Pelan PerlindunganPenggunaPerancangan Kewangan

Takaful Empunya Rumah / Isi Rumah

Takaful empunya rumah memberikan perlindungan ke atas rumah kediaman anda terhadap kerugian atau kerosakan akibat bencana seperti banjir atau gempa bumi. Takaful empunya rumah bukan sahaja melindungi rumah anda, tetapi turut merangkumi garaj, bangunan luar, dinding, pintu pagar dan pagar di sekeliling rumah anda serta lekapan dan lengkapan kekal. Ia tidak melindungi bangunan yang digunakan bagi tujuan komersial seperti restoran, kilang atau tempat menyimpan barang dagangan.

Takaful isi rumah pula memberi perlindungan terhadap kerugian atau kerosakan ke atas kandungan rumah kediaman anda dan perlindungan kepada anda sebagai peserta terhadap kecederaan maut.

Anda boleh menyertai takaful empunya rumah atau takaful isi rumah atau kedua-duanya sekali. Takaful Gadai Janji (MRTA)

Apabila anda mengambil pembiayaan untuk membeli rumah kediaman, institusi kewangan yang membiayai pembelian tersebut akan menghendaki anda untuk menyertai takaful empunya rumah serta takaful gadai janji. Takaful gadai janji ialah pelan takaful keluarga yang akan menyelesaikan baki pembiayaan perumahan anda sekiranya anda meninggal dunia atau anda mengalami hilang upaya kekal. Apabila pembiayaan perumahan telah ditebus, kediaman tersebut akan ditukar milik kepada anda atau waris anda.

Anda hanya perlu mencarum sekali sahaja bagi takaful gadai janji apabila mengambil pembiayaan perumahan. Kadar caruman akan bergantung kepada umur anda, jumlah pembiayaan, kadar keuntungan dan tempoh pembiayaan tersebut.

Sekiranya anda menjual rumah tersebut atau membuat penebusan awal pembiayaan perumahan anda, maka anda layak mendapat bayaran balik caruman takaful secara pro rata ke atas tempoh takaful yang belum lupus.

Konsep takaful dalam takaful empunya rumah / isi rumah

Apabila anda menyertai takaful empunya rumah / isi rumah, anda akan mencarum sejumlah wang ke dalam dana takaful am dalam bentuk caruman penyertaan (tabarru’). Anda akan memeterai perjanjian (akad) bagi membolehkan anda menjadi salah seorang peserta yang bersetuju untuk saling membantu antara satu sama lain, sekiranya salah seorang peserta menanggung kerugian atau kerosakan terhadap rumah kediaman atau kandungan rumah kediaman beliau.

Pada tempoh matang, anda layak untuk berkongsi lebihan di dalam dana takaful am sekiranya anda tidak membuat sebarang tuntutan sepanjang tempoh penyertaan. Lebihan ini akan dikongsi antara anda dan pengendali takaful di bawah konsep perkongsian lebihan mengikut nisbah yang telah dipersetujui

Contoh:-

Pengendali takaful mempunyai lebihan (L)  sebanyak RM4 juta dan jumlah caruman am (CA) ialah sebanyak RM10 juta. Jumlah caruman (C) anda pada tahun tersebut ialah RM1,000 dan lebihan yang dikongsi bersama antara pengendali takaful dan anda adalah mengikut nisbah perkongsian yang dipersetujui dari awal (NP) iaitu 50:50. Jumlah perkongsian lebihan yang akan diterima oleh anda dikira seperti berikut:-

Nisbah perkongsian lebihan

= NP : 50% x L : RM 4 juta
CA : RM 10 juta
= 20%

Jumlah lebihan yang diagihkan kepada anda

= nisbah perkongsian x C: RM1,000

= RM200

Jenis perlindungan

Perlindungan yang disediakan di bawah pelan-pelan takaful berkenaan adalah seperti berikut:-

  • Takaful empunya rumah – Perlindungan di bawah Seksyen 1 dan 3
  • Takaful isi rumah – Perlindungan di bawah Seksyen 2 dan 3
  • Takaful empunya rumah dan takaful isi rumah –

Perlindungan di bawah Seksyen 1, 2 dan 3.

Seksyen 1 : Bangunan

Seksyen ini memberi perlindungan terhadap kerugian atau kerosakan kepada bangunan akibat bencana berikut:-

  1. Kebakaran, kilat, petir dan kebakaran bawah tanah
  2. Letupan
  3. Kerosakan disebabkan oleh pesawat
  4. Kerosakan akibat impak oleh kenderaan jalan raya atau haiwan
  5. Limpahan air akibat tangki air pecah, peralatan atau paip (pengendali takaful tidak akan membayar ganti rugi bagi jumlah RM50 yang pertama)
  6. Kecurian yang melibatkan kemasukan atau keluar secara kekerasan atau ganas
  7. Hurikan, siklon, taufan atau ribut angin
  8. Gempa bumi atau letupan gunung berapi
  9. Banjir

Bagi (g), (h) dan (i), pengendali takaful tidak akan membayar kerugian bagi 1% yang pertama ke atas jumlah perlindungan atau RM200, mengikut mana yang lebih rendah.

Perlindungan boleh dipanjangkan kepada bencana berikut, tertakluk kepada caruman tambahan:

  1. Tanah mendap atau tanah runtuh
  2. Rusuhan, mogok atau kerosakan dengan niat jahat

Seksyen 2 : Kandungan

Seksyen ini secara umum memberi perlindungan terhadap kerugian atau kerosakan kandungan rumah akibat bencana-bencana yang dinyatakan di dalam Seksyen 1, termasuk barangan isi rumah dan barangan persendirian milik anda, ahli keluarga anda atau pembantu rumah.

Seksyen ini juga membayar pampasan terhadap kematian anda akibat kecederaan maut yang berpunca oleh pencuri atau kebakaran, tertakluk kepada jumlah maksimum RM10,000 atau separuh daripada jumlah perlindungan, mengikut mana yang lebih rendah.

Seksyen 3 : Luar jangkaan lain

Kehilangan sewa – Seksyen ini memberi perlindungan terhadap kehilangan sewa atau perbelanjaan tambahan yang dialami akibat kerosakan kepada bangunan oleh bencana-bencana yang dinyatakan di dalam Seksyen 1, yang menjadikan ia tidak boleh didiami. Pampasan yang dibayar akan bergantung kepada perkara-perkara berikut:-

  • Jika anda mendiami rumah tersebut, anda akan dibayar perbelanjaan yang munasabah sekiranya anda terpaksa berpindah ke sebuah hotel ketika rumah anda tidak boleh didiami; atau
  • Jika rumah anda disewakan kepada orang lain, anda akan dibayar jumlah sebenar kehilangan pendapatan sewa rumah anda sekiranya penyewa berpindah ketika rumah tersebut tidak boleh didiami.

Anda hanya akan menerima pampasan bagi tempoh bangunan tersebut tidak boleh didiami akibat kerosakan yang dilindungi. Pampasan tidak akan dibayar bagi tempoh selepas rumah tersebut telah dibaik pulih walaupun masih belum disewa oleh sesiapa. Perlindungan di bawah seksyen ini dihadkan kepada 10% daripada jumlah perlindungan.

Liabiliti awam – Seksyen ini akan membayar pampasan kepada pihak ketiga akibat kemalangan yang berlaku di rumah anda sekiranya anda disahkan bertanggungjawab terhadap kemalangan yang mengakibatkan:-

  • Kematian atau kecederaan pada tubuh badan pihak ketiga; atau
  • Kerosakan terhadap harta benda pihak ketiga.

Pihak ketiga adalah tetamu yang datang ke rumah anda, selain daripada anggota keluarga, seisi rumah atau pekerja anda. Jumlah maksimum yang boleh dibayar bagi setiap tuntutan atau tuntutan-tuntutan akibat daripada kemalangan yang sama di dalam satu tempoh takaful ialah RM50,000. Perlindungan ini hanya sah di premis-premis yang dinyatakan di dalam jadual sijil.

Berapakah jumlah perlindungan yang patut diambil?

Pastikan jumlah perlindungan yang diambil di bawah pelan takaful empunya rumah anda menggambarkan kos pembinaan semula rumah anda. Sekiranya jumlah perlindungan kurang daripada kos pembinaan semula, syarat purata akan diguna pakai apabila tuntutan dibuat. Syarat purata merupakan satu penalti untuk perlindungan terkurang bagi rumah anda. Perlindungan terkurang bermakna jumlah perlindungan yang diambil kurang daripada nilai kos pembinaan semula semasa kejadian kerosakan.

Pengendali takaful hanya akan membayar sebanyak RM 4,000 dan bukannya RM 5,000 terhadap kerugian yang dialami. Anda perlu menanggung perbezaan sebanyak RM 1,000.

Pembatalan Sijil

Anda boleh membatalkan sijil penyertaan anda dengan menghantar notis 14 hari secara bertulis kepada pengendali takaful. Dengan pembatalan tersebut, anda berhak untuk mendapat caruman yang belum luput sepanjang tempoh takaful secara pro rata.

Sijil anda akan terbatal sekiranya rumah anda telah dijual kepada individu lain. Pemilik baru rumah tersebut perlu mengambil perlindungan takaful baru.

Bagaimanakah saya boleh membuat tuntutan?

  • Maklumkan kepada pengendali takaful anda menerusi telefon dengan segera. Anda akan diminta untuk mengisi Borang Pemberitahuan Kerugian dan menghantarkannya kepada pengendali takaful. Sila beri maklumat-maklumat berikut:-
  • Tarikh, masa dan tempat kejadian;
  • Keterangan ringkas bagaimana kerugian atau kemalangan berlaku atau bila kerugian tersebut disedari (sertakan laporan polis, jika ada);
  • Maklumat mengenai penglibatan pihak ketiga (jika ada) dan tahap kecederaan atau kerugian yang dialami oleh pihak ketiga; dan
  • Keterangan ringkas mengenai kerugian dan / atau kerosakan.
  • Buat laporan polis dengan segera, terutama jika anda mengesyaki kecurian atau kerosakan dengan niat jahat;
  • Ambil langkah sewajarnya untuk melindungi rumah anda daripada mengalami kerosakan yang lebih teruk dan simpan barangan yang rosak untuk diperiksa oleh pengendali takaful;
  • Jika pihak ketiga membuat tuntutan bertulis terhadap anda, tuntutan tersebut perlu dihantar segera kepada pengendali takaful untuk tindakan selanjutnya.

Penyelesaian tuntutan

Jumlah pampasan yang anda terima bergantung kepada asas perlindungan:

  • Asas Gantian (lama diganti dengan yang lama) – Pembayaran akan dibuat ke atas kos membaik pulih bangunan yang rosak ditolak dengan kegunaan biasa atau susut nilai; atau
  • Asas nilai pengembalian semula (lama diganti dengan yang baru) – Pembayaran penuh akan dibuat ke atas kos membaik pulih bangunan yang rosak tanpa ditolak kegunaan biasa atau susut nilai, tertakluk kepada jumlah yang dilindungi mencukupi untuk menampung kos pengembalian semula bangunan tersebut.

Pengendali takaful mempunyai pilihan untuk menyelesaikan tuntutan bagi kerugian separa (kerosakan yang boleh dibaik pulih) atas dasar berikut:-

  • Bayaran kos baik pulih;
  • Bayaran tunai terhadap kerugian atau kerosakan; atau
  • Pengembalian semula atau penggantian harta yang rugi atau rosak.

Jika berlaku kerugian menyeluruh (kerosakan yang teruk sehingga menjadikan kediaman berkenaan tidak ekonomi untuk dibaik pulih), pengendali takaful akan membayar sama ada:

  • Kos pembinaan semula; atau
  • Jumlah perlindungan, mengikut mana yang lebih rendah.

Melainkan jika dinyatakan sebaliknya di dalam sijil, perlindungan biasanya adalah berdasarkan asas indemniti. Jika anda inginkan perlindungan pengembalian semula, sijil anda perlu mengandungi klausa yang berkaitan.

Perkara yang perlu dan mesti diberi perhatian

Apabila memohon untuk menyertai pelan takaful

Selepas kerugian atau kerosakan

Sumber : infoinsurans/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 22/Februari 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button