Pelan PerlindunganPenggunaPerancangan Kewangan

Takaful Keluarga

“Anda akan menikmati pulangan pelaburan daripada caruman simpanan berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui.”

Takaful keluarga memberikan anda perlindungan serta memperoleh simpanan jangka panjang. Anda atau waris akan mendapat manfaat dalam bentuk kewangan jika anda ditimpa kemalangan. Pada masa yang sama, anda akan menikmati simpanan persendirian jangka panjang kerana sebahagian daripada caruman anda akan didepositkan ke dalam sebuah akaun untuk tujuan simpanan. Anda akan menikmati pulangan pelaburan daripada caruman simpanan berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui.

Konsep Takaful dalam Takaful Keluarga

Apabila anda menyertai takaful keluarga, anda akan mencarum sejumlah wang ke dalam dana takaful. Anda akan memeterai perjanjian (aqad) bagi sebahagian daripada caruman anda sebagai caruman penyertaan (tabarru’) dan sebahagian lagi sebagai simpanan pelaburan.

Caruman anda dalam bentuk tabarru’ akan dimasukkan ke dalam sebuah dana (Akaun Khas Peserta atau AKP) yang akan digunakan untuk memenuhi tanggungjawab anda dalam saling membantu sekiranya salah seorang peserta ditimpa musibah, seperti kematian atau hilang upaya kekal. Jika anda masih hidup sehingga tarikh matang pelan tersebut, anda layak untuk berkongsi lebihan bersih daripada dana itu, jika ada.

Pengendali takaful akan melaburkan caruman simpanan dan pelaburan anda (Akaun Peserta atau AP) dan keuntungan akan dikongsi antara anda dan pengendali takaful berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui.

Jenis perlindungan

Takaful keluarga boleh dibahagikan seperti berikut:-

  • Takaful keluarga individu (perseorangan) – termasuk pelan pelajaran, gadai janji, kesihatan dan “rider”. Anda akan menerima manfaat kewangan jika berlaku kematian atau hilang upaya kekal, serta simpanan jangka panjang (pelaburan) dan keuntungan pelaburan yang akan diberikan sekiranya dituntut, matang atau serahan awal.
  • Takaful keluarga berkumpulan (majikan, kelab, persatuan dan kesatuan) – termasuk pelan pelajaran berkumpulan, perubatan berkumpulan, kesihatan dan “rider”. Jumlah minimum peserta dikehendaki untuk layak memasuki pelan ini. Anda akan mendapat perlindungan dalam bentuk manfaat kewangan sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.
  • Anuiti – pelan yang memberi pendapatan tetap selepas anda bersara.
  • Berkaitan pelaburan – sebahagian daripada caruman anda akan digunakan untuk membeli unit-unit pelaburan seperti unit saham atau sekuriti pendapatan tetap. Perlindungan takaful merangkumi kematian dan hilang upaya kekal.

Takaful keluarga “rider” merupakan tambahan kepada pelan takaful keluarga asas. “Rider” memberi perlindungan sekiranya berlaku kemalangan diri dan hilang upaya, perubatan dan kesihatan.

Terma dan syarat utama

Sebahagian daripada terma-terma penting ialah:-

  • Caruman – ialah ansuran caruman takaful anda yang dibayar kepada pengendali takaful. Anda boleh memilih untuk membayar caruman secara bulanan, suku-tahunan, separuh-tahunan ataupun tahunan.
  • Tempoh tangguh – anda akan dibenarkan tempoh tangguh selama 30 hari untuk menjelaskan bayaran ansuran caruman takaful. Jika anda meninggal dunia semasa tempoh tangguh, ansuran caruman takaful yang belum dijelaskan akan ditolak daripada jumlah manfaat takaful anda.
  • Tempoh matang – Anda boleh memilih sebarang tempoh matang yang sesuai untuk keperluan anda. Tempoh ini biasanya ialah dari 10 tahun hingga 40 tahun.

Ciri-ciri penting takaful keluarga

Sebahagian daripada ciri-ciri penting takaful keluarga ialah:-

  • Terbuka kepada semua individu berumur Antara 18 hingga 55 tahun.
  • Anda mempunyai pilihan tempoh matang.
  • Tidak ada pelucutan hak (non-forfeiture) jika berlaku pembatalan.
  • Kemudahan untuk mengeluarkan sebahagian daripada caruman.
  • Perkongsian lebihan dengan pengendali takaful.
  • Menyediakan simpanan dan pelaburan jangka panjang.

Pengecualian

Takaful keluarga pada lazimnya tidak melindungi perkara-perkara berikut:-

  • Percubaan membunuh diri atau mencederakan diri sendiri dengan sengaja sama ada semasa anda siuman atau tidak.
  • Jika anda melanggar undang-undang.
  • Jika anda memprovokasi serangan.
  • ika anda berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
  • Jika anda menghidap AIDS atau HIV.
  • Sebab-sebab lain yang dilarang oleh undang-undang Syariah.

Beritahu penama (wasi) anda

  • Beritahu penama anda tentang takaful keluarga yang anda sertai, sebarang perubahan yang telah dibuat dan tempat di mana anda menyimpan dokumen-dokumen tersebut.
  • Simpan dokumen-dokumen tersebut di tempat yang selamat. Letakkan maklumat-maklumat asas seperti nama pengendali takaful, jenis pelan, nombor sijil dan nama-nama penama di tempat yang berasingan.
  • Pastikan anda memaklumkan alamat penama anda dan pertukaran, jika ada, kepada pengendali takaful anda.

Bagaimana anda boleh membuat tuntutan?

Pengendali takaful akan membuat pembayaran kepada anda atau penama anda, bergantung kepada terma dan syarat di dalam sijil anda. Perkara-perkara yang perlu dilakukan semasa membuat tuntutan:-

  • Maklumkan kejadian kepada pengendali takaful anda dengan segera.
  • Untuk tuntutan matang, sediakan salinan sijil takaful keluarga.
  • Untuk tuntutan kematian, penama anda hendaklah menyediakan dokumen-dokumen berikut:-
  • Salinan sijil kematian yang disahkan;
  • Salinan kad pengenalan si mati;
  • Sijil takaful asal;
  • Bukti hubungan antara orang yang membuat tuntutan dan si mati; dan
  • Dokumen-dokumen lain yang diminta oleh pengendali takaful.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 27/Julai 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button