Pelan PelaburanPerancangan Kewangan

Tambahkan Nilai Harta Bersih Anda

Membina kekayaan adalah berkait rapat dengan penambahan nilai harta bersih, iaitu aset tolak liabiliti sama dengan nilai harta bersih, yang mungkin positif (nilai aset melebihi nilai liabiliti) atau negatif (nilai liabiliti melebihi nilai aset).

Format Membina Kekayaan

Nilai harta bersih =

Jumlah aset keseluruhan – Jumlah liabiliti (hutang keseluruhan)

Dalam topik ini, tumpuan diberikan untuk meningkatkan aset melalui Simpanan dan Pelaburan.

Matlamat pelaburan anda

Apabila anda menabung secara berterusan, anda perlu membuat keputusan penting tentang cara melaburkan wang anda. Langkah pertama anda untuk melabur secara berhemat adalah dengan menetapkan matlamat pelaburan anda.

Bagaimana menetapkan matlamat pelaburan yang sesuai dengan keperluan anda?

Terdapat pelbagai soalan penting yang perlu difikirkan sebelum keputusan pelaburan dibuat. Cuba kaji soalan-soalan berikut:-

  • Apakah matlamat kewangan anda? Kenapakah anda perlu menyimpan dan melabur wang?
  • Berapakah jumlah wang yang perlu disimpan dan berapa pula jumlah wang yang perlu dilaburkan untuk mencapai matlamat tersebut?
  • Berapakah lama wang perlu disimpan atau dilaburkan untuk mencapai matlamat tersebut?
  • Berapa banyak risiko yang sanggup anda tanggung?Berapa banyak pulangan yang dijangkakan daripada simpanan atau pelaburan anda?
  • Apakah yang sanggup anda korbankan demi mencapai matlamat ini? Contohnya menukar gaya hidup atau tabiat perbelanjaan yang sedia ada.

Ambil kira sumber pendapatan anda dan fikir bagaimana anda boleh menyimpan dan melabur secara konsisten. Matlamat kewangan dan pelaburan anda seharusnya munasabah dan boleh dicapai.

Risiko dan pulangan pelaburan

Menyimpan wang di dalam akaun simpanan atau simpanan tetap adalah pelaburan yang paling selamat. Dengan menyimpan wang di dalam akaun tetap, anda mungkin tidak dapat membina kekayaan secepat yang diinginkan. Sungguhpun pelaburan lain dapat memberi pulangan yang lebih baik, ia mempunyai risiko yang lebih tinggi, kerana kemungkinan besar pelaburan tersebut akan jatuh nilainya.

Apabila melaburkan wang, anda sememangnya mengharapkan pulangan. Kadar pulangan atas pelaburan biasanya dikira dalam peratusan tahunan. Jika membeli saham pada harga RM10 sesaham dan harga tersebut naik kepada RM10.80 selepas setahun, kadar pulangannya ialah 8%.

Pulangan sebenar pelaburan adalah selepas menolak segala perbelanjaan yang berkaitan. Sebagai contoh, jika anda membeli rumah dan kemudian menjualkannya, anda hanya dapat memastikan pulangan yang diperoleh selepas menolak kos, seperti fi guaman, komisen ejen, duti setem dan faedah pinjaman bank.

Ingat! Apabila memilih pelaburan, semakin tinggi pulangannya, semakin tinggi risikonya.

Jangan letakkan semua telur di dalam satu bakul

Jangan laburkan wang anda dalam satu jenis pelaburan sahaja. Jika apa-apa berlaku kepada pelaburan tersebut, semua wang itu akan hilang. Adalah penting untuk mempelbagai pelaburan anda.

Meletakkan wang anda dalam pelbagai pelaburan merupakan tindakan yang bijak. Buat perancangan pelaburan yang seimbang. Apabila berbuat demikian, anda boleh mengurangkan risiko kehilangan wang anda.

Cara anda melabur bergantung kepada profil pelaburan, iaitu sama ada anda seorang pelabur yang agresif, sederhana ataupun konservatif. Kebanyakan orang berada di pertengahan profil tersebut.

Jika anda merupakan pelabur yang sederhana, mungkin sebahagian besar daripada wang anda berada dalam kelas aset yang berlainan daripada dana amanah saham dan bakinya pula dalam pelaburan pendapatan tetap seperti simpanan tetap. Jumlah yang diagihkan kepada kelas aset boleh dibahagikan lagi kepada segmen berlainan seperti bon dan dana ekuiti.

Sekiranya anda pelabur yang agresif, anda mungkin akan melabur dalam pelaburan yang lebih aktif seperti pasaran saham. Tetapi sebaliknya, jika anda adalah pelabur yang konservatif, anda mungkin mempelbagai pelaburan anda dalam pelaburan yang kurang agresif seperti bon dan simpanan tetap.

Tiada dua pelaburan yang sama! Cuma anda seorang sahaja yang boleh membuat keputusan tentang pilihan yang bersesuaian serta berapa banyak wang simpanan yang akan dilaburkan dalam pelbagai jenis pelaburan yang terdapat di pasaran.

Sumber : Buku “Celik Wang” oleh AKPK/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 36/April 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button