Pelan PelaburanPerancangan Kewangan

Selaraskan Pelaburan Dengan Matlamat Kewangan

Untuk mencapai sesuatu matlamat kewangan, anda perlu menetapkan beberapa matlamat berdasarkan tempoh masa seperti berikut:

  1. Matlamat jangka masa pendek seperti dana perbelanjaan bulanan sekurang-kurangnya 6 bulan hingga 1 tahun.
  2. Matlamat jangka masa sederhana seperti pendidikan anak-anak, membeli rumah, membeli kereta yang lebih selesa dan melancong.
  3. Matlamat jangka masa panjang seperti mengerjakan haji, cukup modal untuk membuka perniagaan dan simpanan persaraan yang mencukupi.

Semua matlamat kewangan tersebut memerlukan persediaan dan perancangan yang rapi agar dapat menjamin kesejahteraan hidup kita sepanjang hayat. Anda perlu meningkatkan tabungan dari semasa ke semasa agar matlamat kewangan yang dirancang dapat dipenuhi. Namun, tabungan sahaja tidak mencukupi kerana nilai wang boleh menurun kerana inflasi.

Inflasi

Antara faktor yang boleh merubah nilai wang ialah inflasi. Inflasi bermaksud suatu kenaikan dalam tingkat harga umum barangan dan perkhidmatan dalam sesebuah ekonomi dari semasa ke semasa. Dengan peningkatan tingkat harga umum, setiap unit matawang cuma dapat membeli barangan dan perkhidmatan dalam jumlah yang lebih kurang daripada sebelumnya.

Kesan inflasi boleh dilihat dalam jadual berikut yang menunjukkan penurunan nilai atau kuasa beli untuk beberapa kadar inflasi:-

Pengurangan Nilai atau Kuasa Membeli Dalam Tempoh 15 tahun

Melabur Sebagai Peminjam atau Pemegang Saham

Untuk mengatasi kesan inflasi, pelaburan adalah satu langkah yang bijak. Pelaburan ialah tindakan meletakkan dana bagi satu tempoh untuk memperoleh kadar pulangan yang dikehendaki, dengan menyedari sepenuhnya mengenai risiko yang terbabit. Bagi mencapai matlamat kewangan, anda harus memilih pelaburan yang menawarkan kadar keuntungan melebihi kadar inflasi. Anda boleh melabur sebagai peminjam modal ataupun sebagai pemegang saham.

Perlu diingat, pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang tinggi biasanya berisiko tinggi.

Kadar Keuntungan Dan Risiko Pelaburan

Biasanya kadar keuntungan yang boleh diterima sebagai peminjam modal lebih rendah berbanding sebagai pemegang saham. Ini disebabkan oleh risikonya lebih rendah.

Anggaran Peningkatan Nilai RM 10,000 untuk tempoh 15 tahun dan 30 tahun

Kadar keuntungan bagi jenis-jenis pelaburan di atas hanya merupakan anggaran sahaja.

Sungguhpun perbezaan kadar keuntungan itu beberapa peratus sahaja, namun perbezaan jumlah pulangan amat besar sekali apabila tempoh pelaburan diambil kira. Semakin lama tempoh pelaburan anda, maka semakin besar jumlah perbezaan.

Persoalannya, patutkah anda mengeluarkan wang simpanan tetap untuk membeli saham atau aset yang mendatangkan pelaburan lumayan? Berikut adalah perkara-perkara yang perlu diambil perhatian sebelum anda membuat keputusan dalam pelaburan.

a) Memahami pelaburan yang ingin anda ambil.

Melaburlah berdasarkan kefahaman anda dan bukannya bersandarkan kefahaman rakan-rakan sekeliling anda. Ini dapat mengelakkan diri anda daripada terlibat dengan kes-kes penipuan seperti skim cepat kaya dan terpengaruh dengan taktik jualan. Carilah skim pelaburan yang sah dan bersesuaian dengan keperluan matlamat kewangan anda. Baca dan fahamilah prospectus yang menerangkan sesuatu pelaburan itu.

b) Melaburlah setelah keperluan anda mencapai matlamat jangka masa pendek dan

Risiko jangka pendek pelaburan saham adalah tinggi. Tambah-tambah lagi jika anda membeli saham satu syarikat sahaja. Pelaburan di dalam saham tidak patut dibuat jika wang itu merupakan sebahagian daripada tabungan kecemasan atau simpanan yang anda perlu untuk jangka pendek atau sederhana (lebih kurang 5 tahun) seperti membayar deposit untuk membeli rumah.

c) Ketahuilah jumlah pelaburan dan yuran-yuran yang akan dikenakan.

Jika pelaburan anda akan diuruskan oleh sesuatu badan, dapatkanlah maklumat yang lengkap tentang jumlah pelaburan serta kos-kos pengurusan yang berkaitan.

d) Kurangkan bayaran cukai.

Mengurangkan cukai bukan bermaksud mengelak membayar cukai. Terdapat pelbagai peruntukan yang membolehkan cukai itu dikurangkan. Ketahuilah perkara ini agar keuntungan pelaburan anda tidak terhakis akibat cukai yang dikenakan.

Sumber: Panduan Kewangan Peribadi dan Keluarga “Cukup Wang Hati Tenang untuk Semua” oleh Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir.

Sumber : Buku Panduan Kewangan Peribadi dan Keluarga “Cukup Wang Hati Tenang untuk Semua” oleh Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 25/Mei 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button