Pelan Perbelanjaan

Soal Jawab Tentang Sewa Beli Barang

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Sewa Beli?

Ia ialah satu sistem untuk membeli sesuatu barang secara kredit, iaitu penjual barang dianggap sebagai peniaga, pembeli pula sebagai penyewa dan syarikat kewangan adalah pemiliknya. Hak milik barang yang dibeli secara sewa beli tidak berpindah kepada penyewa pada masa perjanjian sewa beli atau sewaktu penyerahan barang tersebut. Pemilikan barang masih dimiliki oleh syarikat kewangan sehingga penyewa telah membayar sepenuhnya harga yang disepakati dalam perjanjian sewa beli.

Jenis Barang Yang Boleh Diperoleh Secara Sewa Beli?

Terdapat pelbagai jenis barang yang boleh diperolehi secara sewa beli, antaranya:

  • Semua barang pengguna yang diperoleh untuk kegunaan peribadi, keluarga atau isi rumah
  • Kenderaan bermotor, seperti kenderaan orang sakit, motosikal, motokar (termasuk teksi dan kereta sewa), kenderaan barang dan bas.

Dokumen Apa Yang Perlu Ditandatangani Apabila Membeli Secara Sewa Beli?

Semua pihak mesti menandatangani perjanjian sewa beli. Perjanjian ini menyatakan tarikh perjanjian itu bermula, jumlah ansuran, tempoh ansuran, masa untuk pembayaran setiap ansuran, perihal barang dan tempat barang tersebut disimpan (contohnya seperti kereta). Perjanjian sewa beli hendaklah dibuat secara bertulis. Perjanjian secara lisan bukan perjanjian sewa beli yang sah.

Patutkah Saya Menandatangani Borang Perjanjian Kosong?

Dalam apa jua keadaan, jangan menandatangani borang perjanjian sewa beli kosong.

Adakah Saya Memerlukan Penjamin?

Pemilik mungkin memerlukan anda untuk memberikan maklumat mengenai seorang atau lebih penjamin untuk menjamin pelaksanaan kewajipan anda di bawah perjanjian sewa beli.

Berapa Wang Pendahuluan (Deposit) Perlu Dibayar Apabila Membeli Barang Secara Sewa Beli?

Wang pendahuluan tidak boleh kurang daripada 10% daripada harga tunai barang yang dibeli. Walau bagaimanapun, wang pendahuluan lebih daripada 10% boleh dibuat jika dipersetujui oleh pihak-pihak yang terlibat.

Apa Akan Berlaku Jika Tidak Membayar Seperti Dalam Perjanjian?

Pemilik (syarikat kewangan) mempunyai hak untuk mengambil barang jika terdapat dua kegagalan pembayaran secara berturut-turut atau kegagalan pembayaran terakhir. Kemudian pemilik perlu menyampaikan kepada penyewa, notis secara bertulis atau mengeluarkan Jadual Keempat yang bermaksud untuk memiliki semula barang tersebut setelah jangka waktu tidak kurang dari 21 hari setelah penyampaian notis niat untuk pemilikan semula barang tersebut. Oleh itu, ia adalah penting bahawa anda tidak melengah- lengahkan bayaran ansuran anda.

Apakah Prosedur Yang Perlu Diikuti Oleh Pemilik Untuk Menebus Kembali Barang?

Sekiranya pemilik datang secara peribadi menebus / mengambil semula barang tersebut, maka dia mesti mengemukakan kad pengenalannya dan memaklumkan penyewa dengan nama dan alamat syarikat yang dianggotainya. Jika pemilik menghantar ejen atau pekerjanya, maka orang yang berkenaan hendaklah mengemukakan dan menunjukkan kad pengenalan dan kad kuasanya. Kad kuasa mesti mempunyai gambar ejen atau pekerja, nama dan alamatnya, nama dan alamat pemiliknya, serta tujuan pelantikan ejen atau pekerja dan tandatangan pemiliknya.

Apa Akan Belaku Sekiranya Barang Ditarik / Ditebus Kembali Oleh Pemilik?

Apabila pemilik mengambil / menebus semula barangan yang disewa, dia dikehendaki memberi notis dalam tempoh 21 hari kepada penyewa dan penjamin, jika ada, secara bertulis. Jika dalam tempoh 21 hari selepas penyampaian notis itu, penyewa membayar pemilik jumlah yang dituntut atau membetulkan apa-apa pelanggaran dan membayar kos yang munasabah yang ditanggung, pemilik hendaklah dengan serta-merta mengembalikan barang itu. Jika anda tidak mengambil sebarang usaha untuk mendapatkan semula barang tersebut, dalam masa yang diperuntukkan, pemilik akan menjualnya, yang biasanya melalui lelongan awam atau melalui tender. Sekiranya amaun yang diperoleh daripada hasil jualan / lelongan adalah kurang daripada amaun yang kena dibayar kepada pemilik, maka pemilik akan menyaman anda dan penjamin untuk jumlah defisit.

Bolehkah Saya Membuat Pembayaran Ansuran Awal Daripada Tarikh Yang Dipersetujui?

Penyewa boleh menyelesaikan perjanjian sewa beli lebih awal daripada tarikh asal yang dipersetujui dengan membayar baki pada bila-bila masa, Tetapi pengguna perlu merujuk terma dan syarat yang ditetapkan oleh syarikat kewangan dan agensi pemberi kredit seperti fi penyelesaian awal.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 88/Ogos 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button