Skip to toolbar
Pelan PewarisanWasiat

Sudahkah Anda Menulis Wasiat?

Ramai dalam kalangan anda tentu menganggap menulis wasiat adalah perkara yang tidak begitu penting dalam menguruskan perancangan masa hadapan. Maka, tidak hairanlah dilaporkan ramai orang Melayu tidak membuat persiapan menulis wasiat kerana beranggapan urusan harta diletakkan di bawah hukum faraid (pembahagian harta menurut Islam) sahaja. Penulisan wasiat seharusnya perlu dilakukan sekarang, iaitu semasa hayat anda masih ada dan semasa tubuh anda masih sihat.

Ada pula yang mendakwa bahawa mereka tidak mempunyai harta yang hendak diwasiatkan. Sebagai seorang yang bertanggungjawab dan selagi anda mempunyai hutang, anda mestilah menyediakan satu penulisan berbentuk pesanan untuk waris anda menjelaskan hutang yang bakal ditinggalkan.

Apakah Wasiat?

Wasiat merupakan dokumen penyelesaian pusaka berbentuk arahan kepada Wasi (penama) untuk menyempurnakan segala hasrat pewasiat, termasuklah melaksanakan segala strategi perancangan dan pengagihan harta selepas kematian.

Syarat-syarat

Wasiat Islam

  • Pembahagian harta boleh dibuat dengan wasiat kepada bukan waris dan ahli waris yang terlindung daripada menerima harta pusaka melalui faraid.
  • Hanya satu pertiga (1/3) daripada baki harta selepas ditolak segala hutang yang masih belum diselesaikan boleh diwasiatkan. Dua pertiga (2/3) daripada harta pewasiat adalah merupakan hak ahli waris menurut Hukum Faraid.
  • Pewasiat boleh mewasiatkan hartanya melebihi satu pertiga (1/3) sekiranya semua ahli waris bersetuju dengan pembahagian tersebut selepas kematian pewasiat.
  • Pewasiat juga boleh mewasiatkan hartanya kepada ahli waris yang layak menerima faraid sekiranya dipersetujui oleh ahli-ahli waris yang lain selepas kematian pewasiat.

Wasiat Bukan Islam

  • Pembahagian harta pusaka boleh dibuat melalui wasiat mengikut hasrat dan keinginan pewasiat kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki. Ini adalah tertakluk kepada Akta Wasiat 1959.
  • Tanpa dokumen Wasiat, harta pusaka akan dibahagikan mengikut Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan Akta Pembahagian 1958.

Berikut adalah perkara-perkara penting yang perlu anda ketahui untuk menulis wasiat:-

Kelayakan Pewasiat (Musi)

  • Berumur lebih 18 tahun;
  • Sempurna akal;
  • Sukarela dan tidak dipaksa;
  • Tidak dihalang mengurus hartanya; dan
  • Jika pewasiat sedang sakit, dia hendaklah waras fikiran, baik ingatan dan memahami wasiat yang dibuat.

Syarat Penerima Wasiat (Musolahu)

Penerima wasiat hendaklah orang atau kumpulan orang yang:-

  • Wujud dan dikenali;
  • Mempunyai kelayakan memiliki harta yang diwasiatkan menurut mana-mana undang-undang bertulis;
  • Boleh menerima harta yang diwasiatkan menurut Hukum Syarak; dan
  • Jika ditentukan, dia hendaklah wujud semasa wasiat dibuat, dan jika tidak ditentukan, penerima wasiat tidak perlu wujud sama ada ketika wasiat itu dibuat atau ketika musi meninggal dunia.

Harta Yang Boleh Diwasiatkan

  • Harta alih seperti kenderaan, wang tunai, wang simpanan, barang kemas, saham, insurans, dan lain-lain.
  • Harta tak alih seperti rumah, tanah, bangunan dan lain-lain.

Galakan Berwasiat

  • Orang yang berharta
  • Orang yang lanjut usia
  • Orang yang tidak berkahwin
  • Orang yang mempunyai anak angkat
  • Orang yang berhutang
  • Orang yang tiada waris
  • Muallaf

Mengapa Wasiat itu penting

Berwasiat merupakan suatu tindakan mulia untuk menzahirkan keinginan pewasiat terhadap pembahagian harta yang dikumpul semasa hidup. Perwarisan harta yang dirancang melalui wasiat dapat diagihkan untuk tujuan kebajikan dan kepada keluarga yang tersayang selepas kematian.

Faedah Penulisan Wasiat

  • Pelantikan wasi melalui dokumen wasiat akan memudahkan pengurusan dan pentadbiran harta pusaka selepas kematian.
  • Dapat menzahirkan hasrat pengagihan harta untuk tujuan kebajikan dan keluarga tersayang.
  • Menjamin masa depan insan yang anda sayangi dengan pembahagian yang dihasratkan.
  • Pelantikan penjaga yang dipercayai melalui wasiat akan menjamin kebajikan anak-anak di bawah umur selepas kematian anda.
  • Mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh waris-waris yang ditinggalkan.

Ciri-ciri Wasiat Islam

Terdapat beberapa ciri dan prinsip wasiat Islam yang perlu dipatuhi:

  1. Harta yang hendak diwasiatkan mestilah tidak lebih daripada sepertiga (1/3) daripada harta pusaka bersih, kecuali mendapat persetujuan daripada ahli-ahli waris.
  2. Penerimanya hendaklah bukan waris, iaitu mereka yang tiada hak faraid atas pusaka si mati, kecuali mendapat persetujuan daripada ahli-ahli waris yang lain.
  3. Jika penerima wasiat meninggal dunia semasa hayat pewasiat, maka wasiat tersebut adalah terbatal.
  4. Jika penerima wasiat meninggal dunia selepas menerima wasiat dan selepas kematian pewasiat, maka haknya boleh diwarisi oleh waris penerima.
  5. Selepas kematian pewasiat, perlu ditolak dahulu kos perbelanjaan pengkebumian dan pembayaran hutang si mati.
  6. Wasiat boleh ditarik balik pada bila-bila masa kerana ia hanya berkuat kuasa selepas kematian pewasiat dan wasiat tersebut perlulah dibuat secara sukarela.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 27/Julai 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button