Pelan PerlindunganPengguna

Takaful Motor (Bahagian 1)

Takaful motor memberikan perlindungan terhadap kerugian atau kerosakan kenderaan sendiri akibat kebakaran, kecurian atau kemalangan; dan/atau kecederaan tubuh badan atau kematian pihak ketiga, kerosakan atau kerugian harta benda pihak ketiga.

Di Malaysia, perlindungan terhadap risiko pihak ketiga diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. Menjadi satu kesalahan bagi seseorang individu menggunakan atau menyebabkan atau membenarkan individu lain menggunakan kenderaan bermotor tanpa perlindungan yang sewajarnya.

Jenis perlindungan

Secara amnya, terdapat dua jenis perlindungan di bawah pelan takaful motor:-

  • Pihak ketiga – memberikan anda perlindungan terhadap kematian, kecederaan tubuh badan dan/atau kerosakan harta benda pihak ketiga.
  • Komprehensif – memberikan perlindungan terhadap kematian, kecederaan tubuh badan dan/atau kerosakan harta benda pihak ketiga; serta kerugian atau kerosakan ke atas kenderaan anda akibat kebakaran, kecurian atau kemalangan.

Siapakah pihak ketiga?

Pihak ketiga ialah individu lain yang mengalami kecederaan atau menanggung kerugian atau kerosakan akibat kemalangan yang melibatkan kenderaan anda. Contohnya pejalan kaki, pemandu lain atau penumpang yang berada di dalam kenderaan lain.

Pihak pertama ialah anda sebagai pemilik kenderaan dan pihak kedua ialah pengendali takaful.

Berapakah jumlah perlindungan yang patut diambil?

Pastikan jumlah perlindungan yang diambil di bawah sijil takaful motor menggambarkan nilai pasaran kenderaan anda. Sekiranya jumlah perlindungan kurang daripada nilai pasaran, syarat purata akan diguna pakai apabila tuntutan dibuat. Syarat purata merupakan penalti kerana perlindungan terkurang untuk kenderaan anda. Perlindungan terkurang untuk kenderaan bermakna jumlah perlindungan yang diambil kurang daripada nilai pasaran kenderaan semasa kejadian kerosakan.

Contoh:-

Di dalam kes ini, pengendali takaful hanya akan membayar sebanyak RM4,000 dan anda perlu menanggung perbezaan kerugian sebanyak RM1,000.

Apakah “diskaun tanpa tuntutan” atau no claim discount (NCD)

Ia boleh diklasifikasikan sebagai insentif kepada anda kerana tidak membuat sebarang tuntutan sepanjang tempoh penyertaan pelan takaful motor. Diskaun ini diberikan mengikut skala berikut apabila anda memperbaharui sijil anda.

NCD boleh dipindahkan kepada pengendali takaful/syarikat insurans lain atau kenderaan milik anda yang lain.

Pembatalan sijil

Anda boleh membatalkan sijil penyertaan anda dengan menghantar notis 14 hari secara bertulis kepada pengendali takaful dan anda perlu menyerahkan sijil motor dan sijil takaful bagi tujuan pembatalan. Dengan pembatalan tersebut, anda berhak untuk mendapat balik caruman yang belum luput sepanjang tempoh takaful secara pro rata.

Ekses

Ekses ialah kerugian yang anda perlu tanggung sebelum pengendali takaful membayar baki tuntutan anda. Dengan perkataan lain, jumlah ekses akan ditolak sebelum pembayaran dibuat. Contohnya, jika jumlah ekses ialah RM1,000 dan jumlah tuntutan ialah RM1,500, pengendali takaful hanya akan membayar sebanyak RM500 kepada anda.

Bebanan (‘Loading’)

Pengendali takaful boleh mengenakan nilai bebanan ke atas caruman bagi memastikan jumlah yang dikenakan adalah setara dengan risiko yang akan anda hadapi. Faktor bebanan yang sering diguna pakai ialah umur pemandu, ciri-ciri kehemahan pemandu, kapasiti enjin, tuntutan lepas yang tertentu bagi sesuatu kenderaan dan kenderaan yang dipulih semula.

Indemniti

Perlindungan takaful yang diberikan akan menggantikan kerugian anda, dengan meletakkan anda dalam kedudukan kewangan yang sama seperti sebelum berlaku kerugian. Anda tidak boleh membuat keuntungan daripada tuntutan takaful motor.

Pembaikan

Pembaikan berlaku apabila, semasa memperbaiki sesuatu kenderaan, alat ganti sesuatu kenderaan yang lama akan digantikan dengan alat ganti francais yang baru. Contohnya, bampar yang lama akan digantikan dengan yang baru. Oleh itu, anda dikehendaki menanggung perbezaan harga antara bampar yang lama dengan yang baru, selaras dengan prinsip indemniti. Ini kerana caruman anda adalah berdasarkan jumlah perlindungan. Amaun ini sebaliknya bergantung kepada nilai kenderaan anda, yang pada kebiasaannya lebih rendah daripada yang baru.

Pampasan bagi masa pembaikan sebenar

Sekiranya anda mengalami kemalangan dan anda membuat tuntutan pihak ketiga terhadap sijil seseorang individu lain yang menyebabkan kemalangan, anda boleh menuntut pampasan bagi masa pembaikan sebenar kenderaan anda. Pampasan bagi masa pembaikan sebenar ini termasuk kos perjalanan alternatif atau menyewa kenderaan lain (yang sama jenis dan kapasiti enjin).

Tempoh masa pembaikan sebenar ini berdasarkan cadangan hari yang diperlukan untuk memperbaik kenderaan anda seperti yang dinilai oleh pelaras kerugian bebas. Pengendali takaful, atas budi bicara mereka, boleh menambah tempoh tanggung selama tujuh hari bekerja bagi kelewatan yang tidak diduga atau yang tidak dapat dielakkan.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 36/April 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button