Pelan Perlindungan

Situasi Yang Tidak Dilindungi Oleh Insurans / Takaful Kenderaan

Ramai yang beranggapan apabila kenderaan mereka telah dilindungi oleh insurans / takaful, maka kenderaan mereka sudah selamat. Sebenarnya tidak begitu. Terdapat banyak situasi kenderaan tidak dilindungi oleh insurans / takaful kenderaan yang biasa.

Berikut adalah beberapa situasi yang menunjukkan kenderaan tidak dilindungi oleh polisi insurans / takaful kenderaan yang biasa.

Kerosakan akibat rusuhan

Segala kerosakan terhadap kenderaan anda yang disebabkan oleh rusuhan dan perbalahan tidak dilindungi polisi insurans. Perkara ini tidaklah begitu membimbangkan di Malaysia, kerana negara berada dalam keadaan yang aman. Walau bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak pula perhimpunan yang diadakan di kota raya. Anda masih bernasib baik kerana tidak banyak berlaku kerosakan harta benda.

Pemasangan aksesori tambahan selepas pembelian kenderaan

Aksesori yang dipasang selepas membeli kenderaan, seperti sport rims dan alat stereo yang canggih, tidak dilindungi oleh polisi insurans / takaful. Jika berlaku kecurian ke atas peralatan ini, polisi insurans / takaful kenderaan anda tidak akan membayar ganti rugi kepada anda. Oleh itu, jika anda telah banyak berbelanja ke atas aksesori kereta anda, anda dinasihatkan supaya membeli polisi tambahan yang melindungi peralatan ini.

Banjir (dan bencana alam yang lain)

Ramai rakyat Malaysia yang biasa dengan keadaan ini. Memandangkan ia sering berlaku, ramai yang bertanggapan kerosakan akibat banjir dilindungi polisi insurans / takaful. Sebenarnya tidak. Kerosakan enjin akibat kemasukan air, kereta ranap akibat pokok tumbang dan kerosakan lain yang disebabkan oleh bencana alam adalah tidak dilindungi oleh polisi insurans / takaful. Jika ingin dilindungi, anda boleh juga mendapatkan perlindungan tambahan untuk tujuan ini.

Apabila kereta dipandu orang lain

Sekiranya berlaku sesuatu kemalangan terhadap kenderaan yang dipandu oleh selain daripada pemilik polisi, termasuklah suami atau isteri, anak-anak, ibu bapa dan rakan, maka polisi insurans kenderaan anda tidak akan membayar ganti rugi untuk membaiki kereta anda. Perkara ini boleh diselesaikan dengan membayar RM400 (caj ekses) kepada syarikat insurans anda jika anda masih ingin membuat tuntutan ke atas kerosakan itu. Walau bagaimanapun terdapat cara yang lebih murah dan mudah iaitu dengan menambah nama pemandu lain ke dalam polisi anda. Setiap nama yang ditambah akan dikenakan caj sebanyak RM10 sahaja. Yang mana lagi murah, RM10 atau RM400?

Liabiliti undang-undang kepada penumpang dan untuk penumpang

Cuba bayangkan senario ini. Suatu hari anda memandu kereta dengan membawa rakan anda, tiba-tiba anda terlibat dalam kemalangan. Walaupun tiada yang cedera, tetapi rakan anda menyaman anda di mahkamah ke atas trauma yang beliau lalui. Di sini, polisi anda tidak akan menjamin anda dan pihak insurans tidak akan membayar pampasan kepada rakan anda, walaupun beliau betul-betul cedera sekali pun. Jika ingin mengelakkan perkara sebegini daripada berlaku, sama ada elakkan berkawan dengan orang sedemikian, atau beli perlindungan tambahan yang dikenali sebagai Liabiliti Undang-Undang kepada Penumpang.

Dalam senario lain, jika penumpang anda pula yang menyebabkan kerosakan harta benda atau kecederaan kepada orang lain dan anda pula yang disaman. Contohnya, penumpang anda membuka pintu kereta dengan tiba-tiba dan mengakibatkan kecederaan ke atas penunggang motosikal di sebelah. Polisi kenderaan tidak melindungi anda terhadap kes sedemikian, tetapi anda boleh dilindungi dengan membeli perlindungan tambahan, iaitu Liabiliti Undang-Undang untuk Penumpang.

Jika anda pemandu bagi GrabCar atau Uber, anda dinasihatkan agar mengambil kedua-dua polisi tambahan ini. Malah polisi tambahan ini diwajibkan ke atas anda jika anda ingin memandu ke Singapura.

Kerosakan total – tidak dapat dibaik pulih

Kebanyakan kita membeli kereta dengan mendapatkan pinjaman daripada bank. Tetapi tahukah anda, jika anda mengalami kemalangan dan kereta anda rosak teruk yang tidak lagi dapat dibaiki, pihak insurans tidak akan menanggung baki pinjaman anda. Pihak insurans hanya akan membayar pampasan sebanyak mana nilai kereta anda pada harga pasaran. Kebiasaannya, jumlah ini lebih rendah daripada baki pinjaman kerana dua (2) faktor, iaitu kadar susut nilai kenderaan dan kadar bunga yang dikenakan oleh pihak bank. Oleh yang demikian, pastikan anda melindungi kenderaan anda dengan jumlah yang mencukupi.

Kecederaan dan kematian diri

Polisi insurans kenderaan anda sebenarnya tidak melindungi diri anda daripada kecederaan ataupun kematian. Jika kemalangan disebabkan oleh pihak ketiga, polisi insurans pihak ketiga tersebut yang akan membayar pampasan kepada anda terhadap kecederaan diri anda. Namun, jika anda sendiri yang menyebabkan kemalangan, maka polisi insurans kenderaan tidak akan membayar pampasan terhadap kecederaan diri anda. Oleh itu, anda perlu mempunyai insurans atau takaful perubatan untuk membiayai kos rawatan kecederaan tersebut.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 94/Februari 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button