anda dan

3) Merancang pelan kewangan anda.

FOMCA berharap Bulan Kewangan Berhemat ini akan dapat meningkatkan lagi tentang kesedaran pengurusan kewangan berhemat dan menggalakkan tabiat pengurusan kewangan yang sihat dalam kalangan rakyat Malaysia. Dengan sistem kewangan yang inklusif, pengguna akan mempunyai akses kepada rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan yang pelbagai. Pada masa yang sama, dengan maklumat yang mencukupi, pengguna boleh membuat keputusan pengurusan kewangan yang bertanggungjawab dan menjalankan urus niaga kewangan dengan selamat, terjamin dan mudah.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 18/Oktober 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button