Pelan PerlindunganPengguna

Soalan Lazim Tentang Takaful Keluarga

Takaful ialah satu skim insurans berlandaskan prinsip Islam iaitu saling menjamin, apabila sekumpulan peserta bersetuju untuk saling menjamin sesame mereka terhadap kerugian tertentu. Sekiranya anda menyertai skim takaful, anda bersetuju menderma sebahagian daripada caruman ke dalam kumpulan wang takaful bagi membantu mana-mana peserta kumpulan yang mengalami mana-mana kerugian tertentu.

Bergantung pada terma dalam sijil takaful, seseorang peserta juga boleh berkongsi lebihan kumpulan wang takaful sekiranya beliau tidak pernah membuat tuntutan sepanjang tempoh takaful. Anda boleh membeli jenis takaful yang berbeza untuk melindungi harta benda, nyawa, kesihatan dan persaraan anda. Terdapat pelbagai jenis produk yang boleh memenuhi keperluan anda. Jenis takaful yang biasa didapati ialah takaful keluarga, takaful motor, takaful empunya/isi rumah, takaful berkaitan pelaburan, takaful perubatan dan kesihatan serta takaful kemalangan diri.

Berikut adalah soalan lazim tentang takaful keluarga:

  1. Adakah takaful keluarga hanya dikhaskan untuk orang Islam sahaja?

Tidak, takaful keluarga terbuka kepada semua individu, tidak kira agama yang dianuti. Tidak ada sebarang penambahan daripada segi terma dan syarat yang akan dikenakan kepada peserta bukan Islam.

  1. Apakah Akaun Peserta?

Akaun Peserta (AP) ialah akaun pelaburan bagi sebahagian daripada ansuran caruman takaful anda yang telah dikreditkan untuk tujuan simpanan dan pelaburan.

  1. Apakah Akaun Khas Peserta?

Akaun Khas Peserta (AKP) ialah baki daripada ansuran caruman takaful anda yang dikreditkan sebagai caruman penyertaan (tabarru’) bagi tujuan pembayaran manfaat takaful kepada mana-mana peserta yang menghadapi musibah disebabkan oleh kematian atau hilang upaya kekal.

  1. Apakah rider atau manfaat tambahan?

Rider atau manfaat tambahan memberi perlindungan tambahan daripada takaful keluarga asas, seperti manfaat hospital dan pembedahan.

  1. Apakah rider kematian akibat kemalangan?

Rider kematian akibat kemalangan ialah perlindungan yang memberikan manfaat kematian dua kali ganda daripada jumlah perlindungan sekiranya kematian disebabkan oleh kemalangan. Contohnya, jika jumlah perlindungan untuk pelan asas ialah RM10,000, dengan rider ini, waris anda akan menerima sejumlah RM20,000 jika anda meninggal dunia akibat kemalangan.

  1. Bagaimanakah caranya untuk saya membuat caruman takaful?

Anda boleh memilih untuk membuat ansuran caruman takaful secara bulanan, suku-tahunan, separuh-tahunan atau tahunan. Anda boleh membuat pembayaran melalui arahan tetap bank, potongan gaji atau di mana-mana cawangan pengendali takaful anda.

  1. Apakah hilang upaya kekal?

Hilang upaya kekal ialah hilang upaya sama ada akibat kecederaan badan atau penyakit yang menyebabkan anda tidak berupaya langsung untuk melakukan sebarang kerja.

  1. Adakah saya layak untuk mendapat pelepasan cukai perseorangan jika saya menyertai takaful keluarga?

Apabila anda menyertai takaful keluarga, anda layak untuk mendapat pelepasan cukai perseorangan seperti insurans nyawa. Amaun maksimum bagi pelepasan takaful keluarga biasa ialah RM6,000 setahun setelah ditolak caruman yang dibayar kepada faedah skim persaraan, seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Pengendali takaful anda akan mengeluarkan penyata caruman tahunan bagi menyokong penyata cukai pendapatan anda kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

“Terdapat pelbagai jenis produk yang boleh memenuhi keperluan anda. Jenis takaful yang biasa didapati ialah takaful keluarga, takaful motor, takaful empunya/isi rumah, takaful berkaitan pelaburan, takaful perubatan dan kesihatan, takaful kemalangan diri.”

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 33/Januari 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button