Pelan PerbelanjaanPenggunaPengurusan KewanganPerancangan Kewangan

Tanam Sendiri Lebih Jimat!

Hampir semua negara di dunia kini merasai kesan daripada harga makanan yang meningkat secara mendadak serta kedudukan ekonomi yang tidak menentu. Justeru, bagi membantu para pengguna di Malaysia mengurangkan kesan ini ialah melalui amalan berkebun sendiri.

Tanah merupakan satu anugerah semula jadi yang banyak terdapat di Malaysia. Terdapat banyak tanah yang terbiar di kawasan bandar dan luar bandar yang dipenuhi dengan rumput rampai dan tanaman-tanaman yang tidak mendatangkan hasil. Kini anda boleh menanam sayur-sayuran dan buah-buahan yang anda sukai di halaman atau kebun di rumah anda.

Penghuni rumah pangsa dan rumah teres yang tidak mempunyai kawasan bertanah pula boleh menanam sayur-sayuran di dalam pasu atau beg poli di rumah mereka. Malaysia adalah negara yang dikurniakan cahaya matahari dan hujan yang banyak. Kedua-dua sumber ini amat diperlukan untuk bercucuk tanam di rumah. Dengan melakukan kerja yang sedikit sahaja ia boleh memberikan pulangan yang lumayan.

KENAPA PERLUNYA BERKEBUN DI RUMAH?

  • Ia dapat mengurangkan perbelanjaan seharian untuk membeli sayur-sayuran dan buah-buahan yang harganya semakin meningkat pada masa ini.
  • Anda boleh mendapatkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar daripada taman anda sendiri.
  • Anda boleh mendapatkan makanan seperti cili, daun kari dan ulam dengan mudah sekali.
  • Anda mengambil makanan yang sihat kerana ia bebas daripada racun perosak atau racun serangga.
  • Ia boleh dijadikan sebagai hobi yang boleh membawa keseronokan kepada ahli keluarga anda.
  • Anak-anak anda sendiri mengetahui dari mana datangnya sumber makanan mereka.
  • Anda akan lebih menghargai nilai makanan dan tidak akan mensia-siakannya kerana ia hasil titik peluh anda sendiri.
  • Memberikan kepuasan kerana dapat makan buah-buahan dan sayur-sayuran dari taman anda sendiri.
  • Menggunakan tanah yang kosong untuk berkebun dapat mengelakkan daripada pembaziran kepada sumber tanah.
  • Hasil tanaman dapat menghijaukan kawasan halaman dan memberikan pemandangan rumah yang indah.
  • Jika menanam dalam kuantiti yang banyak, hasil tanaman boleh dikongsi bersama-sama dengan jiran atau menjualnya untuk mendapatkan wang tambahan.
  • Anda dapat menikmati makanan organik yang dihasilkan sendiri dengan kos yang rendah kerana harga hasil pertanian secara organik amat tinggi di pasaran.

LANGKAH KESELAMATAN SEMASA BERKEBUN

  • Perhatikan jika sesuatu tumbuh-tumbuhan itu jenis yang beracun sebelum menanamnya di kawasan rumah.
  • Selalu memakai sarung tangan dan kasut atau but yang bersesuaian semasa berkebun.
  • Semasa membuang batu-batu, tin, kayu api dan sebagainya, lakukan secara perlahan-lahan agar sesuatu benda yang tersembunyi di sebaliknya dapat ditanggalkan dengan baik.
  • Sentiasa memeriksa but, sarung tangan dan pakaian sebelum memakainya. Jika ia telah terbiar dalam tempoh tertentu, goncangkan ia dengan kuat. Anda mungkin tidak mengetahui apa yang terdapat di dalamnya!
  • Jangan sekali-kali memasukkan jari ke dalam lubang-lubang di dalam tanah.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 12/April 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button