Pengguna

Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia Bagi Yang Tidak Berpendapatan Tetap

Melangkah ke alam persaraan mungkin suatu perkara yang membimbangkan, lebih-lebih lagi apabila anda bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menampung perbelanjaan pada hari tua nanti. Kini anda boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenal “Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia” bagi membolehkan rakyat Malaysia yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menabung bagi menghadapi persaraan mereka.

Skim ini mula dilaksanakan pada 3 Januari 2010, dengan tujuan untuk menggalakkan golongan yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap mencarum secara sukarela dalam tabung persaraan ini mengikut kemampuan masing-masing.

Siapa yang layak untuk memohon Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SP1M)?

Anda layak memohon untuk skim SP1M sekiranya anda merupakan warganegara Malaysia, bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Anda juga perlu berdaftar sebagai ahli KWSP. Walau bagaimanapun, ahli KWSP yang masih lagi bekerja dan mempunyai majikan tidak layak menyertai skim ini.

Siapakah golongan ‘bekerja sendiri’ dan ‘individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap’?

Contohnya seperti golongan petani, pemandu teksi, nelayan, peniaga, free-lancers, pelakon, ahli muzik dan pemilik perniagaan kecil-sederhana.

Bagaimana saya boleh menyertai skim ini?

Sekiranya anda menepati segala syarat yang ditetapkan, anda hanya perlu mengisi borang Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia iaitu Borang KWSP 16G (1M) yang boleh diperoleh di mana-mana Cawangan KWSP atau dimuat turun daripada laman sesawang myEPF di www.kwsp.gov.my  dan kemudian menghantar terus ke cawangan KWSP terdekat. Selain itu, anda juga boleh menghantar borang tersebut melalui kiriman mel.

Jika anda belum berdaftar sebagai ahli KWSP, anda perlu melengkapkan Borang 3 KWSP terlebih dahulu dan menghantarnya berserta dengan satu salinan myKad di mana-mana Cawangan KWSP.

Berapakah jumlah yang perlu saya mencarum setiap bulan?

Anda boleh mencarum secara bulanan mengikut tahap kemampuan anda dengan jumlah minimum sebanyak RM50 dan tiada had maksimum.

Keseimbangan perniagaan saya sukar diramal dan saya mungkin tidak dapat mencarum setiap bulan. Apa akan terjadi sekiranya ini berlaku?

Skim SP1M merupakan skim caruman secara sukarela. Oleh itu, anda tidak perlu mencarum setiap bulan. Sungguhpun begitu, anda digalakkan untuk mencarum secara konsisten walaupun dengan jumlah yang sedikit bagi memastikan anda mempunyai simpanan untuk persaraan.

Di mana boleh saya membayar caruman?

Caruman boleh dibayar secara tunai atau cek dengan menggunakan Borang Pembayaran 6A(2) KWSP di Kaunter Pembayaran KWSP seluruh negara.

Adakah simpanan saya akan menerima dividen tahunan?

Ya. Simpanan di bawah skim ini akan terus menikmati dividen tahunan mengikut kadar dividen yang diumumkan oleh KWSP. Dividen ini membantu anda meningkatkan lagi simpanan persaraan.

Apakah sumbangan tambahan yang diterima daripada Kerajaan?

Simpanan di bawah skim ini akan menerima sumbangan daripada Kerajaan sebanyak 5 peratus dan tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM60 setahun. Sumbangan ini diberi sehingga tahun 2014. Untuk makluman, sumbangan Kerajaan sebanyak 5 peratus tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM60 setahun hanya terhad kepada ahli yang berumur kurang 55 tahun. Bagaimanapun, ahli yang mencapai umur melebihi 55 tahun boleh terus mencarum tetapi tidak menerima sumbangan Kerajaan. Mereka hanya menerima dividen yang diisytiharkan KWSP setiap tahun. Dividen KWSP akan dibayar sehingga ahli mencapai umur 75 tahun.

Bolehkah simpanan ini dikeluarkan?

Ya. Oleh kerana simpanan di bawah SP1M merupakan sebahagian daripada simpanan ahli KWSP sendiri, maka ahli boleh mengeluarkan simpanan mereka di bawah jenis-jenis pengeluaran sedia ada KWSP mengikut prosedur dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Untuk makluman lanjut berkaitan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia, sila hubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-8922 6000 atau layari laman sesawang myEPF di www.kwsp.gov.my.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 24/April 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button