Pengurusan Hutang

Strategi Menangani Bebanan Hutang

Setiap orang mempunyai alasan tersendiri mengapa mereka berhutang. Ada yang berhutang untuk tujuan peribadi. Ada pula yang berhutang untuk tujuan perniagaan. Sesetengah orang pula berhutang kerana terdesak.

Pengurusan hutang adalah satu aktiviti yang agak rumit dan memerlukan individu untuk mempunyai ilmu yang agak mendalam, terutamanya daripada segi pengurusan kewangan peribadi. Malangnya, tidak ramai orang yang mendalami dan menjadi pakar tentang ilmu pengurusan kewangan peribadi di negara ini.

Ramai sedia maklum tujuan mereka berhutang. Walau bagaimanapun, tidak ramai yang boleh membuat penilaian sama ada hutang yang mereka ambil itu ialah hutang perlu atau sebaliknya. Amat penting untuk mengetahui jenis-jenis hutang dan sebab berhutang supaya peminjam menjadi lebih fokus sewaktu menangani bebanan hutang kelak.

Berikut adalah antara sebab utama seseorang berhutang dan jenis hutang tersebut:

Berhutang untuk mendapatkan barang-barang keperluan

Lazimnya, individu berhutang untuk membeli atau membina rumah kediaman atau membeli kenderaan yang menjadi keperluan pada zaman sekarang. Hutang jenis ini selalunya berlaku sekali dalam hidup seseorang. Hutang ini tergolong dalam kelompok hutang yang bersandarkan aset. Tempoh pembayaran yang panjang dan kadar faedah agak berpatutan bergantung pada keadaan ekonomi tempatan dan dunia.

Berhutang untuk memenuhi kehendak dan keinginan

Terdapat pula golongan yang berhutang untuk memenuhi kehendak dan keinginan mereka sehingga berbelanja di luar kemampuan kewangan. Hal ini berlaku kerana mereka gagal mengawal keinginan diri demi untuk menjaga reputasi, seperti membeli pakaian berjenama mahal dan sebagainya, yang akan membebankan mereka dengan masalah hutang.

Kebiasaan golongan ini berhutang dengan menggunakan kad kredit kerana barang-barang yang dibeli bukanlah aset yang diterima oleh bank sebagai cagaran. Hutang yang tidak bersandarkan aset selalunya dikenakan kadar faedah yang tinggi oleh pihak bank kerana ia dianggap sebagai hutang berisiko tinggi. Tempoh bayaran bergantung kepada jumlah wang yang dibayar. Jika bayaran yang dibuat adalah jumlah minimum, individu tersebut akan mengambil masa yang lama untuk menjelaskan hutang kad kredit berkenaan.

Berhutang untuk membuat pelaburan

Golongan yang berhutang untuk membuat pelaburan biasanya terdiri daripada mereka yang mempunyai ilmu yang mendalam tentang pengurusan kewangan peribadi atau mereka yang terlibat dalam bidang perniagaan secara persendirian.

Asas utama yang perlu dipertimbangkan apabila berhutang untuk membuat pelaburan ialah kadar faedah yang dikenakan oleh pemberi hutang. Kadar faedah yang dikenakan atas hutang tersebut mestilah lebih rendah daripada untung yang akan diperoleh daripada pelaburan. Jika sebaliknya, pada akhir pelaburan, pelabur bukan sahaja tidak mendapat untung tetapi dibebani pula dengan hutang yang melambung.

Berhutang kerana tuntutan semasa kecemasan

Bukan semua orang suka berhutang. Terdapat juga segelintir golongan yang bijak menguruskan kewangan peribadi mereka. Mereka mempunyai disiplin yang tinggi dan mengamalkan sikap berbelanja mengikut kemampuan sendiri. Jika mereka ingin membeli sesuatu barang, mereka akan mengumpul wang terlebih dahulu. Golongan ini mempunyai tahap kesabaran yang tinggi untuk menunggu sehingga wang yang dikumpul mencukupi untuk membeli barang yang mereka perlukan. Walau bagaimanapun, bak kata pepatah melayu ‘malang tidak berbau’. Dalam keadaan kecemasan seperti ditimpa kemalangan, kenderaan rosak dan sebagainya, seseorang mungkin terpaksa berhutang sebagai jalan penyelesaian untuk keluar daripada masalah yang dihadapi tersebut.

Dalam keadaan ini, anda mungkin bernasib baik jika dapat meminjam wang daripada kawan atau saudara. Sesetengah orang pula terpaksa meminjam daripada pihak bank dan sebagainya. Kebiasaannya, kad kredit menjadi pilihan utama untuk berhutang bagi menyelesaikan masalah perbelanjaan yang tidak direncanakan, seperti apabila berlaku kemalangan atau kecemasan yang lain.

Langkah untuk menangani beban hutang

Hutang selalunya dianggap sebagai beban. Namun bagi segelintir orang, hutang juga boleh digunakan sebagai peluang dan memberi kemudahan serta langkah untuk memberi keuntungan. Walau apapun pandangan anda terhadap hutang, ia perlu diuruskan secara fokus dan teratur.

Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah berhenti daripada menambah hutang baharu, terutama hutang yang melibatkan kad kredit. Seterusnya, anda perlu mendalami ilmu dan selok-belok tentang jenisjenis hutang anda. Anda perlu menganalisis dan mengira jumlah faedah yang perlu anda bayar untuk menjelaskan hutang tersebut. Lumrahnya, hutang yang dikenakan kadar faedah yang paling tinggi, seperti hutang kad kredit, adalah hutang yang akan paling membebankan anda.

Anda perlu mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan hutang kad kredit dengan membayar lebih daripada bayaran minimum yang dikenakan dan dalam tempoh yang lebih singkat. Jangan sekalikali membayar lewat kerana anda akan dikenakan caj bayaran yang akan memburukkan lagi keadaan. Disiplinkan diri untuk membayar hutang pada atau sebelum tarikh yang ditetapkan.

Jika anda mempunyai wang yang lebih, seperti mendapat bonus, gunakan wang tersebut untuk melangsaikan hutang. Dengan cara ini, anda akan dapat mengurangkan jumlah baki pinjaman. Apabila jumlah baki pinjaman rendah, jumlah bayaran untuk faedah juga turut berkurangan. Dengan ini, anda akan dapat melunaskan hutang dalam masa yang lebih singkat daripada tempoh asal. Jika anda mempunyai wang simpanan yang boleh digunakan untuk melangsaikan hutang, gunakan cara ini.

Anda juga perlu rajin mencari maklumat mengenai cara untuk mengurangkan faedah yang dikenakan ke atas hutang anda. Terdapat produk di pasaran yang menawarkan pindahan baki hutang kad kredit daripada bank pengeluar kad kredit ke bank yang lain tanpa mengenakan sebarang faedah. Ini akan memberi penjimatan yang sewajarnya kepada anda dan wang yang telah dijimatkan tersebut bolehlah digunakan untuk membayar faedah pinjaman dan seterusnya mengurangkan baki pokok hutang anda.

Anda mesti berbelanja dengan sebaik-baiknya. Membeli sesuatu mengikut kemampuan dan tidak berbelanja melebihi kemampuan diri, seperti membeli kasut berjenama yang tidak ditawarkan diskaun harga. Memadai jika anda mempunyai kasut yang selesa untuk dipakai ke tempat kerja.

Di samping itu, setiap perbelanjaan yang dilakukan mestilah dengan perancangan yang teliti. Anda digalakkan untuk membeli barang yang diperlukan sahaja dan bukan membeli barang yang anda suka. Pembaziran seperti ini akan menyebabkan anda berhutang untuk memenuhi nafsu berbelanja yang tinggi. Tambahan lagi, apabila tiba musim gaji, perkara pertama yang perlu dilakukan sebaik mendapat gaji bulanan ialah membayar hutang dan bil-bil bulanan. Selepas membayar hutang, perbelanjaan barang keperluan perlu dibuat dengan sebaiknya bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.

Jangan belanjakan semua wang gaji yang diterima. Anda perlu membuat simpanan untuk kegunaan pada masa hadapan atau pada waktu kecemasan kerana kita perlu sentiasa bersedia menghadapi waktu tersebut bila-bila masa sahaja. Setidak-tidaknya, kita boleh mengeluarkan simpanan untuk kegunaan masa kecemasan dan bukan berhutang dengan pihak lain pula. Cara terbaik ialah memperuntukkan sebahagian daripada gaji terlebih dahulu sebagai simpanan.

Jika segala usaha untuk menangani bebanan hutang tidak membuahkan hasil dan anda menemui jalan buntu, masih ada lagi satu cara sebagai alternatif. Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) boleh membantu anda menguruskan hutang dengan lebih berdisiplin dan teratur. Maklumat mengenai AKPK boleh dilayari di www.akpk.org.my

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 98/Jun 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button