Pengurusan HutangPengurusan Kewangan

Tanggung Hutang Selepas Kahwin?

Setiap bakal pengantin pasti mengharapkan majlis perkahwinan yang meriah, sempurna dan gah sehingga sesetengahnya terpaksa membuat pinjaman peribadi untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

Jika 10 tahun dahulu, jumlah wang hantaran antara RM5,000 hingga RM8,000, tetapi nilai tersebut kian meningkat sehingga mencecah RM20,000 kerana faktor pendidikan atau kedudukan seseorang wanita itu.

Wang hantaran di Malaysia (mengikut taraf pendidikan pasangan)

  • UPSR, PMR: RM1,000 – RM3,000
  • SPM: RM3,000 – RM8,000
  • STPM/Diploma: RM8,000 – RM12,000
  • Ijazah: RM12,000 – RM 15,000
  • Sarjana: RM15,000 – RM20,000
  • PHD: RM20,000 – RM30,000

Jumlah itu tidak termasuk kos majlis kenduri, barang sebagai dulang hantaran dan banyak lagi. Ternyata, untuk merealisasikan impian berkahwin bukanlah perkara mudah, di samping masalah peribadi lain yang muncul ketika persediaan dibuat. Perkiraan kasar kos bagi mengadakan majlis perkahwinan sekarang, memerlukan lebih kurang RM20,000, tidak termasuk duit hantaran.

Seandainya mengambil kira jumlah simpanan terkini di dalam akaun, berapa ramai yang mampu menyediakan puluhan ribu ringgit untuk majlis perkahwinan mereka. Maka, bagi pasangan yang bakal berkahwin, terutama lelaki, mereka perlu bersedia dari sudut kewangan sebelum membuat keputusan untuk menamatkan zaman solo.

Jangan penting status

Hutang memberi bebanan kepada seseorang sehingga menyebabkan mereka tidak bahagia dan ramai hidup tersepit dengan hutang kerana terlalu ikut nafsu.

Perunding Kewangan, Suzardi Maulan berkata, kesilapan masyarakat sekarang ialah mereka terlalu ingin menjaga status sehingga sanggup mengetepikan soal kemampuan yang dimiliki.

Hidupkan budaya baru

Suzardi berkata, perkara itu bukanlah satu perkara baru, jadi perkara ini boleh diatasi jika ada keinginan.

Katanya, bakal pengantin boleh membuat dua pilihan, sama ada ingin meneruskan majlis perkahwinan mengikut amalan masyarakat hari ini, lazimnya keterlaluan atau membentuk budaya baru mengikut kemampuan.

“Sekiranya poket kita ‘dalam’, maka tiada masalah untuk buat majlis mengikut kemahuan kita atau berbelanja besar. Apa yang membimbangkan, jika kadar pelaburan untuk kos majlis melebihi kemampuan atau simpanan yang ada hingga berhutang. Lebih membimbangkan lagi, perbelanjaan majlis perkahwinan terlalu tinggi juga mengakibatkan ramai terpaksa bergolok gadai dan berhutang sekeliling pinggang,” jelasnya ketika dihubungi barubaru ini.

Jadi hamba bank

Tambah Suzardi, apabila kos perkahwinan hari ini mencecah RM50,000, majoriti bakal pengantin terpaksa berhutang dengan bank selama 10 hingga 15 tahun.

Katanya, dengan kadar pembiayaan peribadi sekitar lima peratus setahun, setiap hutang RM50,000 menyebabkan ramai penghutang kehilangan aliran tunai sebanyak RM600 sebulan selama 120 bulan, seterusnya membayar balik kepada bank sehingga RM72,000.

“Memang tidak dapat dinafikan, perkahwinan dan membuat kenduri adalah sunnah. Namun Nabi s.a.w. tidaklah mengajar kita untuk membuat sesuatu di luar kemampuan sehingga membebankan kita. Baginda s.a.w. menyarankan, kenduri kahwin ini dibuat walaupun hanya sekadar seekor kambing. Jadi, sebelum berbelanja atau membuat pinjaman, fikirlah perkara penting dan jangka masa hadapan,” jelasnya.

Sepakat antara pasangan

Katanya, selain beberapa faktor menjadi keutamaan, struktur kewangan juga menjadi punca kepada banyak kes perceraian. Justeru, Suzardi menasihatkan, jejaka yang ingin melamar pasangan perlulah menilai beberapa perkara. Kata sepakat antara wanita serta keluarga amat penting sebelum menetapkan majlis.

“Pasangan perlu sepakat berbincang antara satu sama lain, termasuk keluarga sebelum memutuskan jumlah perbelanjaan diperlukan untuk majlis. Jika wanita atau keluarga terlalu meminta, sebagai lelaki anda perlu berwaspada. Ini bagi mengelak anda mengalami bebanan hutang selepas berkahwin sehingga muncul sikap mengungkit dan akhirnya membawa kepada perpisahan yang tidak diduga.”

Tujuh tahun pertama

Suzardi berkata, pasangan perlu bijak mengatur perancangan masa hadapan apatah lagi menyusun strategi kewangan dengan bijak, mereka dapat hidup selesa kelak.

“Tujuh tahun pertama perkahwinan memerlukan banyak pengorbanan jika anda ingin selesa di kemudian hari. Sebagai contoh, sebagai isteri, anda mungkin bertahan duduk di rumah sewa kos rendah dan juga kereta yang biasa untuk mendapatkan simpanan.

“Andainya, jumlah isi rumah adalah RM5,000 dan anda berdua berjaya menyimpan sekurang-kurangnya 10 peratus hingga 50 peratus daripada gaji setiap bulan ke akaun Tabung Haji atau Amanah Simpanan Nasional Berhad, dalam tempoh tujuh tahun akaun pasangan mencecah lebih RM60,000,” jelasnya lagi.

Ubah budaya kahwin di Malaysia

  • Apabila anak muda yang mahu berkahwin dapat mengelakkan daripada membuat pembiayaan peribadi sebesar RM50,000, anda bakal mempunyai aliran tunai sehingga RM600 sebulan.
  • Jika anda mampu membayar kepada bank RM600 sebulan, sebenarnya anda juga mampu menyimpan sebanyak itu setiap bulan.
  • Justeru, dengan aliran tunai sebanyak itu, bakal pengantin mempunyai dua pilihan mudah:
  • Menyimpan RM600 sebulan selama tujuh tahun.

Hasilnya dianggarkan seperti berikut:

  • Tabung Haji (5%): RM 61,553.58
  • ASB (8%): RM69,383.72
  • Memulakan pelaburan hartanah sendiri. Suami beli satu. Isteri beli satu. (Sila pastikan anda memahami konsep pelaburan hartanah)
  • Selepas tujuh tahun berkahwin, rumah itu dapat terus disewakan atau dijual dengan keuntungan.
  • Seterusnya, mereka dapat bergabung membeli rumah lebih besar dan lebih sesuai untuk membentuk ‘Rumahku Syurgaku’.

Sumber : Berita Harian, 4 Oktober 2013/AKPK/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 45/Januari 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button