PenggunaPengurusan HutangPengurusan Kewangan

Soalan Lazim Mengenai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) (Bahagian 2)

Dari manakah Biro Kredit Bank Negara Malaysia (Biro Kredit) mendapatkan maklumat?

Biro Kredit mendapatkan maklumat daripada institusi kewangan yang menyertai CCRIS, iaitu semua bank perdagangan, bank Islam, bank pelaburan, institusi kewangan pembangunan, sebahagian syarikat insurans, pengeluar instrumen pembayaran, institusi pemulihan berlesen da

Apakah maklumat yang dilaporkan oleh institusi kewangan kepada Biro Kredit?

Institusi kewangan melaporkan data pengenalan diri peminjam yang penting (seperti nama, nombor pengenalan diri dan tarikh lahir) dan melaporkan maklumat berkaitan pinjaman yang dikeluarkan kepada peminjam (seperti jenis kemudahan kredit, pengendalian akaun dan had kredit).

Apakah jenis kemudahan kredit yang dilaporkan oleh institusi kewangan kepada Biro Kredit?

Institusi kewangan dikehendaki melaporkan semua jenis kemudahan kredit yang diberikan kepada peminjam, termasuk kad kredit, overdraf, kemudahan perdagangan, pinjaman perumahan dan sebagainya.

Bolehkah saya mendapatkan maklumat tentang sejarah pinjaman saya daripada CCRIS?

Laporan kredit hanya menunjukkan pinjaman belum berbayar atau akaun yang masih aktif serta permohonan kredit sepanjang 12 bulan terakhir.

Pada masa ini, saya mempunyai kad kredit daripada institusi kewangan. Adakah kemudahan kad kredit dilaporkan dalam CCRIS?

Ya. Maklumat kad kredit turut dilaporkan dalam CCRIS.

Saya mempunyai akaun semasa dengan sebuah institusi kewangan, adakah maklumat ini dilaporkan dalam CCRIS?

Institusi kewangan tidak dikehendaki dan tidak seharusnya melaporkan sebarang maklumat akaun semasa dalam CCRIS. Walau bagaimanapun, sekiranya anda mempunyai kemudahan overdraf bersama-sama dengan akaun semasa tersebut, maklumat berkaitan kemudahan overdraf berkenaan akan dilaporkan dalam CCRIS.

Saya mempunyai akaun semasa tanpa kemudahan overdraf, tetapi saya dimaklumkan oleh sebuah institusi kewangan bahawa saya mempunyai kemudahan tersebut. Bagaimanakah maklumat ini boleh dilaporkan kepada CCRIS?

Sebarang pengurangan sementara dalam akaun semasa (disebabkan oleh caj perkhidmatan yang dikenakan oleh institusi kewangan) akan dianggap sebagai overdraf sementara. Maklumat ini akan dilaporkan kepada CCRIS sehingga anda menyelesaikan lebihan tersebut. Sebaik sahaja anda berbuat demikian, rekod berkenaan tidak akan ditunjukkan dalam laporan kredit.

Saya dimaklumkan oleh institusi kewangan bahawa akaun kemudahan kredit saya tertunggak. Sekiranya saya menjelaskan jumlah tunggakan tersebut, adakah rekod tunggakan tersebut akan dikeluarkan daripada laporan kredit saya?

Jika anda telah selesai menjelaskan bayaran tunggakan tersebut, akaun yang kembali teratur ini akan ditunjukkan pada bulan anda membuat penyelesaian tersebut. Walau bagaimanapun, maklumat mengenai ansuran tertunggak sepanjang 12 bulan yang lalu akan dipaparkan dalam laporan kredit.

Saya mendapati bahawa satu daripada pinjaman saya dilaporkan di bawah Akaun Di Bawah Pemerhatian Khas. Apakah yang dimaksudkan dengan Akaun Di Bawah Pemerhatian Khas?

Akaun Di Bawah Pemerhatian Khas adalah akaun yang di bawah pengawasan institusi kewangan berikutan masalah tunggakan yang berpanjangan dalam pembayaran pinjaman tersebut. Peminjam perlu merujuk terus kepada pihak bank untuk mendapatkan status terkini akaun pinjaman berkenaan atau untuk membuat pembetulan sekiranya terdapat sebarang laporan yang salah atau yang tidak tepat.

KEMUDAHAN KREDIT/PERMOHONAN PEMBIAYAAN

Jika permohonan kredit saya ditolak oleh sebuah institusi kewangan, adakah institusi kewangan lain juga akan berbuat demikian?

Ia tidak semestinya begitu. Setiap institusi kewangan mempunyai dasar pinjaman yang berbeza-beza, bergantung kepada risiko yang sanggup ditanggung oleh mereka. Maklumat yang diberikan oleh Biro Kredit hanya sebahagian daripada keseluruhan proses membuat keputusan berhubung permohonan pinjaman oleh institusi kewangan. Setiap institusi kewangan mempunyai pandangan yang berbeza mengenainya.

Adakah Bank Negara Malaysia memberikan sebarang penarafan kredit terhadap pemohon kredit?

Bank Negara Malaysia tidak memberikan sebarang penarafan kredit atau pandangan mengenai kepercayaan kredit (credit worthiness) pemohon pinjaman.

Adakah Bank Negara Malaysia menetapkan keputusan pemberian kemudahan kredit oleh institusi kewangan menerusi Biro Kredit?

Tidak. Bank Negara Malaysia tidak terlibat dalam keputusan pemberian kemudahan pinjaman oleh institusi kewangan. Maklumat yang terkandung dalam CCRIS hanya salah satu sumber daripada keseluruhan proses membuat keputusan berhubung permohonan pinjaman oleh institusi kewangan dan setiap institusi kewangan mempunyai pandangan yang berbeza mengenai tahap kepercayaan kredit dan risiko seseorang pemohonnya. Pertimbangan sesuatu permohonan pinjaman adalah tertakluk kepada budi bicara dan hasil penilaian kepercayaan kredit dan risiko institusi kewangan berkenaan.

Permohonan pinjaman saya telah ditolak disebabkan rekod kredit saya yang buruk seperti ditunjukkan dalam CCRIS. Apakah yang perlu saya lakukan untuk memperbaiki kedudukan kredit saya?

Rekod kredit yang buruk mungkin disebabkan oleh tunggakan pinjaman dalam akaun di institusi kewangan yang belum dijelaskan atau pembayaran dibuat bukan pada masa yang ditetapkan. Anda dinasihati supaya berbincang mengenai skim bayaran balik dengan institusi kewangan berkenaan. Rekod kredit anda akan menunjukkan kedudukan yang lebih baik apabila akaun anda kembali teratur.

Jika permohonan kredit saya ditolak oleh institusi kewangan, adakah ini bermakna nama saya telah disenarai hitam?

Tidak. Bank Negara Malaysia tidak menyenarai hitam sesiapa kerana ia tidak memberi sebarang pandangan mengenai maklumat dalam laporan kredit. Maklumat mengenai permohonan kredit yang ditolak juga tidak ditunjukkan dalam laporan kredit untuk memastikan institusi kewangan tidak bersikap prejudis ekoran daripada keputusan oleh institusi kewangan yang lain. Semasa memproses permohonan pinjaman, sesebuah institusi kewangan akan membuat penilaian kredit terhadap peminjam. Ini mungkin melibatkan semakan latar belakang peminjam daripada pelbagai sumber, antaranya, maklumat yang dibekalkan oleh agensi rujukan kredit seperti CTOS Sdn Bhd (CTOS), Financial Information Services Sdn Bhd (FIS) dan RAM Credit Information Sdn Bhd (RAM). Maklumat daripada agensi berkenaan boleh membantu institusi kewangan dalam proses penilaian mereka. Institusi kewangan perlu menggunakan semua maklumat yang ada untuk membantu mereka membuat keputusan yang tepat dan berhemat dalam pemberian pinjaman dan pendahuluan.

MENGEMAS KINI MAKLUMAT

Jika saya menyelesaikan semua pinjaman saya sekarang, bilakah rekod laporan kredit akan dikemas kini?

Maklumat CCRIS akan dikemas kini sekurangkurangnya sekali setiap bulan, tidak lewat daripada 15 haribulan bulan berikutnya oleh institusi kewangan terbabit.

Saya telah membuat pembayaran penuh akaun kredit saya. Mengapakah Bank Negara Malaysia masih belum mengemaskinikan rekod saya?

Bank Negara Malaysia hanya mengumpul maklumat kredit daripada institusi kewangan dan tidak mengemas kini sebarang rekod. Institusi kewangan terbabit yang bertanggungjawab untuk mengemas kini rekod anda. Sekiranya anda mendapati rekod kredit tersebut masih belum dikemas kini, sila maklumkan perkara ini kepada institusi kewangan yang berkenaan.

Saya bukan lagi pemilik/rakan kongsi sebuah perniagaan, tetapi institusi kewangan masih lagi melaporkan saya sebagai pemilik perniagaan tersebut. Apakah yang perlu saya lakukan?

Sekiranya anda bukan lagi pemilik/rakan kongsi sesebuah perniagaan, anda perlu mengemas kini status pemilikan tersebut di Suruhanjaya Syarikat  Malaysia (SSM). Jika dalam perjanjian pindah milik ataupun perjanjian dengan rakan kongsi lain menyatakan bahawa apabila anda keluar daripada perniagaan tersebut, anda tidak lagi dipertanggungjawabkan kepada pinjaman tersebut, maka anda perlu memberitahu perkara ini kepada institusi kewangan yang memberikan kemudahan pinjaman kepada perniagaan tersebut untuk mengemas kini rekod mereka. Ini perlu dilakukan supaya anda tidak lagi menanggung sebarang liabiliti yang berkaitan dengan pinjaman tersebut. Sekiranya anda menjadi penjamin pinjaman perniagaan tersebut dan tiada perjanjian untuk memindahkan liabiliti, anda masih bertanggungjawab terhadap pinjaman perniagaan tersebut.

Saya adalah rakyat asing yang bekerja di Malaysia dan sedang memohon kad kredit daripada sebuah bank. Walau bagaimanapun, saya diberitahu ada individu lain yang mempunyai nombor dokumen pengenalan diri (ID) yang hampir sama dengan nombor passport saya. Oleh itu, pihak bank tidak boleh memproses permohonan kad kredit saya kerana khuatir terdapat unsur-unsur penipuan. Bagaimanakah cara untuk saya selesaikan masalah ini?

Memandangkan nombor pasport asing tidak unik, maka nombor ID yang diberi kepada seseorang rakyat Malaysia berkemungkinan sama dengan nombor pasport anda. Ini tidak bermakna terdapatnya unsur penipuan. Dalam keadaan ini, sila maklumkan kepada pegawai bank yang memproses permohonan kad kredit tersebut supaya menghubungi Bank Negara Malaysia untuk menyelesaikan perkara itu, atau anda juga boleh memberi maklumat mengenai pegawai bank tersebut kepada pihak Bank Negara Malaysia untuk tindakan susulan.

Saya telah mendapatkan laporan kredit dan terdapat satu pinjaman yang ingin saya keluarkan daripada laporan kredit tersebut kerana saya sedang mempertikaikan pinjaman tersebut dengan institusi kewangan berkenaan. Saya tidak bersetuju dengan penyelenggaraan akaun tersebut yang dilaporkan sebagai tidak berbayar selepas saya membantah caj faedah yang dikenakan terhadap pinjaman berkenaan. Bagaimanakah caranya untuk saya mengeluarkannya?

Rekod pinjaman tersebut tidak boleh dikeluarkan daripada laporan kredit kerana masih ada baki pinjaman belum berbayar dengan institusi kewangan berkenaan. Walau bagaimanapun, ini bergantung pada hasil penyelesaian pertikaian tersebut dan pihak Bank Negara Malaysia boleh memberi pilihan kepada anda untuk menamakan laporan anda dengan nama khas. Ini bermakna bahawa apabila permohonan pinjaman anda sedang diproses oleh institusi kewangan, institusi tersebut perlu mendapatkan laporan kredit anda daripada Bank Negara Malaysia.

Apabila laporan kredit anda diberikan kepada institusi kewangan terlibat, pihak Bank Negara Malaysia akan menyertakan kenyataan anda dan kronologi peristiwa yang berkaitan dengan kes yang dipertikaikan. Walau bagaimanapun, keputusan untuk meluluskan atau menolak pinjaman anda masih lagi tertakluk kepada pertimbangan institusi kewangan yang memproses pinjaman tersebut.

Saya dimaklumkan bahawa nama saya ada dalam CTOS. Bagaimanakah untuk mengemas kini rekod tersebut?

CTOS Sdn. Bhd. (CTOS) ialah agensi rujukan kredit swasta dan tidak mempunyai hubung kait dengan Bank Negara Malaysia. Anda boleh menghubungi CTOS di talian 03-27708833 untuk maklumat lanjut.

Saya telah diisytiharkan muflis beberapa tahun lalu dan telahpun menyelesaikan sepenuhnya pinjaman saya. Bolehkah Bank Negara Malaysia mengeluarkan nama saya daripada status muflis tersebut?

Tidak boleh. Anda dikehendaki berurusan terus dengan Jabatan Insolvensi di talian 03-88851000 berhubung status muflis tersebut.

Saya pernah menjamin seseorang beberapa tahun yang lalu. Individu berkenaan tidak mampu membayar balik pinjaman tersebut sehingga ia tertunggak. Bagaimanakah saya boleh mengelakkan nama saya daripada disenarai hitam?

Bank Negara Malaysia tidak mempunyai sistem senarai hitam. Menjadi penjamin ialah satu kontrak sah yang mengikat anda untuk membayar hutang peminjam sekiranya peminjam gagal berbuat demikian. Tahap tanggungan penjamin adalah seperti yang termaktub dalam dokumen jaminan dan anda akan dipertanggungjawabkan untuk liabiliti tersebut sebagaimana dinyatakan dalam terma dokumen jaminan berkenaan. Anda dinasihatkan supaya mendapatkan penjelasan daripada institusi kewangan yang berkenaan untuk menyelesaikan isu tersebut.

LAIN-LAIN

Baru-baru ini saya telah menarik diri daripada sebuah perniagaan perkongsian. Bagaimanakah caranya saya boleh mengelakkan nama saya digunakan dalam permohonan pinjaman baharu atau sebagaipenjamin kepada perniagaan yang saya bukan lagi salah seorang pemiliknya?

Anda dinasihati untuk menyemak dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi memastikan nama anda sebagai salah seorang rakan kongsi dan maklumat lain yang berkaitan telah dikemaskinikan dengan sewajarnya.

Saya menanggung hutang yang banyak dan tidak lagi mampu membayar pinjaman yang sedia ada. Saya berharap pinjaman saya dapat dijadualkan semula. Bagaimanakah Bank Negara Malaysia boleh membantu saya?

Anda boleh mendapatkan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di talian 1-800-88-2575. AKPK ialah agensi yang diwujudkan oleh Bank Negara Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan kewangan, kaunseling kredit, pendidikan kewangan dan penjadualan semula hutang untuk individu.

Di manakah boleh saya dapatkan maklumat lanjut mengenai CCRIS?

Anda boleh layari laman sesawang Biro Kredit di http://creditbureau.bnm.gov.my atau hubungi BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 19/November 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button