Pelan PelaburanPelan PerlindunganPenggunaPerancangan Kewangan

Takaful Berkaitan Pelaburan

Apakah takaful berkaitan pelaburan?

Ia merupakan pelan takaful keluarga yang menggabungkan pelaburan dan perlindungan takaful. Caruman anda akan memberi perlindungan takaful, termasuk manfaat kematian dan kehilangan upaya. Sebahagian daripada caruman akan dilaburkan dalam pelbagai dana pelaburan pilihan anda yang dibenarkan oleh Syariah.

Konsep takaful dalam takaful berkaitan pelaburan

Dalam takaful berkaitan pelaburan, sebahagian daripada caruman anda akan diagihkan kepada dana takaful dalam bentuk caruman penyertaan (tabbarru’), dan sebahagian lagi akan digunakan bagi membeli unit berkaitan pelaburan.

Jenis-jenis takaful berkaitan pelaburan

Pelan Caruman Tunggal

  • Bayaran premium tunggal secara sekali gus.
  • Jumlah perlindungan biasanya adalah peratusan daripada caruman tunggal.
  • Bayaran manfaat adalah jumlah perlindungan dan nilai unit berkaitan pelaburan.

Pelan Caruman Berkala

  • Bayaran caruman dibuat secara bulanan, suku tahunan, separuh tahunan atau tahunan
  • Jumlah perlindungan biasanya adalah gandaan caruman tahunan
  • Bayaran manfaat adalah jumlah perlindungan dan nilai unit berkaitan pelaburan

Ciri unik takaful berkaitan pelaburan

Takaful berkaitan pelaburan mempunyai ciri-ciri unik seperti berikut: –

  • Anda diberi kelonggaran untuk memilih tahap perlindungan dan pelaburan.
  • Anda boleh mengubah jumlah caruman mengikut perubahan kedudukan kewangan anda.
  • Anda boleh menukar dana pelaburan yang sedia ada kepada dana pelaburan yang lain.
  • Anda boleh menebus sebahagian daripada unit berkaitan pelaburan anda pada bila-bila masa.
  • Anda boleh memilih untuk melabur dalam pelbagai jenis dana pelaburan (ekuiti, bon atau instrumen kewangan lain.)

Penebusan unit berkaitan pelaburan

Anda mempunyai pilihan untuk menjual unit berkaitan pelaburan anda secara: –

  1. Pengeluaran separa
    Permohonan boleh dibuat dengan mengisi Borang Pengeluaran Separa menyatakan opsyen berikut:

    • Bilangan unit yang ingin anda jual; atau
    • Nilai tunai yang anda perlukan.
  2. Penyerahan
    Anda perlu mengisi Borang Penyerahan jika berhajat menjual semua unit berkaitan pelaburan anda. Nilai seunit berkaitan pelaburan adalah berdasarkan harga seperti yang dinyatakan dalam sijil.

Pertimbangan penting untuk memilih pelan yang betul

a) Perlindungan takaful

Caruman anda biasanya memberi perlindungan takaful daripada kematian dan hilang upaya. Dengan caruman tambahan, anda boleh meluaskan perlindungan asas bagi merangkumi kemalangan diri dan penyakit kritikal.

b) Pilihan dana pelaburan

Anda diberi pilihan melabur dalam pelbagai dana pelaburan. Harga unit berkaitan pelaburan berubah mengikut nilai semasa dana pelaburan. Adalah penting bagi anda memilih dana pelaburan yang menggambarkan tahap risiko yang mampu anda ambil, kerana anda akan menanggung sepenuhnya risiko pelaburan itu.

c) Fi dan caj

Pengendali takaful mungkin akan mengenakan fi dan caj bagi perkhidmatan yang diberikan, seperti fi pengurusan dana, caj perkhidmatan dan penyerahan. Fi pengurusan dana dikenakan secara tahunan dan dikira sebagai peratusan daripada nilai dana pelaburan. Caj perkhidmatan adalah bagi menampung kos pentadbiran takaful berkaitan pelaburan anda. Caj penyerahan akan hanya dikenakan jika pelan diserahkan sebelum tempoh matang tamat.

d) Alihan dana

Sekiranya anda merasakan bahawa anda telah tersalah dalam membuat pilihan atau anda ingin menukar profil portfolio pelaburan anda, anda dibenarkan untuk menukar unit anda daripada satu dana pelaburan kepada dana yang lain.

e) Nilai tunai terkumpul

Caruman berkala takaful berkaitan pelaburan mungkin tidak mengumpul nilai tunai yang mencukupi pada peringkat awal sijil. Ini bermakna sekiranya sijil ditamatkan para peringkat awal, anda mungkin tidak akan mendapat balik sebarang nilai pelaburan.

Harga bida dan harga tawaran

Anda akan diberikan dua harga: harga tawaran untuk unit jualan dan harga bida untuk pembelian balik, sama seperti unit amanah. Perbezaan antara harga tawaran dan harga bida dipanggil “spread” bida/tawaran dan ia biasanya dinyatakan sebagai peratusan daripada harga tawaran, biasanya sekitar 5%.

Tempoh bertenang

Terdapat 15 hari tempoh membuat keputusan bagi membolehkan anda memikirkan sama ada mahu meneruskan dengan pelan takaful berkaitan pelaburan itu selepas anda menandatanganinya. Sekiranya anda bercadang untuk membatalkan pelan dalam tempoh tersebut, pengendali takaful akan memulangkan unit pelaburan dan caruman tabarru’ selepas ditolak fi perubatan dan kos pengunderaitan dalam penaksiran risiko. Nilai unit berkaitan pelaburan yang dipulangkan adalah berdasarkan harga seperti yang dinyatakan dalam sijil.

Penyata tahunan

Anda seharusnya menerima sekurang-kurangnya satu penyata tahunan mengenai status takaful berkaitan pelaburan anda, yang menunjukkan semua urus niaga atau caj dalam tempoh tersebut.

Perkara yang perlu anda ingat

  • Sebelum anda melaburkan wang dalam takaful berkaitan pelaburan, fikirkan tentang risiko yang sanggup anda ambil dan pastikan anda benarbenar memahami risiko yang terlibat dan bersedia membiarkan wang anda terikat untuk tempoh tertentu.
  • Anda boleh mendapatkan nasihat profesional daripada pengendali takaful atau ejen anda mengenai risiko dan manfaat sesuatu pelan takaful berkaitan pelaburan.
  • Baca dengan teliti semua maklumat yang disediakan.

Bagaimana saya membuat tuntutan?

Pengendali takaful akan membayar tuntutan kepada anda atau penama anda, tertakluk kepada terma dan syarat takaful berkaitan pelaburan anda. Apabila membuat tuntutan:

  • Maklumkan pengendali takaful anda dengan segera.
  • Bagi tuntutan pelan takaful yang telah matang, anda dikehendaki melampirkan sijil asal takaful berkaitan pelaburan. Anda akan menerima nilai unit berkaitan pelaburan seperti yang dinyatakan dalam sijil.
  • Bagi tuntutan hilang upaya, anda dikehendaki melampirkan sijil asal takaful berkaitan pelaburan dan laporan doktor.
  • Bagi tuntutan kematian, penama anda dikehendaki melampirkan dokumen berikut: –
    • Sijil kematian yang disahkan;
    • Salinan kad pengenalan si mati;
    • Sijil asal takaful berkaitan pelaburan;
    • Bukti hubungan antara orang yang membuat tuntutan dengan si mati; dan
    • Dokumen-dokumen lain seperti yang diminta oleh pengendali takaful.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 32/Disember 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button