Pelan Pelaburan

Skim Penipuan Memanipulasi Mangsa

Skim cepat kaya sudah mengambil tempat dalam kehidupan semenjak sekian lama. Walaupun telah banyak kali skim ini ditumpaskan dan didedahkan ‘perniagaan’ mereka, tetapi masih ada lagi yang beroperasi serta mencari mangsa baru.

Satu cara bagaimana skim ini menarik mangsa baru ialah dengan memanipulasi pemikiran mangsa mereka. Cara penipuan sebegini telah lama digunakan dan dipraktikkan oleh mereka yang suka mengambil kesempatan di atas orang lain.

Dari zaman skim Pak Man Telo sehinggalah kepada Mecca Fund, masih ramai yang terpedaya dengan skim cepat kaya. Persoalannya, walaupun mereka telah didedahkan mengenai skim cepat kaya, masih ramai yang menjadi mangsa. Mengapa begitu?

Berikut adalah beberapa punca yang menyebabkan ramai orang menjadi mangsa penipuan :

  1. Kesan Halo

Kesan Halo ialah kecelaruan proses pemikiran yang berlaku kepada seseorang apabila dirinya berasa kagum dan terpengaruh dengan watak yang ditampilkan oleh orang lain. Halo ialah lingkaran berbentuk bulatan bercahaya di atas kepala seseorang, seperti gambaran malaikat yang diimaginasikan oleh sesetengah orang Barat.

Halo sering dikaitkan dengan orang yang dianggap sebagai berperwatakan agama, hero, pejuang, dan sebagainya. Dalam modus operandi skim cepat kaya, penganjur skim akan cuba mempengaruhi orang ramai dengan berperwatakan kemas, tampil bergaya, dan memakai barangan berjenama.

“Dia pakai kereta mahal, mesti sebab skim ini berjaya.” “Cakap tidak tengok orang. Takkan tok lebai hendak menipu pula.” “Dia ada gelaran Dato’ dari Sultan Melaka. PhD dia dari Universiti Gordon. Bukan calang-calang orang ini.”

Orang yang terkena kesan Halo akan menganggap pemilik skim ini orang yang boleh dipercayai berdasarkan penampilan luaran mereka.

  1. Bias Konfirmasi

Bias konfirmasi ialah penerimaan maklumat yang bersifat berat sebelah dan hanya menyokong apa yang seseorang itu mahu percaya. Segala bukti yang berlawanan dengan kepercayaan yang sudah tertanam akan diketepikan begitu saja.

“Jangan dengar cakap orang yang tidak menyertai kerana mereka tidak faham tentang skim ini.” “Penganjur akan beri maklumat bila bayaran akan diberikan, jangan percaya khabar-khabar angin bahawa skim ini bermasalah.” “Selama ini lancar sahaja pembayaran dilakukan. Apalah salahnya tertangguh sekadar sebulan dua.”

Apabila sudah terjerat dengan skim ini, kebanyakan mangsa menolak untuk menerima nasihat orang lain yang cuba menasihati mereka tentang bahaya skim tersebut.

Sebaliknya mereka bermati-matian percaya kepada apa yang diberitahu oleh penganjur skim dan mengabaikan bukti-bukti nyata tentang keburukan skim tersebut.

  1. Sindrom Penafian

Sindrom penafian ini juga berkaitan dengan bias konfirmasi. Antara kisah yang sering dikaitkan dengan sindrom penafian ini ialah kisah seekor katak yang dibiarkan terendam dalam bekas berisi air.

Pada mulanya bekas itu sejuk dan katak itu tidak melompat keluar. Kemudian bekas itu dipanaskan perlahan-lahan dan air semakin hangat. Namun katak itu tidak melompat keluar kerana ia masih yakin air tetap sejuk. Akhirnya katak itu mati kepanasan di dalam bekas air itu.

Inilah yang berlaku kepada mangsa skim cepat kaya ini. Apabila orang mula mempersoalkan tentang skim yang mereka sertai, para mangsa menafikan bahawa skim itu ialah skim cepat kaya.

“Bulan ini lambat sedikit dapat dividen sebab ramai sangat yang masuk skim ini.” “Ada laporan polis terhadap skim ini kerana ramai yang dengki dengan kejayaannya.” “Skim ini hanya tersenarai dalam senarai yang diawasi oleh Bank Negara. Bukannya bermakna ini skim tipu.”

Mereka akan cuba menafikan segala kepincangan yang berlaku kepada skim dengan pelbagai alasan. Apabila akhirnya skim itu benar-benar terkubur, mereka masih tidak insaf, malah menyertai skim penipuan yang lain pula.

  1. Memanipulasi Emosi

Penganjur memanipulasi emosi mangsa dengan menjadikan seolah-olah skim ini satu peluang keemasan yang tidak patut dilepaskan.

“Lebih banyak yang dilaburkan, lebih banyak untung.” “Tawaran terhad hanya kepada 100 orang terawal sahaja. Selepas itu harga akan dinaikkan.” “Ini skim yang halal dan Islamik, bukan macam skim-skim lain.”

Ini menyebabkan mangsa tidak sempat berfikir panjang lalu terburu-buru melaburkan wangnya.

  1. Penetapan Phantom

Penetapan Phantom ialah taktik yang digunakan oleh skim cepat kaya dengan menjanjikan keuntungan yang tertentu kepada orang yang menyertai skim mereka. Phantom bermaksud khayalan dalam benak fikiran, keuntungan yang digambarkan biasanya bernilai besar dan modal yang dilaburkan oleh mangsa pula dianggap kecil berbanding dengan keuntungan yang bakal diterima.

“Tuan sertai dan duduk goyang kaki saja. Tiap-tiap bulan, duit masuk.” “Paling kurang, 5% dividen tetap akan kami berikan kepada tuan, tidak kira sama ada pelaburan kita untung atau rugi.” “Tidak rugi pun kalau sertai. Kalau sudah sertai dan mahu berhenti, modal akan dipulangkan.”

Keuntungan ini sebenarnya adalah keuntungan yang bersifat khayalan dan janji manis sehaja tetapi tidak disedari oleh mangsa yang telah dikelabui oleh penetapan phantom.

  1. Rayuan Bersifat Sentimen

Rayuan bersifat sentimen ialah kesilapan pemikiran yang berlaku apabila sentimen digunakan untuk berhujah berbanding dengan memberikan fakta.

“Skim ini sudah banyak membantu orang.” “Tidak apalah kalau gelaran yang digunakan oleh dia palsu, yang penting ilmu yang dia beri.” “Tidak kasihankah kepada para pelabur lain kalau kita laporkan tentang skim ini kepada polis?”

Kesilapan pemikiran ini menyebabkan mangsa teragak-agak untuk keluar daripada skim penipuan yang disertainya.

  1. Rayuan Bersifat Autoriti

Rayuan bersifat autoriti ialah kesilapan pemikiran yang berlaku apabila autoriti digunakan untuk berhujah tanpa mempertimbangkan faktor-faktor lain.

“Ustaz itu kata ini bukan skim penipuan.” “Artis pun masuk skim ini. Kalau ini skim tipu, tidak mungkin mereka mahu masuk.” “Doktor A kata skim ini ok. Dia pun sudah menyertai.”

Apa yang perlu diketahui, pengesahan autoriti sahaja belum memadai untuk mengesahkan sesuatu itu bukan skim penipuan. Ini kerana autoriti juga mungkin tersilap jika bidang itu bukan kepakarannya.

Banyak faktor lain yang perlu diambil kira. Untuk mengesahkan sesuatu skim itu patuh syariah misalnya, Bank Negara mensyaratkan agar sekurang-kurangnya dua orang penasihat syariah yang berlatarbelakangkan pengajian syariah atau usul al-fiqh dilantik terlebih dahulu.

Hal ini kerana bidang ini memerlukan pengetahuan khusus dan tidak memadai untuk berpada dengan kelulusan dalam bidang agama secara umum.

Skim cepat kaya memanipulasi ketamakan dan hawa nafsu manusia. Manusia yang terpedaya, akan terjerumus ke dalamnya berkali-kali.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 90/Oktober 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button