Pengguna

Skim Pelaburan Internet Haram: Lindungi Diri Anda

Kemampuan untuk memperoleh atau mendapatkan pengesahan dalam talian dengan mudah telah menyebabkan dunia Internet menjadi salah satu punca besar skim pelaburan tidak sah. Malah, ia telah menjadikan dunia Internet sebagai tempat berbahaya untuk pelabur yang kurang peka dan mudah terpedaya. Lebih teruk lagi, saban hari skim pelaburan tidak sah menjadi semakin rumit dan sukar dikesan. Ini menyebabkan pelabur yang berpengalaman pun turut ditipu juga.

Berikut adalah ciri-ciri umum skim pelaburan internet yang tidak sah:

  • Pemilik skim ini, yang mengaku diri sebagai ‘pakar pelaburan’, akan mendakwa syarikat mereka mempunyai ‘rekod prestasi cemerlang’ dan memberikan testimonial daripada ‘pelanggan’ demi meyakinkan pelabur. Mereka juga akan menawarkan pulangan yang lebih tinggi berbanding kadar pasaran dan membuat jaminan bahawa skim tersebut mempunyai risiko rendah atau tiada risiko langsung.
  • Pemilik skim mempunyai identiti, yang pada mulanya Nampak seakan-akan benar, tetapi tidak dapat disahkan.
  • Bila disoal, kebanyakan pengendali skim pelaburan tidak sah akan berkata bahawa skim mereka beroperasi di luar negara dan tidak memerlukan lesen daripada pengawal selia di Malaysia, atau mengaku mereka sudahpun mempunyai lesen yang sepatutnya daripada pihak berkuasa. Malah, ada pengendali skim yang berkeras bahawa aktiviti mereka tidak memerlukan lesen.
  • Mereka akan menyarankan untuk membeli /menjual saham tertentu dan khidmat nasihat mereka dihantar kepada pelanggan melalui e-melatau khidmat pesanan ringkas (SMS), laman sesawang yang dilindungi kata laluan rahsia serta pertemuan peribadi.
  • Pengendali skim ini juga akan mengiklankan perkhidmatan mereka melalui e-mel secara rawak serta pesanan-pesanan yang ditinggalkan di papan kenyataan dan forum atas talian.
  • Laman sesawang mereka direka khas untuk menyerupai perniagaan sah dan mungkin dilengkapi dengan harga saham masa nyata (real-time), ulasan pasaran, berita serta pautan ke laman sesawang kewangan yang lain.
  • Sesetengah laman-laman sesawang ini memberi perkhidmatan percuma, seperti tutorial asas pasaran modal, e-buku serta laluan ke bilik bual (chatroom) dan papan buletin.
  • Mangsa biasanya terpedaya apabila pengendali skim memberikan pulangan yang tinggi pada mulanya. Taktik ini digunakan untuk menjerat dan merekrut pelabur baru.
  • Jangka hayat skim pelaburan ini bergantung kepada pengambilan pelabur baru. Dana yang diperoleh daripada pelabur baru akan digunakan untuk membayar dividen kepada pelabur sedia ada. Skim pelaburan ini akan gagal sekiranya tiada pelabur baru.
  • Akan tetapi, pengendali skim pelaburan tidak sah ini akhirnya akan melarikan diri dengan wang yang dikumpul, apabila dia berasa suatu yang tidak kena akan terjadi, dan sekali gus menyebabkan pelabur mengalami kerugian.

Berhati-hati jika diberikan tawaran pelaburan dalam talian yang mempunyai ciri-ciri seperti di atas! Pastikan anda merujuk kepada pihak berkuasa yang berkaitan terlebih dahulu sebelum menyerahkan wang titik peluh anda.

APA YANG PERLU ANDA LAKUKAN:

Sebenarnya tidak sukar untuk melindungi diri apabila ditawarkan peluang melabur dalam skim pelaburan Internet! Ingat:

  • Jika ia sangat sukar dipercayai, kemungkinan besar ia adalah penipuan;
  • Berurusan hanya dengan institusi kewangan dan ejen yang berdaftar serta berlesen (rujuk laman sesawang Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia untuk senarai lengkap);
  • Minta maklumat penting – Tanya soalan berikut: jika anda mengirim e-mel kepada syarikat itu,adakah ia akan dijawab? Adakah terdapat alamat syarikat tertera di laman sesawang dan bahanbahan promosi? Adakah syarikat pelaburan itu menggunakan nombor akaun bank yang jarang ditemui atau sukar dikesan? Adakah syarikat tersebut benar-benar wujud?;
  • Awas perangkap testimonial – Kebiasaannya testimonial akan bermain dengan emosi dan rasa tamak; menggunakan cara yang sama, iaitu pelanggan ‘A’ sangat gembira dengan pelaburannya dan mahukan anda melabur secepat mungkin, melabur dengan syarikat mereka akan mengubah hidup anda, rakan dan keluarga mereka juga mengaut keuntungan daripada pelaburan tersebut, dan sebagainya;
  • Rujuk kepada pihak berkuasa yang berkaitan sebelum melabur atau membayar wang pendahuluan. Antara pihak berkuasa yang boleh membantu anda ialah Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, CyberSecurity Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan lain-lain;
  • Jangan melabur dalam keadaan tertekan atau tergesa-gesa; ambil masa anda untuk berfikir dan bertanya dengan pihak berkuasa yang berkaitan terlebih dahulu. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.
  • Sentiasa was-was jika tawaran pelaburan hanya diberikan secara lisan dan bukan dalam bentuk bertulis. Minta untuk melihat sebanyak mungkin dokumen mengenai produk pelaburan itu supaya anda boleh menentukan kesahihan tawaran pelaburan itu; dan
  • Sekiranya anda telah melabur dalam skim itu, simpan semua rekod pelaburan dan perhubungan yang ada. Ia mungkin boleh digunakan pada kemudian hari bagi tujuan laporan kepada pihak berkuasa.

PERLINDUNGAN TAMBAHAN

Memandangkan dunia Internet merupakan rangkaian global yang amat luas, sudah pasti pengendali skim pelaburan tidak sah juga mempunyai pengkalan di luar negara. Berbekalkan teknologi yang lebih maju, mereka juga pasti menggunakan kaedah penipuan yang lebih maju dan canggih. Oleh itu, anda disarankan supaya merujuk kepada pihak berkuasa di luar negara dengan melayari laman sesawang, seperti www.hksfc.org.hk (Hong Kong), www.fsa.com (UK), www.asic.gov.au (Australia), www.mas.gov.sg (Singapura), www.sec.gov (US) dan lain-lain untuk mengetahui skim-skim pelaburan tidak sah yang terbaharu serta caracara melindungi diri anda.

KESIMPULAN

Dalam membanteras skim pelaburan tidak sah, ilmu, maklumat dan pertimbangan akal adalah ‘perisai’ terkuat untuk melindungi diri. Kadangkala, agak sukar untuk membezakan antara pelaburan yang sah dan tidak sah di Internet. Namun dengan mengambil langkahlangkah yang dinyatakan di atas, kemungkinan besar anda boleh mengenal pasti pelaburan yang sah dan dan tidak sah. Sebelum membuat apa-apa tindakan, pastikan syarikat itu mempunyai lesen dan berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkaitan.

© Securities Industry Development Corporation 2010. Untuk mendapatkan panduan pelaburan bijak, layari laman sesawang Pelabur Malaysia (www.min.com.my).

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 47/Mac 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button