Pelan Penyimpanan

Tabung Untuk Golongan Muda

Menyimpan wang memang memerlukan usaha, disiplin dan teknik yang betul agar anda tidak cepat bosan. Jom kenali beberapa jenis tabung yang boleh dipraktikkan oleh golongan muda hari ini.

Tabung Duit Syiling

Tiap kali balik kerja, semua syiling yang bertimbun itu anda masukkan dalam tabung syiling di rumah. Anda juga boleh menyimpan dalam tabung anak-anak sebagai galakan untuk menyemai tabiat menyimpan anak anda.

Tabung Hijau

Setiap kali anda mendapat wang berwarna hijau (RM5), asingkan wang tersebut. Apabila sampai di rumah, masukkan dalam tabung warna hijau. Anda akan berasa seronok apabila melihat tabung itu penuh dengan wang berwarna hijau.

Tabung 10% Gaji

Lakukan secara konsisten setiap kali menerima gaji. Walau apapun kesulitan kewangan yang anda alami, jangan gunakan wang ini. Anda boleh meningkatkan jumlah simpanan ini apabila pendapatan anda bertambah, iaitu kepada 20% atau 30%.

Tabung Oren

Bila anda dapat mendisiplin diri dengan tabiat menyimpan, anda boleh meningkatkan jumlah simpanan, iaitu menyimpan pula wang berwarna oren (RM20). Tentu anda akan teruja apabila membuka tabung tersebut yang dipenuhi dengan berwarna  oren.

Tabung Umrah

Anda boleh menyimpan RM150 secara konsisten setiap bulan. Dengan unjuran dividen sekurang-kurangnya 5% setahun, dalam tempoh 5 tahun, anda mempunyai wang sebanyak RM10,000. Wang tersebut mencukupi untuk anda pergi menunaikan umrah. Jika anda menyimpan RM300 pula, anda boleh pergi bersama isteri anda.

Tabung Kecemasan

Tabung kecemasan yang menyamai tiga bulan gaji perlu anda sediakan sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kecemasan, seperti anda diberhentikan kerja. Selepas anda berjaya menyimpan sejumlah tersebut, anda boleh menaikkan jumlah tabung kecemasan yang bersamaan enam bulan gaji pula.

Tabung Rumah

Jika anda ingin membeli rumah, anda sekurang-kurangnya mempunyai 10% daripada harga rumah sebagai wang pendahuluan, yuran guaman dan lain-lain. Jika anda ingin membeli rumah berharga RM100,000, maka anda perlu mempunyai RM10,000. Mulakan tabungan untuk mendapatkan wang berjumlah RM10,000 tersebut.

Tabung Kahwin

Tabung kahwin ini penting untk mengelak diri anda daripada mengambil pinjaman peribadi untuk melangsungkan perkahwinan. Anda boleh memulakan tabung ini walaupun anda belum ada calon yang sesuai. Kedua-dua pasangan lelaki dan perempuan perlu mempunyai tabung ini.

Tabung Keriangan

Anda mungkin ingin memberikan hadiah untuk diri anda sendiri. Tidak salah jika anda merancangnya dengan baik. Jika anda menabung sebanyak RM100 sebulan, maka dalam tempoh setahun, anda telah mempunyai sebanyak RM1,200 yang boleh digunakan untuk melancong dan berhibur.

Kesimpulannya, anda sahaja yang boleh mengawal tabung anda sendiri. Jangan selalu sangat ungkapkan kata ini, “Duit tidak cukup macam mana nak simpan?”.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 91/November 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button