Pengurusan Hutang

Sengsara kerana Berbelanja Melebihi Kemampuan

Siti (bukan nama sebenar), berusia pertengahan 30-an, mempunyai kerjaya dengan gaji hampir RM4,000 sebulan. Beliau membuat pinjaman peribadi tanpa berfikir panjang selepas disaran oleh rakan pejabat pada awal kerjayanya.

Pihak bank juga menawarkan kad kredit yang pada mulanya hanya digunakan untuk membayar petrol dan waktu kecemasan sahaja. Oleh kerana mudah untuk membuat pinjaman tanpa perlu ke bank, Siti membuat beberapa pinjaman peribadi dan turut diberi satu kad kredit lagi. Semuanya untuk memenuhi nafsu berbelanja Siti. Akhirnya, tanpa disedari, sebahagian besar daripada gajinya adalah untuk membayar pinjaman bank dan berbaki hanya RM100 sahaja. Siti langsung tidak mempunyai baki gaji jika ditolak bayaran satu lagi pinjaman peribadi yang dia buat bayaran secara terus kepada bank berkenaan serta kad-kad kredit yang dimiliki.

Pinjaman peribadi Siti telah mencecah RM350,000, tidak termasuk hutang kad kredit dan pinjaman perumahan. Tambahan pula, suaminya tidak mempunyai pendapatan tetap dan segala perbelanjaan bergantung pada pinjaman yang dibuat sebelum ini. Siti amat malu dengan ketua di pejabat, malah rakan sekerja dan pekerja bawahannya apabila bank mula menghubungi pejabat bagi menuntut bayaran.

Siti dipanggil oleh ketuanya dan diberitahu beliau boleh dikenakan tindakan tatatertib sebagai kakitangan awam. Hal beliau dikejar oleh bank sudah diketahui oleh rakan pejabatnya.

Dalam hal ini, Siti telah berbelanja di luar kemampuannya. Siti telah membuat pinjaman bagi memenuhi kehendak dan membeli barangan yang tidak perlu yang menyebabkan hidupnya sengsara disebabkan oleh hutang. Dalam hal seperti ini, tiada siapa yang boleh disalahkan melainkan diri sendiri.

Anda perlu memikirkan kesilapan diri yang tidak berhati-hati mengawal perbelanjaan.

Tip.

  • Berbelanja menggunakan wang tunai sekiranya anda tidak mampu mengawal nafsu berbelanja. Bawa wang tunai secukupnya. Jangan membawa kad kredit atau kad debit semasa berbelanja.
  • Tukar persepsi anda terhadap kad kredit. Kad kredit ialah instrumen bagi memudahkan bayaran dan bukannya instrumen untuk berhutang.
  • Utamakan keperluan berbanding kehendak.
  • Jika anda berhutang, pastikan hutang tersebut tidak melebihi 40 peratus daripada pendapatan.
  • Jika pendapatan RM4,000 sebulan maka peruntukan untuk membayar semua hutang ialah RM1,600 sahaja.

Sumber: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button