Pengguna

Senarai Peringatan Kepada Semua Pengguna Kewangan

Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan Senarai Peringatan kepada Semua Pengguna Kewangan. Senarai ini diperkenal bertujuan sebagai panduan dan rujukan segera bagi orang ramai apabila membuat keputusan berhubung dengan pelbagai perkhidmatan kewangan yang ditawarkan oleh pihak yang tidak berlesen.

Senarai Peringatan kepada Semua Pengguna Kewangan ini merujuk kepada senarai individu atau syarikat yang telah disalah anggap sebagai mendapat lesen atau dibenarkan oleh pengawal selia termasuk Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, untuk menjalankan aktiviti perniagaan mereka.

Senarai Peringatan kepada Semua Pengguna Kewangan ini mengandungi maklumat syarikat atau individu yang tidak mendapat lesen daripada manamana pengawal selia dan pihak Bank Negara Malaysia telah menerima pelbagai pertanyaan mengenai mereka daripada orang ramai. Senarai ini bukanlah senarai sepenuhnya dan akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa untuk rujukan orang ramai. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465. Senarai Peringatan kepada Semua Pengguna Kewangan ini boleh didapati di laman sesawang Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my/consumeralert).

Bank Negara Malaysia juga menyatakan bahawa orang ramai boleh membeli dan menjual emas. Walau bagaimanapun, orang ramai perlu berhati-hati terhadap pelbagai skim pengambilan deposit dan pelaburan haram, khususnya dalam logam berharga seperti emas, yang menjanjikan pulangan lumayan kepada pelabur. Skim-skim ini menawarkan pulangan yang lumayan dalam tempoh masa yang pendek berserta opsyen belian balik emas tersebut. Skim-skim ini mungkin merupakan “skim cepat kaya” atau dipanggil “skim Ponzi”, yakni wang pelaburan yang terkumpul digunakan untuk membayar “pulangan lumayan” kepada pelabur lain. Skim-skim sebegini adalah haram dan merupakan suatu penipuan, dan orang ramai mungkin kehilangan semua wang mereka.

Orang ramai dinasihatkan supaya menghubungi pihak berkuasa yang berkenaan apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menawarkan peluang perniagaan atau perkhidmatan kewangan yang kelihatan sangat menarik. Walau bagaimanapun, sebenarnya mereka tidak mendapat lesen daripada pihak berkuasa yang berkenaan.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 28/Ogos 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button