Pelan PerlindunganPengguna

Takaful Kemalangan Diri

Apakah takaful kemalangan diri (KD)?

Takaful KD adalah pelan takaful tahunan yang menyediakan pampasan sekiranya berlaku kematian, hilang upaya atau kecederaan yang disebabkan oleh kemalangan. Takaful KD juga boleh menyediakan perlindungan untuk perjalanan jangka pendek. Perlindungan takaful KD merangkumi kemalangan yang berlaku di mana-mana tempat di dunia, selama 24 jam sehari, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan dalam sijil.

Konsep takaful dalam takaful KD

Apabila anda menyertai takaful KD, anda mencarum sejumlah wang ke dalam dana takaful am dalam bentuk caruman penyertaan (tabarru’). Di bawah kontrak perjanjian, semua peserta bersetuju untuk saling membantu antara satu sama lain sekiranya salah seorang peserta ditimpa kemalangan yang mengakibatkan kematian, hilang upaya atau kecederaan.

Contoh : Pengendali takaful mempunyai jumlah lebihan (L) sebanyak RM4 juta dan jumlah caruman am (CA) sebanyak RM10 juta. Jumlah caruman anda pada tahun itu (C) ialah RM500 dan lebihan yang dikongsi bersama-sama di antara anda dan pengendali takaful adalah mengikut nisbah perkongsian yang telah dipersetujui (NP) iaitu 50:50. Jumlah perkongsian lebihan yang akan anda terima dikira seperti berikut:

  • Nisbah perkongsian lebihan

= NP x L /CA
= 50% x RM4 juta /RM10 juta
= 20%

  • Jumlah lebihan yang diagihkan kepada anda

= nisbah perkongsian lebihan x C
= 20% x RM500
= RM100

Skop Perlindungan

Perlindungan asas takaful KD meliputi kematian dan hilang upaya disebabkan oleh kemalangan. Selain perlindungan asas, pengendali takaful juga boleh menyediakan perlindungan yang mencakupi belanja perubatan, manfaat penghospitalan, pembedahan pembetulan dan belanja pengebumian.

Skop perlindungan takaful KD adalah berbeza-beza antara pengendali takaful. Anda dinasihatkan supaya menyertai pelan yang memenuhi kehendak anda.

Anda boleh menyertai takaful KD untuk diri anda sendiri atau pelan berkumpulan untuk keluarga anda. Majikan boleh menyertai takaful KD untuk pekerja mereka, dan dalam kes seperti ini, bayaran pampasan kepada pekerja adalah atas budi bicara majikan.

Sesetengah pelan takaful KD juga menetapkan had umur yang boleh dilindungi.

Perkara penting yang perlu diberikan perhatian apabila menyertai takaful KD

  • Skala manfaat

Skala manfaat merujuk kepada amaun pampasan yang boleh dibayar oleh pengendali takaful apabila berlaku kematian, hilang upaya atau kecederaan. Anda dinasihatkan supaya memberikan perhatian pada skala manfaat dalam pelan anda kerana ia berbeza-beza antara pengendali takaful.

  • Perlindungan berganda

Sekiranya anda mempunyai lebih daripada satu takaful atau insuran KD, dan kemudiannya anda meninggal dunia atau hilang upaya, anda atau benefisiari anda berhak mendapat pampasan di bawah setiap pelan/polisi. Walau bagaimanapun, bagi kerugian tertentu, seperti belanja perubatan yang pampasannya adalah berdasarkan pembayaran gantian, anda akan dibayar pampasan sekali sahaja berdasarkan kerugian sebenar yang dialami.

  • Benefisiari

Anda dinasihatkan supaya menamakan benefisiari anda dan memastikan benefisiari anda mengetahui takaful KD yang anda sertai.

Bagaimana membuat tuntutan?

  • Tuntutan kematian

Apabila berlaku kematian, laporan polis hendaklah dibuat dan pengendali takaful mesti dimaklumkan dengan secepat mungkin. Pihak menuntut akan diberi borang tuntutan yang harus diserahkan bersama-sama dengan semua dokumen sokongan yang dikehendaki oleh pengendali takaful, seperti sijil kematian dan permit pengebumian. Jika tiada benefisiari yang dilantik, tanggungan si mati atau pentadbir harta pusaka si mati hendaklah mengemukakan bukti tanggungan atau surat kuasa mentadbir.

  • Tuntutan kecederaan

Anda mestilah memberikan notis bertulis kepada pengendali takaful mengenai kecederaan anda dalam jangka masa yang ditetapkan dalam takaful KD. Anda hendaklah mengemukakan borang tuntutan berserta dengan semua dokumen sokongan, seperti laporan perubatan dan resit pembayaran belanja hospital kepada pengendali takaful. Anda akan dibayar pampasan untuk manfaat di bawah pelan jika rawatan diterima atau diagnosis dibuat dalam tempoh yang ditetapkan selepas tarikh kemalangan.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 35/Mac 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button