PenggunaPengurusan HutangPengurusan Kewangan

Soalan Lazim Mengenai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) (Bahagian 1)

Apakah CCRIS?

CCRIS ialah sistem yang mengumpul maklumat mengenai individu yang mengambil pinjaman daripada institusi kewangan dan membekalkan semula maklumat tersebut kepada institusi kewangan. Maklumat ini digunakan sebagai salah satu sumber oleh institusi kewangan untuk membentuk pandangan mengenai sejarah kredit peminjam sedia ada atau bakal peminjam mereka. CCRIS bukanlah sistem yang menyenarai hitam peminjam seperti tanggapan sesetengah pihak.

Mengapakah Bank Negara Malaysia mewujudkan CCRIS?

Salah satu fungsi Bank Negara Malaysia adalah untuk mengawal selia institusi kewangan supaya sistem kewangan negara kukuh dan stabil. Oleh itu, Bank Negara Malaysia menggalakkan dasar kredit yang berhemat dan sikap profesional dalam kalangan institusi kewangan. Ini termasuk penerapan amalan perniagaan terbaik dalam pengurusan risiko kredit. Satu daripadanya adalah dengan menyediakan CCRIS kepada institusi kewangan supaya mereka boleh membuat keputusan pemberian pinjaman berdasarkan maklumat yang mencukupi dengan lebih cepat.

Apakah Biro Kredit Bank Negara Malaysia?

Biro Kredit Bank Negara Malaysia (Biro Kredit) ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009 untuk menguruskan CCRIS.

Adakah aktiviti Biro Kredit dikawal selia?

Ya, Biro Kredit dikehendaki beroperasi berdasarkan peruntukan yang ditetapkan di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Bolehkah saya menghalang Biro Kredit daripada menyimpan maklumat tentang diri saya?

Tidak boleh. Biro Kredit diberi kuasa oleh undangundang untuk mengumpul dan menyimpan maklumat sedemikian.

MENDAPATKAN LAPORAN KREDIT

Adakah undang-undang membenarkan seseorang individu mengakses laporan kreditnya sendiri?

Ya. Akta Bank Negara Malaysia 2009 membenarkan Bank Negara Malaysia mendedahkan maklumat kredit seseorang individu kepada individu berkenaan untuk tujuan pengesahan ketepatan maklumat yang dilaporkan oleh institusi kewangan dalam laporan kredit.

Adakah institusi kewangan dibenarkan melihat laporan kredit seseorang individu yang bukan pelanggannya/bakal pelanggannya?

Tidak. Jika institusi kewangan itu mengakses laporan kredit secara tidak sah, institusi kewangan tersebut boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Institusi kewangan memaklumi saya bahawa saya mempunyai rekod laporan kredit yang buruk. Di manakah boleh saya dapatkan perincian mengenai rekod tersebut?

Ada beberapa cara anda boleh mendapatkan laporan kredit anda:

  1. Sekiranya anda tinggal di Lembah Klang, anda boleh dapatkan laporan kredit daripada Pusat Khidmat Pelanggan, Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (LINK) Bank Negara Malaysia, di Ibu Pejabat di alamat berikut:

BNMLINK
Jabatan LINK dan Pejabat Wilayah
Tingkat Bawah Blok D
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato’ Onn
50480 Kuala Lumpur

BNMLINK beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum) dari pukul 9.00 pagi – 5.00 petang (termasuk waktu makan tengah hari).

Sila bawa MyKad atau pasport (bagi bukan warganegara Malaysia) dan dokumen sokongan lain (seperti lesen memandu, dan sebagainya) yang boleh mengesahkan identiti anda. Anda akan diberikan laporan kredit semasa kunjungan tersebut.

  1. Sekiranya anda tinggal di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu atau Kuching, anda boleh dapatkan laporan kredit dari cawangan Bank Negara Malaysia di alamat berikut:

Pejabat Wilayah Pulau Pinang
Bank Negara Malaysia
No.27 Lebuh Light
10200 Pulau Pinang
Telefon : 04-262 7125 / 7126 / 7127 atau 04-262 7128 / 263 3371
Faksimile : 04-261 1223

Pejabat Wilayah Johor Bahru
Bank Negara Malaysia
Jalan Bukit Timbalan
80000 Johor Bahru, Johor
Telefon : 07-224 0799 / 224 0792 atau 07-224 0741 / 223 2798 atau 07-223 2809
Faksimile : 07-223 6931

Bank Negara Malaysia Kuala Terengganu
Jalan Sultan Mohamad
21100 Kuala Terengganu
Terengganu
Telefon : 09-622 0571 / 0634 / 0644
Faksimile : 09-622 0516

Bank Negara Malaysia Kota Kinabalu
Jalan Lapan Belas
88000 Kota Kinabalu, Sabah
Telefon : 088-211 211 / 212 / 213 / 214 atau 088-211 215 / 216
Faksimile : 088-219 464

Bank Negara Malaysia Kuching
Jalan Satok
93000 Kuching, Sarawak
Telefon : 082-252 311 / 230 969
Faksimile : 082-414 996

Cawangan Bank Negara Malaysia beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum), dari 9.00 pagi – 5.00 petang (ditutup pada waktu makan tengah hari: 1.00 tengah hari – 2.00 petang, kecuali hari Jumaat dari pukul 12.30 tengah hari – 2.30 petang).

  1. Sekiranya anda bukan dari kawasan tersebut, anda boleh memohon laporan kredit dengan melengkapkan dan menghantar kepada Bank Negara Malaysia borang permohonan laporan kredit berserta dokumen berikut:
  • Borang Permohonan Laporan Kredit (CRR);
  • Borang Perisytiharan Pinjaman; (boring boleh dimuat turun daripada http://creditbureau.bnm.gov.my)
  • Satu salinan MyKad yang jelas (depan dan belakang) / pasport (bagi bukan warganegara Malaysia); dan
  • Mana-mana dua dokumen sokongan lain berikut (dengan nama dan alamat pemohon tertera dengan jelas pada setiap salinan):
  • Lesen memandu;
  • Bil seperti bil air, bil elektrik, bil telefon, bil ASTRO, dll
  • Penyata akaun bank;
  • Penyata kad kredit; atau
  • Penyata KWSP.

Sila hantar melalui pos atau faksimile atau e-mel borang yang telah dilengkapkan berserta dokumen sokongan ke alamat berikut:

BNMTELELINK
Jabatan LINK dan Pejabat Wilayah
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato’ Onn
Peti Surat 10922
50929 Kuala Lumpur
Faksimile : 03-2174 1515
E-mel : bnmtelelink@bnm.gov.my

Sila ambil perhatian bahawa sekiranya anda datang sendiri ke BNMLINK atau mana-mana cawangan Bank Negara Malaysia atau Pejabat Wilayah Bank Negara Malaysia, anda boleh dapatkan laporan kredit ketika lawatan tersebut. Sekiranya permohonan dibuat melalui pos/facsimile, anda akan mendapat laporan kredit anda dalam masa dua minggu. Laporan tersebut akan dihantar ke institusi kewangan yang berhampiran dengan tempat tinggal anda untuk diambil.

Berapa kerapkah boleh saya dapatkan laporan kredit?

Anda boleh mendapatkan laporan kredit setiap tiga bulan sekali.

Bolehkah saya dapatkan maklumat CCRIS melalui telefon daripada Bank Negara Malaysia?

Tidak boleh. Bank Negara Malaysia tidak dibenarkan mendedahkan maklumat CCRIS melalui telefon bagi melindungi kepentingan pemilik maklumat tersebut memandangkan maklumat tersebut adalah sulit dan pengesahan tidak dapat dibuat melalui telefon.

Bolehkah saya dapatkan laporan kredit daripada bank saya?

Tidak boleh. Anda hanya boleh dapatkan laporan kredit daripada Bank Negara Malaysia.

Bolehkah saya berikan kebenaran kepada orang lain untuk mendapatkan laporan kredit saya daripada Bank Negara Malaysia?

Tidak boleh. Laporan kredit hanya akan diberikan kepada individu yang merupakan pemilik maklumat tersebut.

Seorang rakan saya perlu mendapatkan laporan kreditnya. Bolehkah saya dapatkan laporan tersebut bagi pihaknya?

Tidak boleh. Laporan kredit hanya boleh diberikan kepada individu yang berkenaan sahaja.

Saya akan menjadi penjamin untuk satu pinjaman. Bolehkah saya dapatkan salinan laporan kredit peminjam berkenaan yang saya telah/akan jamin?

Tidak boleh. Laporan kredit hanya boleh diberikan kepada individu yang berkenaan sahaja.

Saya seorang peminjam. Bolehkah saya dapatkan salinan laporan kredit penjamin saya?

Tidak boleh. Laporan kredit hanya boleh diberikan kepada individu yang berkenaan sahaja.

Bolehkah saya dapatkan laporan kredit bagi pihak ibu saya yang sedang sakit?

Boleh. Permohonan mestilah disertakan dengan Borang Permohonan Laporan Kredit yang telah dilengkapkan berserta dokumen berikut:

  • Satu salinan kad pengenalan (MyKad) pemohon;
  • Satu salinan kad pengenalan (MyKad) individu yang diberi kuasa (waris yang terdekat);
  • Surat rujukan mutakhir dan laporan perubatan yang disahkan oleh doktor dan hospital; dan
  • Satu salinan surat beranak/sijil perkahwinan waris yang terdekat sebagai bukti hubungan dengan pesakit.

Rakan saya telah kematian bapanya baru-baru ini. Bolehkah rakan saya itu mendapatkan laporan kredit bapanya?

Laporan kredit si mati hanya boleh diberikan kepada individu yang diberi kuasa secara sah untuk mentadbir harta pusaka si mati seperti yang dinamakan dalam Surat Tadbir Kuasa. Permohonan perlu dikemukakan bersama-sama dengan borang permohonan laporan kredit berserta satu (1) salinan dokumen berikut:

  • sijil kematian;
  • Surat Tadbir Kuasa; dan
  • kad pengenalan (MyKad) Pentadbir Kuasa.

Saya merupakan pengarah sebuah syarikat dan ingin mendapatkan laporan kredit syarikat, apakah prosedurnya?

Permohonan perlulah disertakan dengan Borang Permohonan Laporan Kredit yang telah dilengkapkan dengan disokong oleh dokumen berikut:

  • Satu salinan kad pengenalan (MyKad) atau pasport (jika bukan warganegara Malaysia) kakitangan yang diberi kuasa untuk mengambil laporan tersebut;
  • Surat beri kuasa (menggunakan kepala surat syarikat) daripada syarikat untuk mengesahkan kakitangan yang diberi kuasa untuk mengambil laporan kredit. Surat tersebut hendaklah ditandatangani oleh Setiausaha Syarikat dan sekurang-kurangnya dua Pengarah Syarikat;
  • Satu salinan Sijil Pendaftaran Syarikat yang telah disahkan (Borang 9) oleh Setiausaha Syarikat;
  • Satu salinan Sijil Pendaftaran Pertukaran Nama Syarikat yang telah disahkan (Borang 13) oleh Setiausaha Syarikat, sekiranya ada; dan
  • Satu salinan Senarai Pengarah Syarikat terkini yang telah disahkan (Borang 49) oleh Setiausaha Syarikat.
  • Sila ambil perhatian bahawa surat kuasa dan semua salinan dokumen yang telah disahkan hendaklah bertarikh 14 hari bekerja sebelum tarikh penyerahan Borang Permohonan Laporan Kredit.

Berapakah yang perlu saya bayar untuk satu salinan laporan kredit?

Tiada bayaran dikenakan oleh Bank Negara Malaysia buat masa ini.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 18/Oktober 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button