Skip to toolbar
Pelan Pelaburan

Skim i-Suri Untuk Kebajikan Suri Rumah

i-Suri merupakan singkatan bagi skim Program Sukarela Insentif Suri. Ia bertujuan untuk menjaga kebajikan para wanita khususnya suri rumah, dengan matlamat menyediakan simpanan untuk kegunaan hari tua.

Bermula 15 Ogos 2018, suri rumah yang berkelayakan berpeluang untuk mendaftar Skim i-Suri KWSP.

Pelaksanaan program ini dilaksanakan dalam tiga fasa, iaitu:

Fasa 1 – Bermula 15 Ogos 2018

Bagi fasa 1 ini, kerajaan akan memperuntukkan caruman bulanan sebanyak RM40 kepada suri rumah yang layak, yang membuat caruman minimum RM5 sebulan ke dalam akaun KWSP masing-masing.

Bermula Ogos hingga Disember 2018, kerajaan akan memperuntukkan caruman sebanyak RM200 untuk setiap suri rumah yang layak. Bagi tahun-tahun seterusnya, jumlah caruman daripada pihak kerajaan adalah sehingga RM480 setahun.

Fasa 2 – Sasaran pelaksanaan pada 2019

Dalam fasa 2, jumlah caruman bulanan oleh kerajaan akan ditingkatkan kepada RM50 sebulan, iaitu sebanyak RM40 akan dimasukkan ke dalam akaun KWSP, manakala RM10 adalah sumbangan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Dengan sumbangan tersebut, suri rumah akan dilindungi di bawah skim PERKESO dan mendapat manfaat-manfaat skim tersebut, seperti manfaat kematian, hilang upaya dan perubatan.

Fasa 3 – Sasaran pelaksanaan pada 2020

Bagi fasa terakhir ini, beberapa pindaan akta akan dilakukan bagi membolehkan 2% daripada sumbangan KWSP suami dicarumkan ke akaun isteri, berserta tambahan caruman daripada pihak kerajaan.

Golongan yang layak menyertai Skim i-Suri KWSP

Untuk peringkat permulaan, Skim ini hanya layak disertai oleh golongan yang memenuhi kriteria-kriteria yang berikut:

  1. Golongan suri rumah yang berdaftar dalam sistem e-Kasih setakat 30 Jun 2018, termasuk isteri kepada ketua isi rumah, atau ketua isi rumah wanita yang berstatus balu, janda, ibu tunggal atau bujang
  2. Warganegara Malaysia sahaja
  3. Belum mencapai umur 60 tahun
  4. Mempunyai akaun KWSP dan membuat caruman sekurang kurangnya RM5 setiap bulan atau RM60 setahun

Cara mendaftar Skim i-Suri KWSP

Bagi golongan suri rumah yang berminat untuk mendaftar Skim i-Suri KWSP, sila ikuti langkah-langkah berikut:

  1. Semak status di portal e-Kasih Untuk semak sama ada anda tersenarai dalam sistem e-Kasih, layari https://ekasih.icu.gov.my.
  2. Daftar Skim i-Suri KWSP di mana-mana kaunter KWSP Selepas disahkan status dalam sistem e-Kasih, anda boleh berkunjung ke mana-mana kaunter KWSP untuk mendaftar Skim i-Suri. Anda hanya perlu membawa MyKad dan maklumkan pegawai bertugas tentang hasrat untuk mendaftar Skim i-Suri. Pegawai KWSP akan membantu untuk pendaftaran Skim tersebut.
  3. Buat caruman minimum RM5 sebulan Untuk melayakkan anda mendaftar Skim i-Suri KWSP, anda perlu mencarum secara sukarela sebanyak minimum RM5 sebulan. Ini adalah sebagai galakan kepada penerima skim ini supaya mereka turut menabung untuk masa depan mereka, di samping menerima tabungan daripada caruman pihak kerajaan.

Caruman bulanan boleh dilakukan melalui saluran-saluran yang berikut: • Tunai atau cek di kaunter peresitan KWSP • Tunai atau cek di kaunter panel bank KWSP (Maybank, Public Bank, BSN atau RHB) • Pindahan wang melalui perbankan internet oleh bank yang dilantik (Maybank atau Public Bank)

Manfaat Skim i-Suri KWSP

Sebagai peserta Skim i-Suri KWSP, anda juga akan turut menikmati manfaat sepertimana pencarum KWSP yang lain seperti: • bayaran dividen tahunan • bantuan hilang upaya dan kematian • pengeluaran simpanan • pengecualian cukai

Contohnya, seorang wanita yang layak berumur 30 tahun, membuat caruman minimum RM5 sebulan dan menerima caruman kerajaan RM40 sebulan, selepas 30 tahun pada usia 60 tahun, anggaran yang bakal diperoleh adalah sekitar RM44,000 (anggaran dividen KWSP 6% setahun).

Bagi yang berumur 40 tahun pula, dengan jumlah caruman yang sama, anggaran yang bakal diperoleh pada usia 60 tahun adalah RM20,000.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 102/Oktober 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button